Wednesday, September 9, 2009

Tiada Individu Pakai Baju Tulisan Protes - Saksi

KUALA LUMPUR, 8 Sept - Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen di sini Selasa bahawa tiada individu yang memakai kemeja atau t-shirt bertulis "Protes" ketika dirujuk di dalam gambar yang diambil olehnya ketika menjalankan tugas di perhimpunan Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Barang (Protes) di KLCC, Januari tahun lalu.

Konstabel Sawbil Lemat, jurugambar polis, ketika disoal balas peguam bela Amer Hamzah Arshad, berkata bahawa tiada sesiapa yang memakai kemeja atau t-shirt bertulis "Protes" ketika perhimpunan itu.

Sawbil, 23, memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan 44 penyokong Protes yang didakwa melanggar perintah mahkamah serta menyertai perhimpunan haram di Jalan Ampang, berhadapan Suria KLCC, pada 26 Januari 2008.

Selain Mohamad Sabu, 55, turut didakwa ialah ahli majlis tertinggi Parti Keadilan Rakyat, Dr Badrul Amin Bahrun, 48.

Turut dibicarakan bersama ialah wartawan Malaysiakini, Syed Jaymal Zahiid Syed Kamal, 29, yang hanya menghadapi satu pertuduhan berasingan iaitu menghalang Cif Inspektor Effendi Abd. Rahman daripada menjalankan tugasnya sebagai anggota polis, pukul 3 petang pada tarikh yang sama di hadapan Stesen LRT Ampang Park.

Bagi kesalahan itu, Syed Jaymal didakwa mengikut Seksyen 108 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Jurugambar polis itu, saksi ketiga pendakwaan, berkata mengikut gambar itu hanya terdapat seorang lelaki berkaca mata dan berkemeja kuning yang tertera perkataan "Bersih".

Sawbil turut bersetuju dengan Amer Hamzah bahawa dalam taklimat yang diberikan oleh pegawainya ketika di Bukit Aman dan KLCC, hanya mengawasi dan mengambil gambar perhimpunan Protes sahaja tetapi bukan Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil).

Beliau berkata semasa kejadian itu ramai orang awam dan pelancong di perkarangan KLCC, dan mereka boleh keluar masuk tanpa sebarang masalah, dan pihak polis hanya mengawasi keadaan sekiranya wujud perhimpunan itu.

"Dalam gambar yang dirujuk, tiada sebarang individu yang memakai pakaian bertulis Protes tetapi hanya terdapat orang awam iaitu lelaki berkemeja kuning yang tertera perkataan Bersih," katanya.

Di samping itu, Sawbil turut menafikan yang beliau bukan sengaja untuk tidak mengaktifkan tarikh dan waktu pada kameranya ketika mengambil gambar tetapi terlupa.

Beliau berkata sebanyak 31 keping gambar yang diambilnya meliputi peringkat permulaan, pertengahan dan akhir perhimpunan itu yang diliputi sepanjang hari kejadian itu.

Menjawab soalan peguam bela Ranjit Singh yang mempertikai bagaimana Sawbil boleh mengetahui lokasi kesemua gambar yang diambilnya, kecuali dua keping gambar, sedangkan Sawbil sendiri yang menggunakan kamera dan mengambil gambar itu, Sawbil berkata: "Saya tak pasti lokasi gambar itu tapi saya tahu ia dekat dengan KLCC, saya tak setuju gambar itu dikatakan diambil di Jalan Yap Kwan Seng".

Jurugambar itu juga menjelaskan bahawa beliau tidak dimaklumkan mengenai pelan lokasi kejadian di dalam taklimat yang diberikan oleh ketuanya sebelum pergi ke tempat kejadian sehingga ditunjukkan kepadanya di dalam mahkamah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamad Sekeri Mamat disambung 7 Dis depan.

No comments:

Post a Comment