Monday, August 24, 2009

Anwar dakwa Umno guna Radzhi tarik ADUN PKR lain



Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Umno cuba menggunakan ADUN Lunas Mohd Radzhi Salleh - yang keluar PKR hari ini - untuk menarik beberapa ADUN PKR yang lain, menyeberang menyertai Umno.

"Percubaan Umno ialah buat tuduhan kepada ADUN Lunas, dan kemudian menggunakan beliau untuk mempengaruhi yang lain. Kita ada rekod, beberapa ADUN, dua tiga bulan lalu, mereka mengadu kepada saya, mereka cuba dipujuk oleh ADUN Lunas supaya berpindah kepada Umno dengan bayaran yang tinggi," katanya.

Anwar berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas selesai memberi tazkirah di satu majlis berbuka puasa bersama penduduk di Surau Said, Jalan Kampung Paya malam ini.

Menurut Anwar yang juga ketua pembangkang, Mohd Radzhi juga mempunyai beberapa masalah antaranya masalah displin, masalah kewangan dan hal-hal peribadi sehingga menerima teguran daripada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beberapa bulan lalu, membangkitkan perkara ini untuk disiasat. Saya tidak tahu dalam keadaan sekarang, SPRM kata tak ada kes setelah beliau keluar parti.

"Ini digunakan untuk beliau terus berunding. Kita ada maklumat beberapa bulan lalu, beliau mengadakan rundingan dengan Mahadzir Khalid (bekas menteri besar Kedah). Maka sebab itu saya bangkit di Parlimen tentang usaha untuk membeli wakil-wakil rakyat dan tidak dijawab oleh menteri," katanya.

Sehubungan itu, kata Anwar, majlis pimpinan negeri telah mengambil pendirian tegas dengan memberi amaran keras kepada Mohd Radzhi pada bulan lalu.

"Minggu lalu, majlis pimpinan negeri menggantung cabang Padang Serai termasuk ADUN Lunas kerana kes-kes yang berkaitan. Ini latar belakangnya.

"Sebab itu, YB Ahmad Kassim (pengerusi majlis pimpinan negeri) berkata sebaik-sebaiknya beliau meletakkan jawatan," kata Anwar.

Pagi tadi, Mohd Radzhi Salleh mengumumkan keluar PKR dalam satu sidang media mengejut di sebuah hotel di Kuala Lumpur dan menyatakan sokongan kepada kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau, yang juga exco pelancongan Kedah, dilaporkan mengisytiharkan sebagai ADUN bebas tetapi tidak akan melepaskan portfolio ahli majlis mesyuarat kerajaan.

Bagaimanapun Anwar berkata menteri besar Kedah akan menghadap Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah esok untuk memaklumkan permintaan PKR supaya ADUN Lunas, Mohd Radzhi Salleh, yang mengisytiharkan dirinya wakil bebas, digugurkan daripada jawatan exco.

Diminta mengulas pandangan bekas menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang mahukan Radzhi meletakkan jawatan sebagai ADUN Lunas, Anwar berkata:

"Ya, itu yang kita minta sebab kes dia ini berlainan. Kes dia melibatkan kes displin, kes SPRM dan kes peribadi. Ini masalah yang berkait dengannya, kalau begitu rumit, bagaimana nak jadi wakil," kata Anwar.

No comments:

Post a Comment