Selepas Pakatan Rakyat berjaya mempertahankan kedudukannya dalam 8 dari 9 pilihanraya kecil pasca pru12 lalu, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim membunyikan gendang perang menandakan bermulanya kempen menggempur Bagan Pinang.
Di hadapan ribuan yang hadir di Dewan Tow Boo Keong, Ipoh, malam semalam, Anwar menggesa semua penyokong Pakatan Rakyat untuk menggiatkan kempen memenangi kawasan Umno ini.
"Ada orang kata ketuanan Melayu, saya hendak tanya Melayu mana tuan? Melayu pemimpin Umno, Melayu kaya, Melayu sombong bukan Melayu kampung, bukan Melayu miskin, bukan Melayu yang merana," katanya.
Pakatan Rakyat memenangi semua pertarungan di Semenanjung dan tewas satu di Batang Ai, Sarawak. Hanya PRK Penanti yang menyaksikan Umno-BN tidak bertanding, gagasan kerajaan alternatif ini merangkul 7-1 kemenangan berbanding BN, yang terbaru PRK Permatang Pasir pada Ogos lalu.
Kerusi Dun Bagan Pinang diisytihar kosong dengan kematian Adun Azman Mohd Noor Jumaat lalu. Dalam PRU12, Azman meraih 6430 undi menewaskan pesaing Pas, Ramli Ismail, dengan majoriti 2,333 undi.
Meskipun Umno dikatakan kuat di Bagan Pinang, namun pemimpin reformasi itu berkata beliau amat yakin Pakatan Rakyat mampu merampas kemenangan dari pemerintah. Anwar menambah rakyat perlu membuktikan bahawa perubahan juga dituntut di kawasan-kawasan Umno.
Beliau bagaimanapun tidak menolak bahawa saingan yang akan dihadapi Pakatan Rakyat sukar. Selain dari 5,000 undi pos yang menanti Pakatan Rakyat di Bagan Pinang, Suruhanjaya Pilihan Raya juga dibidas kerana gagal memastikan pilihan raya diadakan secara telus dan adil, halangan yang membantutkan arus perubahan.
Anwar juga mengajak Pakatan Rakyat menilai prestasi masing-masing. Beliau berkata gagasan alternatif itu perlu mengeratkan kerjasama dan menunjukkan kerja yang konsisten dengan prinsip Malaysia baru.
Kematangan, ikhtisas dan ketanggungjawaban harus ditunjukkan dan dibuktikan supaya pengundi yakin dengan pilihan mereka.
Anwar mendapat tepukan gemuruh apabila beliau sekali-lagi mengulangi pendiriannya bahawa kedudukan Melayu dan Islam akan dimartabat, sementara hak bukan-Melayu dan bukan-Islam di negara ini dipertahan.
"Kita sudah matang untuk membuat keputusan, ini Malaysia terdapat pemimpin Cina dan India. Saya seorang Melayu dan bangga menjadi Melayu, saya seorang Islam dan mengamalkan ajaran Islam. Saya tidak datang ke di sini untuk menyenangi kaum Cina bahawa saya bukan Melayu.
"Tidak menjadi masalah orang Melayu jadi Melayu atau orang Islam terus komited dengan pegangannya. Tetapi ini adalah negeri Melayu yang mempunyai jiwa kaum Cian, India, Iban dan Kadazan, ini negara kita. Kita boleh dengar suara yang menyatakan 1Malaysia, siapa kata 1 Malaysia? 1Malaysia untuk orang atas dan 1Malaysia untuk orang bawah," katanya.
Beliau menyeru semua untuk menolak politik provokasi yang telah menenggelamkan ruang dialog dan toleransi. Ramuan untuk keharmonian adalah keadilan dan kebijaksanaan dalam mencari penyelesaian apa-apa isu sensitif yang berbangkit.
Lebih 600 ahli dikatakan menyertai Parti Keadilan Rakyat malam ini. Bekas Ahli Parlimen Lumut Yap Yit Thong menyerahkan borang keahlian baru ke tangan Anwar Ibrahim, selaku Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat turut diadakan disambut dengan tepukan gemuruh dari para hadirin.
No comments:
Post a Comment