Sunday, August 23, 2009

PKR Kedah: Radzhi harus digugur sebagai EXCO dan Adun Kedah

Kenyataan Akhbar

Pihak Parti Keadilan Rakyat menerima maklum bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)kawasan Lunas yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah, YB Mohammad Radzhi Salleh ADUN daripada PKR dan memegang portfolio Exco pelancongan dan Pembangunan Masyarakat Serta Sumber Tenaga Manusia dalam kerajaan negeri Kedah telah mengumumkan pendiriannya itu pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini mengisytiharkan dirinya keluar parti dan menjadi ADUN Bebas.

Bagi pihak Parti Keadilan Rakyat Kedah kita amat kesal dengan sikap yang tidak bertanggungjawab ini. Telah menjadi kebiasaan apabila ada pilihanraya kecil, akan ada isu-isu lompat parti. Kita menjangkakan ini adalah sebahagian daripada tindakan yang dirancang oleh Barisan Nasional untuk memanipulasi isu menjelang pilihanraya kecil Permatang Pasir pada 25 Ogos nanti.

Prestasi lemah beliau dalam kerajaan negeri juga amat mengecewakan pimpinan parti, ini termasuklah tuntutan beliau yang tidak munasabah, dan maslah perkahwinannya kali keempat di Thailand yang kini sedang dalam proses di makamah. Kami juga telah memberi amaran keras kepada beliau untuk membuat perubahan prestasi kerja beliau dan khidmatnya di kawasan, namun beliau tidak bersedia untuk melakukan perubahan yang membuatkan ia mengistiharkan keluar dari parti hari ini. Ekoran daripada itu juga Cabang Padang Serai telah di gantung oleh MPP dan diambil oleh pengurusan dan pentadbiranya oleh pimpinan negeri sehingga mesyuarat agung cabang yang akan di adakan nanti. Keputusan ini di buat pada mesyuarat MPP 26 Julai yang lalu.

Sehubungan dengan itu kepimpinan PKR Kedah berdiri teguh mendokong dan menyokong kepimpinan YAB Dato Seri Ustaz Azizan Bin Abd Razak sebagai Menteri Besar dan selanjutnya mencadangkan kepada YAB Menteri Besar untuk memohon perkenan KDYMM Tuanku Sultan kedah mengugurkan jawatan beliau sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri. Pimpinan Parti Keadilan Kedah juga dengan ini mendesak YB Radzi untuk meletak jawatan sebagai ADUN Lunas.

Sekian,

(YB HJ AHMAD BIN KASIM)
Pengerusi,
Majlis Pimpinan Negeri,
Parti Keadilan Rakyat Negeri Kedah Darul Aman

No comments:

Post a Comment