Friday, September 25, 2009

Undi Pos : AMK Sanggah Kenyataan SPR, Cadang Anjur Forum Rakyat Libatkan Semua Pihak

Kenyataan Media
25 September 2009

Angkatan Muda Keadilan Malaysia kesal dengan kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar bahawa sistem undi pos akan diteruskan selagi adanya peruntukan undang-undang sedemikian, sebagaimana yang dilaporkan oleh media hari ini.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia melihat kenyataan ini sebagai mencerminkan kedangkalan pemahaman mengenai tujuan diwujudkan peruntukan untuk pengundi tidak hadir dan malah matlamat dan fungsi pilihanraya.

Pilihanraya diadakan untuk membolehkan rakyat memilih dengan bebas, tanpa tekanan yang tidak sewajarnya wakil mereka bagi membentuk kerajaan rakyat. Kerahsiaan undi adalah satu faktor asasi dalam proses pemilihan ini.

Tujuan diwujudkan peruntukan untuk pengundi tidak hadir adalah bagi membolehkan rakyat yang tidak bermastautin di dalam satu-satu bahagian pilihanraya menjalankan hak dan tanggungjawab mereka sebagai pemilih.

Antara mereka yang tidak bermastautin ini ialah anggota keselamatan yang bertugas di perbatasan atau di medan pertempuran atau mereka yang menjalankan tugas-tugas kritikal lain semasa hari mengundi.

Sudah tentu anggota tentera yang bermastautin di dalam kem atau di dalam sesuatu bahagian pilihanraya sesama keadaan aman, apatah lagi suami atau isteri mereka tidak dimaksudkan sebagai pengundi tidak hadir oleh penggubal Perlembagaan dan undang-undang.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia memandang berat kegagalan atau mungkin keengganan untuk memahami niat penggubal undang-undang ini. Prinsip yang harus dipatuhi ialah “the intention of the legislator is law”.

Tindakan memaksa pengundi dari kalangan anggota tentera dan suami atau isteri mereka menjadi pengundi tidak hadir dan menafikan hak mereka untuk mengundi sama seperti rakyat Malaysia lain mencabul Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa setiap rakyat adalah samarata dan tidak boleh didiskriminasi atas sebarang faktor termasuk profesion mereka.

Justeru Angkatan Muda Keadilan Malaysia mengajak semua pihak yang terlibat dan prihatin dengan pelaksanaan demokrasi tulen di Malaysia untuk mengadakan Forum Rakyat bagi membincangkan secara khusus persoalan undi pos atau pengundi tidak hadir ini. Forum Rakyat ini adalah penting bagi merungkai segala permasalahan dan kelemahan yang wujud bagi memastikan setiap undi adalah benar-benar bebas dan berkesan dalam menzahirkan kehendak sebenar rakyat.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia akan mengambil inisiatif untuk menganjurkan Forum Rakyat tersebut dengan menjemput semua pihak yang terlibat, termasuk wakil SPR, parti-parti politik, wakil Angkatan Tentera Malaysia, wakil Polis DiRaja Malaysia, organisasi masyarakat (NGO) dan rakyat yang prihatin.

Sudah tiba masanya proses dan sistem pilihanraya berkenaan pengundi tidak hadir dikaji semula dengan jujur dan dilakukan pindaan-pindaan perlu. Ini untuk mengelakkan anggota tentera, polis dan semua pengundi tidak hadir daripada berada di dalam keadaan serba salah dan tidak ada kebebasan untuk membuat pilihan.

Keengganan untuk membuat pindaan-pindaan tersebut akan menyebabkan semua pihak terus mempunyai persepsi bahawa pihak pemerintah UMNO-Barisan Nasional mempunyai agenda tersembunyi. Malah selama ini rakyat menganggap pengundi tidak hadir ini adalah faktor penentu yang memberikan kemenangan kepada BN di dalam pilihanraya secara tidak adil.

Persepsi wujud penipuan di dalam proses pilihanraya ini akan menjejaskan wibawa kerajaan, merosakkan amalan demokrasi sehingga boleh menyebabkan demokrasi di Malaysia menjadi demokrasi tempang dan malah menghilangkan keyakinan rakyat terhadap demokrasi dan negara ini sendiri.

Jika keadaan ini dibiarkan berterusan ia adalah satu pengkhianatan terhadap negara, pengkhianatan terhadap usaha gigih dan pengorbanan pengasas negara ini dan para pejuang kemerdekaan, pengkhianatan terhadap anggota keselamatan yang menggadaikan nyawa untuk keselamatan negara dan pengkhianatan kepada rakyat sendiri.

SHAMSUL ISKANDAR MOHD. AKIN
Ketua
Angkatan Muda Keadilan (AMK)
MALAYSIA
www.shamsuliskandar.com

No comments:

Post a Comment