Monday, August 10, 2009

Surat Terbuka Buat Raja Nazrin : 7 Wasiat

10 Ogos 2009

Mengadap ;

DYMM Seri Paduka Baginda Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.

Ampun Tuanku beribu ampun.

7 WASIAT RAJA MELAYU.

Amatlah bangga hamba patik dengan keperihatinan Tuanku dengan membangkitkan kembali ingatan rakyat terhadap 7 wasiat Raja - raja Melayu pada awal bulan kemerdekaan negara (Ogos) ini.

Sesungguhnya ingatan ini amat tepat pada masanya dimana regim pemerintah semakin gila mencabul hak kedaulatan rakyat, raja dan kemerdekaan yang kita perolehi bersama. Namun hamba patik juga sedikit merasa kesal apabila pemimpin Barisan Nasional bukan sahaja tidak sedar malah turut menyelewengkan peringatan Tuanku berkenaan dengan wasiat tersebut untuk kepentingan politik mereka.

Tuanku,

Merujuk wasiat tersebut seperti di bawahjelas semuanya telah dicabuli oleh Regim pemerintah hari ini;



7 Wasiat yang disampaikan semasa raja-raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 itu ialah:


1.Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu .

2.Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.

3.Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta milik kamu, kami tubuhkan Rejiman Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.

4.Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan raja-raja Melayu memerintah negara ini.

5.Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.

6.Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.

7.Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada raja-raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).


Ampun Tuanku di sini hamba patik ingin menarik perhatian tuanku mengenai 7 penyelewengan regim Umno - Bn yang telah mengkhianati wasiat Raja - Raja Melayu tersebut.

1. Kerana persepakatan Umno dan keghairahan Umno untuk dijadikan pewaris negara ini dari penjajah, Umno telah menggagalkan usaha serius sekumpulan besar rakyat tanah ini untuk menjadikan negara ini merdeka sebagai negara bangsa yang lebih bersatu padu. Perlembagaan Rakyat yang diketengahkan oleh AMCJA - PUTERA telah disabotaj , digagalkan dan difitnah oleh Umno bagi pihak British yang tidak mahu negara ini menjadi negara bangsa yang kuat. Maka negara ini terpaksa akur dengan kemerdekaan 'kurniaan British' dan mewarisi dasar pecah perintah yang sehingga hari ini menjadikan kita lemah.

2. British selaku penjajah telah mengistiharkan Kanun Tanah yang mengandungi Akta Tanah Rizak Melayu. Ketika British mengistiharkan tanah rizab ini sebanyak lebih kurang 7 juta hektar telah digazetkan sebagai Tanah Rizab Melayu. Tahun 1957, British menyerahkan negara ini kepada pewarisnya iaitu Regim Umno dengan bilangan tanah rizab Melayu yang masih 7 juta hektar. Namun kini hanya tinggal lebih kurang bawah 4 juta hektar tanah rizab Melayu yang masih tinggal. Itupun kebanyakan sudah berpindah milik kepada segelintir Melayu kaya dan berkepentingan politik.

3. Wasiat ketiga ini juga dicabuli. Pertahanan Negara jelas goyah apabila pemimpin regim ini memilih untuk menjadi hamba kepada kuasa asing. Pertahan negara masih bergantung dengan Amerika, pembelian peralatan perang yang melibatkan rasuah telah membahayakan keselamatan negara kerana peralatan yang tidak setara malah turut menyebabkan perajurit negara mati ketika latihan bukan ketika perang kerana mengendalikan peralatan perang yang usang dan tidak berkualiti. Malah tuanku rekod menyatakan Pemimpin kanan regim ini juga terlibat dalam menyerahkan tanah milik negara ini kepada negara asing dengan sewenang wenangnya. Itu belum masuk lagi kisah bagaimana periuk nasi negara ini (BERNAS) kini sudah menjadi milik pedagang asing dari Hong Kong.

4. Merujuk kepada perihal Kedaulatan Raja - raja Melayu menang telah dijanjikan dalam perlembagaan namun regim Umno Bn yang menguasai 2/3 parlimen negara telah meminda perlembagaan ini dengan menghakis kuasa Raja - raja Melayu. Masih ingatkah Tuanku dengan penghinaan TV3, Utusan dan lain media milik Umno yang menghina dan mengaibkan Raja Melayu semata untuk mempengaruhi rakyat untuk meminda perlembagaan pada tahun 1994 demi menghakis kuasa Raja Melayu.

5. Sememangnya Islam masih kekal sebagai agama Persekutuan namun kegagalan regim pemerintah menjaga keharmonian Islam amat menyedihkan. Malah Islam dipermainkan sendiri dalam ucapan pemimpin regim ini, khususnya ketika zaman era Mahathir Mohamad. Insitusi masjid, agihan zakat dan bantuan Baitulmal semuanya dipolitikkan sehingga penghormatan kepada institusi agama seumpamanya makin terhakis.

6. Bahasa Melayu sudah hilang maruah akademiknya. Institut Pengajian Tinggi bangga menggunakan bahasa penjajah sebagai pengantara. Di Peringkat menengah dan rendah mujur rakyat berani bangkit berdepan belantan, gas dan air kimia Polis regim ini maka kemungkinan pengajaran Sains dan Matematik akan dikembalikan semula dalam bahasa Melayu. Tulisan jawi pusaka bangsa telah lama mati......ini semua kerana pengkhinatan regim ini.

7. Hak istimewa orang Melayu dan bumiputera makin terhakis, bukan kerana dirampas oleh kaum lain tetapi diseleweng oleh bangsa sendiri melalui pengaruh politik regim. Regim ini menggunakan istilah hak bumiputera atau dasar ekonomi baru telah mengaut keuntungan bagi pihak mereka dan keluarga serta kroni mereka atas nama kuota Melayu sedangkan majoriti Melayu masih susah dan melarat. Memang yang kaya melayu tetapi yang kaya sangat kaya dan yang majoriti masih payah dibawah sini.

Ampun Tuanku ;

Harapnya Tuanku yang berpendidikan tinggi tidak termasuk kepada golongan mereka yang ditipu dengan dakyat propaganda Umno Bn malah patik doakan Tuanku bukanlah dari golongan bangsa Melayu yang bersama mendokong dakyah regim ini (walaupun sedar ia dakyah tipu) hanya kerana kepentingan perniagaan peribadi atau keluarga.

Percaya dan yakinlah Tuanku jika regim ini dibenarkan terus berkuasa, negara ini akan hancur.....bukan sekadar 7 wasiat tersebut akan dicabuli malah hamba patik yakin Insitusi Raja - Raja Melayu ini juga akan hanya jadi seperti muzium pameran untuk lawatan dan tatapan pelacong sahaja dalam masa 20 atau 30 tahun dari sekarang ini.

Dalam surat terbuka buat tuanku yang sudah tentu akan boleh dibaca oleh pemimpin Regim Umno - Bn ini tuanku hamba patik mohon izin untuk melaungkan cabaran jika benar ada pemimpin Umno Bn yang masih yakin mereka bukan pengkhianat dan penderhaka bangsa dan agama ini maka siapa yang berani tampil berdebat dengan fakta dan ilmu demi membina rakyat keseluruhannya.

Ampun tuanku beribu ampun.

Salam dari hamba rakyat

che'GuBard
ahli Majlis Pimpinan Pusat
Parti Keadilan Rakyat.

No comments:

Post a Comment