Mereka yang terlibat mengarakkan kepala lembu dan membuat ucapan dalam demonstrasi membantah pembinaan kuil di Seksyen 23 Shah Alam akan didakwa menghasut, kata peguam negara hari ini.
Tan Sri Abdul Gani Patail berkata mereka akan didakwa menurut Seksyen 4 Akta Hasutan atau Seksyen 298 Kanun Keseksaan.
Pemimpin-pemimpin yang menyampaikan ucapan bersama kumpulan kira-kira 50 penunjuk perasaan di depan bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor di Shah Alam akan didakwa bawah Seksyen 27(5) Akta Polis atau berhimpun secara haram.
Dalam satu kenyataan lewat petang ini, Abdul Gani berkata beliau berpuas hati dengan siasatan polis berhubung insiden tersebut setelah meneliti kertas siasatan yang diterimanya tengah hari tadi.
Pada 28 Ogos lalu, sekumpulan penduduk seksyen tersebut dengan beberapa NGO Melayu mengarakkan kepala lembu ke bangunan tersebut sebagai membantah cadangan pemindahan kuil Hindu ke kawasan mereka dari Seksyen 19 Shah Alam.
Mereka yang membentuk jawatankuasa bertindak penduduk seksyen itu berarak dari masjid negeri, beberapa ratus meter dari bangunan tersebut, selepas solat Jumaat.
Mereka menyatakan bantahan kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, exco kebajikan negeri Rodziah Ismail dan exco kesihatan Dr A Xavier Jayakumar.
Mereka juga mensasarkan kemarahan mereka kepada ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
Didahului dengan pembawa kepala lembu, yang masih belum kering darahnya, penunjuk perasaan berjalan sambil bertakbir dan melaungkan "kami bantah" menggunakan alat pembesar suara.
Mereka membawa sepanduk, antaranya bertulis "Take beer", "Islam untuk semua, kuil untuk Khalid dan Rodziah", "Kuil haram sekangkang kera, bila pindah sebesar Putrajaya" dan "Pindahkan kuil ke Seksyen 22".
Kira-kira 10 anggota polis hanya memerhati dan mengawal keadaan sekitar kawasan tersebut.
Selepas kepala haiwan itu diletakkan di depan pintu, timbalan pengerusi jawatankuasa bertindak membantah pembinaan kuil itu, Ibrahim Sabri tampil berucap ringkas, tetapi berapi-api.
"Ini amaran. Pindahkan kuil dari Sekysen 23, buatlah di Seksyen 22. Lembu ini kami hadiahkan kepada kerajaan negeri, kepada Khalid Ibrahim, Khalid Samad dan Rodziah. Ini hadiah kami."
Dalam sidang media selepas itu, pengerusi jawatankuasa itu, Mahyuddin Manaf berkata, mereka membantah tindakan kerajaan itu kerana 80 peratus penduduk kawasan itu beragama Islam.
"Mungkin ada yang salah tafsir bahawa kami biadab (berdemonstrasi), tetapi pemimpin yang mengajar supaya biadab kerana mereka membiarkan (tidak peduli) penduduk di Seksyen 23."
No comments:
Post a Comment