Monday, September 14, 2009

Tiga nama calon, yakin peluang cerah - Presiden PAS

KUALA LUMPUR, 14 Sept: PAS yakin mempunyai peluang yang cerah untuk menang dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang Negeri Sembilan berdasarkan lonjakan sokongan rakyat dalam tujuh pilihan raya kecil di Semenanjung dan pilihan raya umum ke-12 yang lalu.

Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata sungguhpun persoalan undi pos menjadi perhatian utama kerana mampu mempengaruhi keputusan, namun ianya tidak semestinya memihak kepada Barisan Nasional (BN) seperti tanggapan umum.

"Undi pos tidak semestinya memihak kepada mereka kerana kita juga pernah mendapat sokongan daripada undi pos ini.

"Cuma yang kita mahu ialah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telus dalam proses undi pos termasuk membenarkan kempen kepada pengundi pos dan mereka juga boleh hadir sama-sama mendengar kempen kita," katanya.

Sementara itu ketika ditanya calon PAS yang bakal bertanding, beliau memberitahu setakat ini tiga nama calon telah dikemukakan kepada Mesyuarat PAS Pusat untuk dipertimbangkan namun akan mengumumkan satu nama setelah SPR mengisyhtiharkan tarikh penamaan calon.

"PAS negeri (Negeri Sembilan) telah kemukakan nama tiga orang calon yang telah dikenalpasti berpengalaman dan diyakini boleh berkhidmat kepada rakyat. Semuanya adalah anak tempatan.

"Kita akan lawan sesiapa sahaja," jelasnya ketika disoal tentang ciri calon dan spekulasi lawan PAS yang bakal bertanding iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya Azman Mohamad Noor, 54, daripada Barisan Nasional (BN) yang meninggal dunia pada 4 Sept lepas.

Pada pilihan raya umum lepas, calon PAS, Ramli Ismail memperolehi 4,097 manakala Azman memperolehi Azman 6,430 undi.

Mengenai peluang PAS untuk menang, Ustaz Hadi berkata ianya adalah cerah berikutan momentum kemenangan yang semakin melonjak yang diperolehi parti itu sejak Pilihan Raya Umum 2008 lalu.

"Pada pilihan raya umum lalu kita hanya kalah dengan kira-kira 2,000 undi sahaja dan berdasarkan momentum kemenangan yang diperolehi menerusi beberapa pilihan raya kecil, peluang untuk menang adalah cerah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Program Semarak dan Semerbak Ramadan PAS di Pejabat Agung Jalan Raja Laut petang semalam.

No comments:

Post a Comment