Monday, June 28, 2010

Mengapa Melatah Kalau Felda Tidak Bankrap?

SHAH ALAM 27 Jun - Pembongkaran isu Felda oleh lidah rasmi KEADILAN, Suara Keadilan adalah satu langkah awal bagi menyelamatkan institusi tersebut daripada terus dipergunakan oleh Umno-Barisan Nasional demi kepentingan politik mahupun peribadi individu tertentu.

Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar Felda yang matlamat awal penubuhannya adalah untuk membela nasib Bumiputera terutamanya golongan peneroka dalam meningkatkan taraf ekonomi mereka kini berubah dengan tumpuan kepada kepentingan korporat tanpa memikir pengorbanan golongan peneroka.

"Kalau benar tidak bankrap mengapa perlu melatah sedemikian rupa sehingga mahu mengambil tindakan menyaman Suara Keadilan dan juga beberapa pemimpin lain. Felda sepatutnya mengambil sikap terbuka dengan pendedahan tersebut kerana kritikan diberikan mempamerkan kerisauan dan keprihatinan kita.

"Felda seharusnya melihat pendedahan ini dari sudut yang positif yang dapat membantu Felda lebih berjaya. Bagi saya tindakan menyaman adalah satu tanda jelas bahawa wujud kepincangan dalam pengurusan yang ada sekarang dan ini tidak lain hanya untuk menutup kesilapan dan mengubah perhatian rakyat kepada usaha saman bukan kepada apa yang telah didedahkan.

"Usaha saman itu hanya mempamerkan unsur autoritarian yang wujud dalam institusi tersebut," jelas beliau.

Nurul Izzah berharap seluruh warga Suara Keadilan akan bertahan dan terus berani memperjuangkan kebenaran dan membongkar segala kepincangan samada dalam Felda, agensi kerajaan yang lain dan juga dalam pentadbiran kerajaan Umno-Barisan Nasional.

"Saya yakin seluruh jentera Suara Keadilan akan bertahan dan berani untuk memperjuangkan kebenaran serta membongkarkan segala kepincangan samada Felda, agensi kerajaan yang lain mahupun kerajaan BN itu sendiri.

"Rakyat menaruh harapan dengan pembongkaran itu kerana ini dapat membantu menyelamatkan dana rakyat dan juga masa depan negara. Apa yang penting kita akan pastikan proses mahkamah berjalan dengan adil dan saksama," tegas Nurul Izzah lagi.


Malaysia Beli Torpedo Lebih Mahal Dari Harga Pasaran?

Dewan Rakyat digesa memanggil usul tergempar membincangkan perolehan dua jenis persenjataan kapal selam Scorpene milik Malaysia.

Ahli Parlimen Tian Chua (PKR-Batu) berkata kerajaan telah terlebih bayar dalam pembelian 40 buah peluru berpandu Exocet dan 30 buah torpedo Black Shark.

Dengan merujuk kepada pembayaran yang dibuat kerajaan Pakistan dan Portugal, Tian berkata Malaysia membayar 20 peratus lebih tinggi dari harga pasaran.

Tian menjelaskan Islamabad sekadar membayar 3.07 juta Euro untuk setiap unit peluru berpandu Exocet manakala Portugal memperoleh torpedo Black Shark pada harga 2 juta Euro seunit.

Congakan menunjukkan harga pasaran bagi kedua-dua jenis senjata ini mencecah 182.8 juta Euro, tetapi Kuala Lumpur membeli pada harga 219.265 juta Euro, iaitu 36.465 juta Euro lebih tinggi dari harga pasaran.

Azmin Ketuai PKR Selangor, Zaid Ibrahim Teraju PKR Wilayah Persekutuan



Naib Presiden PKR Azmin Ali dilantik sebagai pengerusi majlis pimpinan negeri Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkuatkuasa serta merta.

Perkara itu diumumkan oleh Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail selepas mempengerusikan mesyuarat pimpinan pusat parti itu di Shah Alam hari ini.

Menurut Wan Azizah, rombakan itu dibuat bagi membolehkan Khalid menumpukan tugaskan kepada usaha pentadbiran kerajaan negeri.

"Ini dimohon oleh Tan Sri Khalid sendiri bagi menumpukan tenaganya untuk disalurkan dalam pentadbiran Selangor," katanya.

Azmin sebelum ini mengetuai PKR Wilayah Persekutuan.

Kekosongan yang ditinggalkannya Azmin di negeri itu akan diambil alih oleh penyelaras Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim, umum Wan Azizah lagi.

Rombakan itu dilihat mengejutkan apabila sejak semalam ramai pemimpin kanan parti itu terus menafikan terdapat desakan supaya Khalid berundur dalam pemukiman PKR.

Anwar nafi cubaan MP guling Khalid

Khalid tidak hadir dalam kesemua sesi pemukiman dua hari sejak semalam di sebuah hotel di Shah Alam.

Selain ditemani Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketiga-tiga Azmin, Khalid dan Zaid hadir bersama dalam sidang media petang ini.

Bercakap soal yang sama, Anwar juga memberitahu dua negeri lagi akan mengalami pertukaran pucuk pimpinan yang akan diumumkan kemudian.

"Ia sedang dimuktamadkan," katanya yang enggan menyatakan terlebih dahulu negeri atau pimpinan terbabit.

Selain itu, Anwar turut menafikan bahawa terdapat pakatan ahli parlimennya yang merancang mahu menggulingkan Khalid sebagai menteri besar.

"Perkara itu tak berbangkit sama sekali. Kita sebulat suara dokong penuh. (Beri) Pandangan itu biasalah.

"Kita tengok Tan Sri Khalid pun tak sensitif sangat. Yang sensitif akhbar Umno," katanya.

(Malaysiakini)

Tuesday, June 22, 2010

ADUN Seri Serdang kosongkan kerusi?


Setiausaha Perhubungan Umno Selangor Datuk Mohamed Satim Diman tidak hadir pada mesyuarat pengurusan badan Perhubungan Umno Selangor malam semalam.

Sebaik mesyuarat tamat pada pukul 12.30 malam Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar ketika ditemui pemberita berkata Mohamed Satim (kanan) ada menghubungi dan mengatakan beliau tidak dapat hadir pada mesyuarat malam semalam kerana ada urusan.

Beliau berkata selain Mohamed Satim, bendahari Datuk Fateh Iskandar Mohamed Mansor dan Ketua Pemuda Suhaimi Ghazali juga tidak hadir pada mesyuarat malam semalam kerana mereka ada urusan di luar negara.

Sabtu lalu, Noh dilaporkan berkata beliau akan mendapatkan penjelasan daripada Mohamed Satim berhubung khabar angin yang mengatakan Mohamed Satim akan melepaskan semua jawatan politiknya termasuk sebagai ahli dewan undangan negeri (ADUN) Seri Serdang, pada mesyuarat malam semalam.


Noh berkata mesyuarat malam semalam membincangkan mengenai pengurusan mesyuarat bahagian Umno Selangor.

Sementara itu Mohamed Satim sehingga kini tidak dapat dihubungi bagi membuat sebarang ulasan mengenai khabar angin itu, yang dilaporkan oleh sebuah akhbar sebagai timbul apabila Mohamed Satim tidak hadir semasa mesyuarat ADUN Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.

Pada pilihan raya umum pada 2008, Mohamed Satim mengalahkan calon PAS, Ahmad Idzam Ahmad dengan majoriti 45 undi.

- Bernama

Kematian Altantuya: Bekas pegawai PM tak babit

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini menafikan terdapat nama atau suspek Datuk Nasir Safar - bekas pegawai khas perdana menteri - dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

"Hasil daripada siasatan polis, tidak terdapat nama atau suspek yang dimaksudkan terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya,” katanya dalam jawapan bertulis kepada R Sivarasa (PKR-Subang).

Dalam pertanyaan lisannya, Sivarasa meminta Hishamuddin menyatakan adakah benar atau tidak Nasir adalah lelaki dalam kereta Proton berwarna biru yang sampai di hadapan rumah Razak Baginda pada malam 19 Oktober 2006.

Ia berikutan dakwaan seorang penyiasat persendirian P Balasubramaniam yang kini melarikan diri di luar negara bahawa belia melihat Nasir di kenderaan berkenaan sebelum Altantuya
dibawa oleh polis.

Menurut Balasubramaniam, pada mulanya, beliau tidak mengenali Nasir tetapi berjaya mengecamnya melalui laporan media berhubung kenyataan pegawai khas Perdana Menteri itu yang dikatakan berbaur perkauman.

Berikutan peristiwa itu, Nasir meletakkan jawatannya sebagai pegawai khas Najib.

Jawapan yang dikemukakan oleh Hishamuddin di Dewan Rakyat, hari ini, bagaimanapun tidak menjawap soalan utama - benar atau tidak Nasir adalah lelaki dalam kereta yang berada di hadapan rumah Razak.

Bercakap kepada pemberita di lobi parlimen, Sivarasa melahirkan rasa dukacitanya yang kerajaan memilih untuk tidak menjawap soalan yang dikemukakannya.

"Jawapan yang diberikan tidak menyatakan sama ada Nasir berada di kereta itu ataupun tidak tetapi sebaliknya perkara lain diceritakan,” katanya kepada Malaysiakini.

Sumber - Malaysiakini

Puteri Umno Bawa Imej Elitis, Srikandi PKR 'Tawan' Universiti

Srikandi Parti Keadilan Rakyat semakin melebar sayap dalam meraih sokongan pengundi muda khususnya golongan mahasiswa institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Bercakap kepada TV Selangor, Ketua Srikandi Parti Keadilan Rakyat, Siti Aishah Shaik Ismail berkata kerancakan kempen Srikandi mendorong mereka menembusi 40 peratus IPT termasuk Universiti Teknologi Malaysia (UiTM).

Lebih manis lagi, kejayaan ini datang ketika Pergerakan Puteri Umno dilanda bibit-bibit perpecahan walaupun ia cuba diselindung Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Rosnah dipercayai terpaksa membuat kenyataan media kononnya tiada masalah kepimpinan melanda Puteri Umno berikutan desas desus mengenai kegagalan pergerakan itu menggamit sokongan pengundi muda, bukan rahsia lagi.


“Sebenarnya Puteri Umno sedang mengalami permasalahan yang ketara. Kita lihat di peringkat negeri pun, pengaruh mereka semakin menurun akibat sikap pemimpin mereka yang mengamalkan standard tertentu." katanya.

Siti Aishah menyifatkan kebanyakan pemimpin dan ahli Puteri Umno yang mengejar populariti dan menonjolkan imej elitis di kalangan rakyat marhaen.

Ini menyebabkan Puteri Umno tidak popular di kalangan rakyat dan kini, tidak lagi kedengaran program melibatkan mereka.

“Punca utama kelemahan mereka ialah kerana mereka dilihat sebagai satu golongan elit yang hanya mengejar populariti - itu yang menyebabkan mereka gagal mendampingi pengundi muda.

"Kita melihat Puteri Umno hampir 100 peratus mendiamkan diri dan tidak pun memberikan pandangan atau idea-idea yang bernas bagi membantu golongan generasi muda,” katanya.

Sebaliknya, Srikandi PKR bersungguh-sungguh menawan hati rakyat hingga mampu menambat keyakinan pengundi muda, lebih-lebih lagi golongan terpelajar.

“Kita berjaya menembusi hampir 40 peratus universiti di Malaysia termasyk UiTM dan UIA. Bukan bergantung kepada mahasiswa mencari kita di luar tetapi kita sudah mampu masuk sendiri melalui gerakan yang kita bina. katanya.

Tidak Ada Pilihan Raya Kecil Batu


KUALA LUMPUR - Pendirian Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ghazali Cha jelas bahawa kerusi Parlimen Batu kekal milik Pengarah Strategik KEADILAN, Tian Chua seperti mana yang diputuskan mahkamah Khamis lepas.

Tian yang ditemui pagi tadi di lobi parlimen berkata keputusan hakim betul dan niat beliau adalah untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil.

"Bagi hakim, jika sesiapa yang tidak bersetuju, maka pihak tersebut harus mencabar keputusan tersebut di Mahkamah Rayuan.

"Kita mengambil contoh kes Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin di mana Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar yang sah yang kemudiannya dicabar di Mahkamah Rayuan yang mana akhirnya Mahkamah Rayuan menetapkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar," jelas Tian Chua.

Menurutnya, tafsiran hakim bahawa denda RM2,000 tidak akan menghilangkan jawatan sebagai ahli parlimen dan pihak terbabit yang tidak bersetuju boleh mencabar keputusan tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz pula ketika ditemui media berkata beliau berpegang kepada keputusan hakim yang mengatakan Tian Chua tidak hilang kerusi tersebut.

"Mahkamah sudah putuskan maka tidak lagi timbul lagi persoalan kerusi tersebut.

"Apa yang telah diputuskan hakim sudah jelas di mana beliau tidak mahu pilihan raya kecil diadakan kerana membuang masa dan wang rakyat.

"Sebab itulah hakim mengurangkan denda tersebut daripada RM3,000 kepada RM2,000, dalam kes Fan Yew Teng yang dibatal kelayakannya sebagai ahli parlimen Menglembu pada 1975 hakim tidak menyebut bahawa beliau tidak mahukan pilihan raya kecil dan di dalam kes Tian, hakim telah menyebut dengan jelas dan nyata," kata Nazri.

Dalam pada itu Nazri juga berpendapat Ahli Parlimen Batu itu tidak perlu merayu berhubung keputusan tersebut.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar pula berkata pejabat Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sedang menunggu keputusan rasmi Mahkamah Tinggi berhubung kes Ahli Parlimen Batu itu.

Katanya lagi, Speaker tidak boleh bergantung kepada laporan media semata-mata.

Speaker akan mengkaji penghakiman Ghazali sebelum memutuskan sama ada untuk membawa kes Tian Chua itu untuk dibahas di Dewan Rakyat.