Thursday, August 13, 2009

Beng Hock Mungkin Diseret - Polis

Inkues Teoh Beng Hock.

Pakar forensik polis hari ini tidak menolak kemungkinan Teoh Beng Hock telah diseret sebelum ditemui mati.

Dan inkues juga diberitahu pemeriksaan dua cawangan forensik di tingkap tingkat 14 Plaza Masalam, di tempat mayat Beng Hock ditemui dan tempat mendiang disoalsiasat di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),dijalankan dengan kadar yang terhad .

Pemeriksaan itu dijalankan oleh pasukan forensik Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Selangor.

Pada sebelah pagi prosiding menyaksikan saksi ke 13 , Inspektor Mazli Jusoh daripada cawangan forensik IPK Shah Alam memberitahu tidak ada sebarang kesan tapak kasut dikesan pada tingkap di mana mendiang dipercayai terjatuh.

Malah pemeriksaan menggunakan teknik "dusting" untuk mengesan cap jari juga tidak berhasil kerana menurut inspektor Mazli ,kawasan tersebut berhabuk.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan tempat yang berhabuk memudahkan kesan tapak kaki ditemui.

Mahkamah hari ini turut melakukan pengecaman terhadap barang bukti terdapat pada mangsa di hari kematiannya dan tingkap yang dipercayai tempat mangsa terjatuh.

Inspektor Mazli memberitahu mahkamah sewaktu membuat pemeriksaan di tingkap tingkat 14 bangunan Plaza Masalam itu penyendal tinggal yang telah patah ditemui di samping kesan lekukan di tingkap tersebut.

Beliau juga turut mengecam kasut mangsa. Terdapat geseran yang nyata pada kasut tersebut.

Peguam mewakili Kerajaan Selangor, Malik Imtiaz kemudian bertanya, sama ada saksi setuju bahawa geseran pada kasut Beng Hock memberikan implikasi yang penting kepada kes ini. Mazli menjawab ya.

Dan ketika ditanya oleh Malik kemungkinan kesan geseran itu akibat Beng Hock diseret, pegawai polis itu pada awalnya menafikan tetapi kemudiannya berkata "ya mungkin".

Malah apabila ditanya oleh peguam sama ada pihaknya melakukan pemeriksaan di tempat lain termasuk tingkat 15 bangunan Plaza Masalam, Mazli menyatakan beliau tidak tahu kewujudan tingkat berkenaan.

Saksi turut memberitahu tidak melakukan sebarang pengesanan cap jari pada badan dan tali pinggang Beng Hock .

Pihaknya juga tidak melakukan perbandingan klip yang ditemui berhampiran mayat mangsa dengan mana-mana bahagian di tempat Beng Hock kemungkinan terjatuh.

Peguam Kerajaan Negeri Selangor, Malik Imtiaz Sarwar hari ini membuat kesimpulan melalui keterangan yang diberikan oleh Mazli.

" Dari keterangan saksi yang pertama kita dapat tahu pemeriksaan yang dibuat khususnya di tingkat 14 di tingkap yang disyaki mangsa telah jatuh dan di bahagian sofa sahaja dan bukannya di tempat lain di pejabat SPRM tempat mendiang di soal. Dari saksi itu kita dapat tahu, pemeriksaan lanjutan juga terhad kepada beberapa area dalam pejabat SPRM"

Saksi kedua dipanggil pada hari ke lapan inkues ialah DSP Shahrul Othman Mansur.

Beliau dipanggil untuk memberikan keterangan di samping melakukan pengecaman terhadap barang saksi kematian.

Shahrul memberitahu mahkamah beliau bersama pasukannnya telah melakukan pemeriksaan di bilik Beng Hock pernah disoal siasat yang juga merupakan bilik mesyuarat utama SPRM dan bilik percakapan mendiang ketika soal siasat dirakam.

Pegawai polis itu juga mengesahkan memasuki bilik mesyuarat berkenaan dan masuk atau keluar dari bilik tersebut perlu menggunakan kad akses.

Tetapi apabila ditanya, adakah pihaknya meminta rekod keluar masuk melalui pintu itu diteliti, Shahrul berkata tiada sebarang rekod diambil dari pejabat SPRM.

Ditanya sama ada beliau mengetahui adakah kedua-dua bilik tersebut telah digunakan selepas mangsa ditemui mati, saksi menjawab tidak pasti kerana beliau hanya datang pada hari ketiga selepas mangsa ditemui mati.

Beliau juga memaklumkan pihaknya tidak melakukan sebarang pengesanan cap jari kerana dimaklumkan ia telah dilakukan terlebih dahulu oleh forensik IPK Selangor.

Namun apa yang mengejutkan ialah Unit Forensik Cawangan Bukit Aman mendapati kesan tapak kasut yang tidak nyata di tingkap tingkat 14 bangunan Plaza Masalam.

Menurut saksi tapak kasut itu berukuran 9 inci.

Walau bagaimanapun, apabila ditanya adakah penemuan kesan tapak kasut tersebut dibuat perbandingan dengan kasut milik mangsa, Shahrul menjawab tidak.

" Saya ingat dari apa yang dapat kita dengar ahli-ahli forensik telah melakukan seperti arahan yang diberikan tetapi boleh dikatakan skop penyiasatan terlalu terhad dan telah tertumpu kepada tingkap di tingkat 14 atas anggapan si mati jatuh dari situ dan mangsa memang berada dalam kawalan SPRM" kata Malik.

No comments:

Post a Comment