Monday, August 3, 2009

Anti-ISA: 20,000 sertai, 589 ditangkap

Kira-kira 20,000 orang membanjiri ibu negara hari ini untuk menyertai perhimpunan anti-ISA anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

Mereka berdepan dengan anggota polis yang melepaskan tembakan gas pemedih mata serta tembakan meriam air di lokasi perhimpunan di kompleks membeli-belah SOGO, sekitar Masjid Jamek, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut, Dataran Merdeka, di Masjid Negara serta di ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut.

Mereka mula berkumpul jam 2 petang di tempat-tempat berkenaan dan anggota polis, termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU), yang bertindak meleraikan orang ramai, termasuk menangkap.

Polis bertindak menutup semua jalan menuju ke pusat bandar dan ke Istana Negara sejak awal pagi ini.

Akibat kawalan keselamatan ketat, GMI gagal menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, wakil kumpulan pro-ISA, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, dapat menyerahkan memorandum mereka kepada pengawal Istana Negara.

Perhimpunan itu berakhir pada jam 3.45 petang selepas pemimpin Pakatan Rakyat meminta mereka bersurai selepas berucap di ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut.

Dipercayai hampir 200 orang ditahan.

Dalam sidang petang tadi, pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh mendakwa 100,000 orang menghadiri perhimpunan hari di beberapa tempat di tengah-tengah ibu kota.

Manaka Ketua Dewan Pemuda PAS Nasrudin Hassan pula menganggarkan kira-kira 80,000 menyertai perhimpunan hari ini.

Para saksi pula menganggarkan lebih kurang 20,000 menyertainya.

Sehingga lewat petang ini, pihak polis masih lagi berada di sekitar SOGO dan melepaskan tembakan meriam air apabila ternampak kumpulan penyokong anti-ISA.

No comments:

Post a Comment