Tuesday, August 4, 2009

Mat Sabu bertanding di Pmtg Pasir?

Selepas dua kali pilihanraya kecil melibatkan PAS di Semenanjung, nama Mohamad Sabu sekali lagi disebut-sebut untuk mewakili parti pada pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir.

Selain penceramah politik popular itu, yang juga timbalan pesuruhjaya II PAS Pulau Pinang, nama pesuruhjaya PAS Salleh Man juga muncul.

Pilihanraya kecil DUN itu akan diputusan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat susulan kematian penyandangnya Datuk Hamdan Abdul Rahman akibat sakit jantung, Jumaat lalu.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Yang Dipertua PAS Permatang Pauh, Omar Hassan berkata, suara akar umbi PAS umumnya mahu Salleh atau Mohamad bertanding sebagai calon PAS.

Tambahnya, selain dua tokoh pemimpin tersebut, PAS kawasan juga mempunyai beberapa lagi calon berpotensi untuk mewakili parti itu.

"Calon yang mesra rakyat, yang turun dalam program bersama rakyat," katanya, menjelaskan ciri-ciri calon yang akan dipertaruhkan oleh parti itu.

Permatang Pasir antara tiga DU dalam parlimen Permatang Pauh yang diwakili oleh ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, nama Mohamad turut disebut-sebut menjelang berlangsungnya dua pilihanraya kecil Kuala Terengganu, Januari lalu dan Bukit Gantang, April lepas.

Ketika dihubungi hari ini, Mohamad berkata beliau belum menerima tawaran daripada kawasan atau badan perhubungan PAS negeri untuk bertanding.

"Saya tunggu tawaran. Tengok surat tawaran dahulu, baru saya fikir," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan PAS untuk membuat keputusan.

Jawatankuasa PAS akan bermesyuarat jam 10 pagi Ahad ini untuk menetapkan calonnya di kerusi negeri tersebut.

Manakala Setiausaha PAS Permatang Pauh, Ahmad Kamal Ahmad berkata, dalam mesyuarat kawasan itu malam tadi pihaknya tidak membincangkan tentang calon.

Mereka hanya membincangkan persiapan jentera pilihanraya kawasan itu yang melibatkan sembilan pusat mengundi, tambahnya.

Ahmad Kamal berkata, beliau belum menemui ahli akar umbi yang melibatkan kira-kira 3,000 ahli di 11 cawangan di Permatang Pasir untuk mendapatkan maklum balas mereka.

Ditanya mengenai ciri-ciri calon yang dikehendaki oleh PAS kawasan, Ahmad Kamal berkata:

"Nak cari macam YB Hamdan memang payah. Calon yang boleh berkhidmat, dekat dengan rakyat, boleh berjumpa bila-bila masa dan mesra rakyat."

Ditanya sama ada pemimpin PAS di peringkat pusat boleh dicalonkan untuk bertanding di situ, beliau enggan mengulas

No comments:

Post a Comment