Wednesday, August 19, 2009

Himpunan Kesas Angkara Polis

Perjalanan mereka dihalang dan terhalang pada 5 November 2000 lalu untuk menuju ke destinasi masing-masing.

Mereka tidak mempunyai niat untuk mengadakan sebarang perhimpunan di Lebuhraya Kesas seperti yang dilaporkan sebaliknya mereka dihalang dengan tembakan gas pemedih mata diikuti dengan pancutan air berkimia.

Malah ada di antara mereka yang cedera dikasari oleh anggota Simpanan Unit Persekutuan (FRU).

Dua orang saksi pada hari ini dipanggil ke Mahkamah Sesyen 1 Ampang untuk memberikan keterangan.

Mereka yang dipanggil pada hari ini ialah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz omar dan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk memberikan keterangan.

Setelah 9 tahun berlalu, namun keadilan kepada Orang Kena Tahan (OKT) yang terlibat dalam 'demonstrasi Kesas' masih belum menemui titik noktahnya.

Saksi pertama, Datuk Mahfuz dalam keterangannya memberitahu mahkamah, beliau tidak bertujuan untuk berada di sana tetapi beliau tidak dapat meneruskan perjalanan beliau.

" Bukan tujuan saya berada di situ tapi perjalanan saya terhalang dan dihalang" kata Mahfuz.

Mahfuz berkata, beliau dalam perjalanan ke Jalan Kebun untuk menghadiri satu ceramah yang dianjurkan oleh Parti Keadilan Nasional yang kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat.

Sementara itu, Datuk seri Dr. Wan Azizah pula berkata, kenderaan yang beliau naiki terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Kesas ketika dalam perjalan ke satu ceramah di Jalan Kebun.

Katanya, tidak semena-mena tanpa sebarang arahan pihak FRU telah menembak gas pemedih mata secara bertubi-tubi kepada mereka yang terperangkap dalam kesesakan lau lintas tersebut.

Malah katanya, beliau sendiri yang ketika itu berkerusi roda menyedari salah satu tembakan gas pemedih mata itu ditujukan ke arah beliau.

" Pada kekecohan yang berlaku, saya sedar gas pemedih mata ditembak ke tempat saya" katanya kepada mahkamah.

Menyedari keadaan itu, salah seorang pengawal bertindak mengangkat beliau melintasi penghadang jalan lalu memasukkannya ke dalam sebuah kereta.

Apabila kenderaan bergerak, beliau yang menoleh ke belakang melihat sesuatu mengenai kepala pengawal tadi dan beliau terjatuh.

Kata beliau lagi, pada mulanya keadaan masih terkawal tetapi apabila gas pemedih mata ditembak, semua orang lari bertempiaran.

Kejadian Lebuhraya Kesas itu telah dilaporkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) oleh Mahfuz dan Wan Azizah kerana didakwa berlaku pelanggaran hak asasi manusia pada hari tersebut namun sayangnya sehingga kini, tiada titik noktah kepada kes ini.

No comments:

Post a Comment