Wednesday, August 19, 2009

P Pasir: PAS yakin kekal sokongan pengundi Cina - Malaysiakini


PAS yakin dapat mengekalkan sokongan pengundi Cina yang berjumlah kira-kira 5,400 orang di Permatang Pasir dalam pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir pada 25 Ogos ini.

Setiausaha PAS Pulau Pinang, Mohd Fadzil Kemi berkata parti itu memfokuskan kepada keempat-empat daerah yang mempunyai majoriti pengundi Cina - Kampungg Cross Street, Sama Gagah, Kampung Pelek dan Permatang Pauh - bagi memastikan kemenangan PAS dalam pilihanraya kecil tersebut.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diperolehinya, akan berlaku pertambahan undi pengundi Cina di empat daerah mengundi yang mempunyai majoriti pengundi Cina.

"Kemenangan kita pada pilihanraya kecil 2008, adalah atas sokongan pengundi Cina. Kita boleh kekalkan sokongan tersebut. Insya-Allah sokongan akan bertambah.

"Sekiranya kita kekalkan sokongan pengundi Cina di sini, kita mampu mencapai kemenangan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

DUN Permatang Pasir mempunyai 20,290 pengundi dan satu undi pos, dengan 72.36 peratus pengundi Melayu, 25.85 peratus Cina, 1.63 peratus India dan 0.16 peratus lain-lain.

Membandingkan pertambahan undi pada 2004 dan 2008, Mohd Fadzil berkata, pihaknya mengatur beberapa strategi untuk mengekalkan sokongan, terutama dari kaum Cina.

Perbandingan itu, katanya, menunjukkan beberapa kawasan menunjukkan sokongan kaum Cina bertambah dalam dua pilihanraya umum lalu.

Kerjasama dengan DAP

"Pada 2004, di Kampung Cross Street, PAS menang dengan majoriti 562, dan pada 2008, majoriti bertambah kepada 1,148 undi - bertambah 36 peratus.

"Manakala di Sama Gagah, pada 2004, PAS kalah, dengan majoriti 70 undi, tetapi pada 2008, PAS menang dengan majoriti 946 undi - bertambah 22.59 peratus," katanya.

Kampung Cross Street dan Sama Gagah masing-masing mempunyai 2,179 dan 2,774 pengundi.

Sehubungan itu, Mohd Fadzil berkata antara strategi yang digunakan oleh PAS ialah bekerjasama dengan DAP untuk menarik sokongan Cina.

Katanya, PAS juga berusaha menonjolkan hubungan baik calonnya Mohd Salleh dengan kerajaan negeri yang diterajui oleh Lim Guan Eng bagi memastikan sokongan daripada kaum Cina.

"DAP juga berjanji akan memberi sokongan kepada calon PAS untuk memastikan kemenangan PAS dalam pilihanraya kecil 25 Ogos ini.

"Ini dapat menarik pengundi untuk menyokong PAS terutama pengundi Cina. Bagi Lim Guan Eng, PAS penting dalam kerajaan negeri. Sebab itu dia nak pastikan kemenangan PAS," katanya.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu dan Menteri Besar Pakatan di Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin juga akan turut berkempen bersama dengan calon bagi menarik pengundi Cina di kawasan lain.

'Aura Anwar'

Mohd Fadzil menambah, PAS juga berkempen dari rumah ke rumah serta berceramah bersama dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, ini kerana hubungan Anwar dengan penduduk Permatang Pasir cukup kuat - terutama sejak Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman menjadi wakil rakyat - bagi menarik pengundi terutama kaum Melayu.

"Aura Anwar kuat, dapat menarik pengundi Melayu," katanya.

Selain itu, PAS Pulau Pinang juga tidak akan menggunakan pendekatan menyerang peribadi calon BN Rohaizat Othman - yang sedang bergelut dengan kontroversi lesen guamannya ditarik balik oleh Majlis Peguam - sebagai strategi kempen.

Sebaliknya, katanya, PAS juga berusaha menonjolkan keperibadian dan ketokohan Mohd Salleh sebagai seorang calon yang terlibat dengan kerja kemasyarakatan seperti yang dilakukan oleh Mohd Hamdan di situ.

Menurutnya, pemilihan Rohaizat, yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Jumaat lalu, merupakan salah satu faktor PAS akan mencapai kejayaan di Permatang Pasir.

"Mereka memilih calon yang bermasalah," katanya.

No comments:

Post a Comment