Wednesday, August 26, 2009

Teoh-Tan gaduh di tandas SPRM 2 pagi ?

Malaysia (SPRM) bahawa Teoh Beng Hock dan Ahli Majlis Perbandaran Kajang Tan Boon Wah bergaduh, telah mengejutkan mereka yang mengikuti prosiding inkues kematian Teoh di Mahkamah Koroner Shah Alam.

Mohd Anuar Ismail, yang berpangkat Pemangku Penguasa Kanan SPRM Selangor berkata pergaduhan itu berlaku pada pukul 2 pagi di tandas pejabat SPRM Selangor.

"Selepas kematian Teoh, saya dimaklumkan oleh Bulkini Paharuddin (pegawai SPRM) bahawa terdapat pergaduhan antara Boon Wah dengan si mati pada pukul 2 pagi bertempat di tandas SPRM," katanya ketika ditanya peguam pemerhati SPRM Datuk Abdul Razak Musa.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam di sini, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan dakwaan salahguna wang peruntukan kerajaan Selangor kepada SPRM negeri yang berpejabat di plaza itu.

Selain itu Mohd Anuar, 32, berkata Teoh tidak mungkin mati dalam tahanan kerana beliau telah dilepaskan dan dibenarkan pulang selepas soal siasat.

"Saya tidak bersetuju beliau mati dalam tahanan kerana saksi ini (Teoh) telah dilepaskan pada pukul 3.45 pagi dan dia dibenarkan pulang. Bagaimanapun Teoh meminta dengan pegawai perakam (Mohd Nadzri Ibrahim) untuk berehat sebentar.

"Pada pemikiran saya beliau telah pulang pada waktu itu," katanya.

Tambahnya, selepas menemui beg Teoh beliau telah berusaha mencari Teoh di dalam pejabat SPRM tetapi gagal dan ketika itu beliau yakin bahawa Teoh telah pulang dan akan hadir semula ke pejabat SPRM untuk membawa dokumen yang diminta.

Ekoran keyakinannya itu, Mohd Anuar tidak menghubungi peguam ataupun ahli keluarga Teoh bagi bertanyakan keadaan Teoh dan berhasrat menyerahkan beg Teoh apabila mereka bertemu nanti.

Mohd Anuar juga memberitahu ketika siasatan, tiada sebarang unsur kekerasan digunakan ke atas Teoh kerana kes aduan penyelewengan wang peruntukan ADUN Selangor itu hanya melibatkan dokumen sahaja.

Mengenai kehadiran peguam M Manoharan (peguam yang mewakili Teoh) yang dikatakan berlegar-legar di pejabat SPRM dan cuba menghubungi beliau pada hari yang sama Teoh disoal siasat, Mohd Anuar berkata: "Saya tidak tahu."

Ketika ditanya tentang operasi SPRM selama 24 jam, Mohd Anuar menjelaskan ia perlu kerana terdapat saksi yang bekerja pada waktu siang dan mereka meminta untuk merakam percakapan pada waktu malam supaya tidak mengganggu kerja mereka.

"Ada juga saksi yang tidak mahu dilihat hadir ke pejabat SPRM Selangor atas alasan tertentu dan memilih untuk merakam percakapan pada sebelah malam," katanya. BERNAMA

No comments:

Post a Comment