Tindakan sekumpulan orang mengadakan tunjuk perasaan dengan berarak membawa kepala lembu binatang suci dalam agama Hindu bagi membantah pemindahan sebuah kuil di Shah Alam adalah berbentuk provokasi untuk mengugat perpaduan rakyat.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata tindakan berbentuk menghasut itu amat dikesali, khususnya menjelang Hari Kemerdekaan Isnin ini.
Khalid berkata rakyat Selangor pelbagai kaum adalah matang dan tidak akan terpengaruh dengan penunjuk perasaan yang cuba mencari modal politik murahan dengan menggunakan sentimen keagamaan untuk menghasut penduduk.
Beliau menggesa polis segera mengambil tindakan secara adil dan melakukan penyiasatan termasuk mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang mengugut para pemimpin kerajaan negeri.
“Dalam hal ini, walaupun kita wajar mengecam tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab tersebut, namun kita lebih baik menyerahkan kepada pihak berwajib untuk mengambil tindakan,” tegas Khalid.
Beliau berkata kerajaan negeri sebelum ini sudah pun mengatur perbincangan terbuka bersama penduduk setempat untuk mendapatkan maklum balas mengenai perpindahan kuil itu dari Seksyen 19 ke sebuah tapak di luar kawasan perumahan di Seksyen 23. Dialog itu dijadualkan pada 5 September depan.
“Perbincangan itu nanti bukan sahaja untuk mendengar luahan pendapat masyarakat setempat tetapi juga memberikan peluang kepada kerajaan negeri menjelaskan fakta sebenar dan alasan yang menyebabkan keputusan menempatkan semula kuil Hindu di Seksyen 19 ke Seksyen 23,” kata Khalid.
Khalid berkata sebarang tindakan menghina agama sesebuah kaum akan membawa persepsi Malaysia semakin berundur ke belakang dalam aspek memupuk budaya menghormati kepelbagaian agama dan adat resam di kalangan penduduk. .
No comments:
Post a Comment