Wednesday, August 19, 2009

Salahuddin cabar Zahid berdebat

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mencabar Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk berdebat mengenai isu pembatalan lesen guaman sivil calon BN pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir, Rohaizat Othman.

Salahuddin memberi tempoh 24 jam kepada naib presiden Umno itu untuk memberikan jawapan sama ada beliau bersedia menyahut cabaran itu.

"Malam ini saya cabar untuk berdebat satu lawan satu dengan Zahid. Saya nak dedahkan tentang calon BN yang bertanding pada pilihan raya itu," katanya pada ceramah di Permatang Tok Kandu di Bukit Mertajam malam tadi.

Beliau mendakwa Ahmad Zahid, yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Pulau Pinang, tidak teliti dalam pemilihan calon BN yang bertanding pada pilihan raya itu.

Lesen guaman Rohaizat dibatal berikutan masalah yang ditimbulkan oleh bekas rakan kongsi firma guamannya.

Mengenai kenyataan Ahmad Zahid bahawa PAS tidak perlu mempertikai pemilihan calon BN, Salahuddin berkata:

"Ini menjadi masalah kepada penduduk di Permatang Pasir kerana jika calon ini menang ia akan mewakili mereka."

Pada pilihan raya kecil itu, Rohaizat, 38, yang merupakan setiausaha Umno bahagian Permatang Pauh, berdepan Pesuruhjaya PAS negeri, Mohd Salleh Man, 52.

Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman daripada PAS pada 31 Julai lepas kerana sakit jantung. BERNAMA

No comments:

Post a Comment