Thursday, August 13, 2009

Anwar: Pemimpin Rasuah Petualang Bangsa


Disebalik tuduhan 'pengkhianat' yang dilempar terhadapnya, namun ribuan tetap hadir mendengar ucapan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Anwar Ibrahim.

Walaupun ceramah diadakan di sebuah kampung kecil yang terperusuk di Rembau, Negeri Sembilan, sekurang-kurangnya sembilan ribu orang merentas denai dan bersesak di sebuah padang kecil mendengar Anwar membela dirinya dari fitnah Umno-Barisan Nasional.

Beralaskan kertas surat-khabar, mereka datang dari dekat dan jauh. Di hadapan mereka, Anwar mencabar Umno membuktikan siapa petualang bangsa sebenarnya.

"Kalau saya ambil saham Bumiputera, 1 inci tanah kerajaan, 1 kontrak untuk diri saya, Azizah dan anak- anak, kalau boleh cabar saya. Pejuang- pejuang UMNO Barisan Nasional, handal- handal belaka. Menteri mereka menghunus keris. Tanya dia kalau kamu pembela Melayu, ada atau tidak kamu ambil saham bumiputera ? Wang berpuluh juta yang diambil untuk keluarga mereka dan kroni mereka?," soal Anwar.

"Bukit Tinggi ? Gunung Genting? Diserah pada tauke judi. Umno serah Pulau Pangkor pada tauke Cina. Serah tanah Menara KL kepada Ananthan Krishnan. Diberikan syarikat dan dia jadi jutawan dalam masa yang singkat. Tauke- tauke Melayu diberi rumah, di Kuala Lumpur, London, Florida dan lain- lain. Jangan cabar saya. Kalau orang UMNO kata ini adalah fitnah, ayuh cabar saya. Saya akan jumpa dan jelaskan satu persatu," tambah Anwar lagi.

Datuk Seri Anwar menyatakan kehairanannya mengapa pemimpin UMNO Barisan Nasional terlalu mengamalkan perjuangan yang sarat dengan hasad dengki dan permusuhan peribadi yang melampau- lampau.

Bagi Anwar, adalah dosa yang besar untuk seseorang pemimpin itu merampas hak rakyat dan harta negara yang sepatutnya diagihkan kepada secara adil dan saksama.

"Kita hendak tanya pada mereka. Mengapa pemimpin UMNO ambil sikap bermusuh begitu sekali ? Ingat senang untuk panggil orang pengkhianat bangsa ? Khianat bangsa maknanya jual tanah, jual negeri. Biarkan rakyat dan kaum Melayu menderita. Dan dia kata untuk dirinya. Tapi apa yang berlaku dalam negara kita? Kenapa pemimpin UMNO mengambil sikap yang rakus, zalim, sombong dan angkuh ?," Anwar berkata.

Sebaliknya Datuk Seri Anwar menegaskan UMNO Barisan Nasionallah yang bertanggungjawab menjadikan orang melayu sehingga kini masih terkurung dalam mentaliti lama.

"Orang Melayu diperbodohkan kerana UMNO hanya akan berkuasa dan kekal berkuasa bila sekiranya orang Melayu tidak tahu maklumatnya," ujar Anwar.

Datuk Seri Anwar juga mempertikaikan rasionalnya slogan 1Malaysia yang canang hebat oleh Perdana Menteri najib Razak. Umno-BN mencanangkan 1Malaysia namun dalam masa yang sama meniupkan api perkauman supaya Melayu dan bukan Melayu saling benci- membenci.

"1Malaysia BN ialah 1Malaysia untuk orang kaya, ambil komisyen RM400 juta, tidak perlu siasat. Rumah RM26 juta, tutup kes. Stadium roboh, tidak perlu siasat. Tapi orang miskin belanja RM2,382...siasat, dera, siasat, sampai mati. Itu maknyanya 1Malaysia untuk orang besar. 1Malaysia orang kaya dan 1Malaysia untuk orang- orang kecil," soal Anwar lagi.

Disebalik keangkuhan Najib mempopularkan slogan keramat IMalaysia, perdana menteri itu bagaikan alpa akan kemiskinan yang membelit majoriti rakyat dinegara ini.

"Negara kita antara negara yang terkaya jika banding dengan negara- negara jiran. Mana ada negara jiran yang mahsyur minyak begitu besar ? Tidak usah buat apa, hanya ambil komisyen minyak, RM60 bilion, RM70 bilion. Saya tahu sebab saya Menteri kewangan selama 8 tahun. Hasil kelapa sawit, hasil balak di Sabah dan Sarawak tinggi. Tapi apakah diagih pada rakyat?," soal Anwar lagi.

No comments:

Post a Comment