Friday, September 25, 2009

Penduduk Pokok Sena Terputus Bekalan Air

POKOK SENA, 25 Sept (Bernama) - Kira- kira 5,000 penduduk membabitkan enam buah kampung di daerah ini dilaporkan terputus bekalan air bersih sejak 10 hari lalu.

Antara kampung itu Kampung Bukit, Batu 20, Hujung Bendang, Batu 18 dan Bendang Baru.

Pemilik tempat mencuci kereta, Mohamad Ismail, 39, mendakwa beliau kerugian hampir RM4,000 kerana premisnya tidak dapat menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan.

"Musim raya biasanya ramai pelanggan datang untuk mencuci kereta tetapi pada tahun ini, saya terpaksa tutup kedai," katanya.

Menurut Mohamad, masalah gangguan bekalan air bermula sejak setahun lalu tetapi menjadi semakin serius sejak dua minggu lepas.

Beliau berkata, beberapa aduan telah dibuat kepada Jabatan Bekalan Air (JBA) di Kuala Nerang dan Alor Setar namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak terbabit.

"Macam-macam alasan yang diberikan setiap kali kami mengemukakan aduan," katanya.

Pengerusi Jawatan Kuasa Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Baru, Ramli Ahmad Bakar, berkata penduduk terpaksa mencari alternatif lain untuk mendapat sumber air seperti menggali telaga dan menggunakan air perigi yang kurang bersih.

Katanya tindakan itu terpaksa dilakukan kerana lori yang menghantar bekalan air tidak masuk ke semua kampung yang terlibat dan hanya sampai ke kawasan tertentu sahaja.

No comments:

Post a Comment