MENTERI Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said selama ini banyak berdiam diri. Berdiam ini rupa-rupanya menyebabkan beliau dirasakan sebagai penakut. Bila beliau dirasakan beberapa pihak sebagai penakut, maka serangan datang bertubi-tubi, bukan dari penyerang yang berani mati tetapi dari kalangan mereka yang merasakan orang lemah adalah makanan orang kuat.
Tiba-tiba, Rabu lalu, selepas Mesyuarat Exco, Ahmad yang banyak berdiam, mula bersuara. Beliau mahu menyaman sebuah akhbar yang dianggap memfitnahnya. Jika masa yang diberikan untuk akhbar tersebut memohon maaf tidak digunakan, beliau yang sudah hilang sabar akan mengambil tindakan mahkamah.
Sebenarnya, Ahmad bukan baru diserang. Sebaik sahaja namanya disahkan sebagai pilihan utama untuk dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu selepas PRU 12, Mac tahun lalu, pelbagai media menyerangnya. Yang menghairankan, media elektronik dan media cetak itu, selama ini adalah penyokong Umno.
Siapakah dalang sebenarnya dalam Umno yang menggunakan media pro kerajaan menjadi propagandis kepada pihak yang tidak gemarkan Ahmad? Adakah dari Kuala Lumpur atau, mereka di Terengganu yang tidak mahu mengakui bahawa Ahmad adalah Menteri Besar Terengganu yang sah mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
Tindakan Ahmad ini, ekoran lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin baru-baru ini di Kuala Berang dan Manir dilihat sebagai bermulanya satu episod baru dalam kemelut politik Terengganu. Tuduhan-tuduhan yang dilemparkan selama ini, dari kalangan mereka yang masih berjawatan dalam Umno mungkin terhenti, apabila Ahmad mula bertindak.
Memetik kata-katanya dalam bulan Ramadan ini, laporan akhbar itu adalah penghujung kepada kesabarannya selama ini. Ahmad tidak dapat menerima fitnah yang disifatkannya sebagai laporan bermotifkan politik, kerana kehadiran sebenar orangramai tidak diambil kira oleh media tersebut.
Di Malaysia, sudah banyak kali media menerima tindakan saman, khususnya dari mereka yang berada di dalam pembangkang. Kadang-kadang, media ini merasakan mereka jauh lebih Umno dari pemimpin Umno sendiri. Itulah sebabnya, apabila mereka kena saman, pemimpin Umno sendiri tersenyum simpul, dan mentertawakannya.
Mereka, tidak mengendalikan laporan dan pemberitaan mengikut etika kewartawanan sebenar sebaliknya memasang niat untuk pro seseorang dan menolak pihak yang lain. Pemikiran rakyat diherdik dengan cara mereka melaporkan!
(Gambar:Dun kosong apabila 10 Adun Umno memboikot sidang Dun Terengganu)
Setakat ini, Ahmad yang kelihatan tidak mendapat sokongan dari barisan Exconya dalam isu ini, kelihatan bersendirian. Tetapi bagi mereka di Terengganu yang pernah kenal dekat dengan Menteri Besar yang hanya berjawatan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu ini, tidak pernah berklik-klik dalam politik.
Beliau disifatkan sebagai seorang yang penakut kerana sikap berdiam dirinya. Pernah, satu laporan tidak rasmi mengatakan, Ahmad pernah menerima serangan bertubi-tubi dari seorang ADUN yang tidak bersetuju dengannya, di depan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dengan disaksikan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh, namun beliau tetap mendiamkan diri.
Sebenarnya, diam Ahmad selama ini adalah diam berani. Beliau malas melayan karenah budak-budak yang tidak habis-habis mahu mengganggu kerjanya kerana beliau tahu perlantikannya dibuat atas kehendak istana.
Mungkin Ahmad memikirkan, jika ada budak-budak Umno yang tidak berminat dengan caranya mentadbir mahu menjatuhkannya, kenapa harus mengadu dan mencacinya di depan Hishammuddin kerana bukan Hishammuddin yang berkuasa melantik Menteri Besar.
Jika ini yang Ahmad fikirkan, inilah keberanian beliau sebenarnya. Berdiam diri dari menjawab dan berdepan dengan budak-budak yang kalah dalam pemilihan Umno di peringkat bahagian, merupakan satu kebijaksanaan. Kenapa klik yang tidak bersetuju dengan Ahmad tidak mengadakan rombongan meminta mengadap pihak istana untuk bertindak menggugurkan Ahmad?
Dari segi ini, jika mereka tahu pihak istana yang memperkenankan perlantikan Ahmad, bermakna jika mereka mencaci Ahmad, samalah seperti mereka menentang perlantikan itu. Apakah hukuman yang sesuai untuk kumpulan yang menentang keputusan istana?
Mereka yang selama ini berbondong-bondong ke Kuala Lumpur, menyusun strategi mahu menjatuhkan Ahmad sebagai Menteri Besar sudah merasakan kejayaan berpihak kepada mereka apabila Ahmad tidak dikekalkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu.
Kebetulan, Ahmadlah satu-satunya Menteri Besar dari Umno yang tidak dilantik memegang jawatan itu sedangkan di negeri-negeri lain, tidak berlaku sedemikian.
Itulah sebabnya, ada blogger yang menentang Ahmad meramalkan, apabila jawatan pengerusi Umno negeri terlepas, bererti jawatan Menteri Besar juga akan turut terbang.
Apabila mereka puas menunggu, Ahmad masih kekal sebagai Menteri Besar, timbul pula cerita dalam sebuah portal berita kononnya Ahmad sudah ditawarkan jawatan di peringkat kabinet untuk beliau mengosongkan kerusi Menteri Besar tetapi Ahmad menafikannya.
Apa yang menghairankan, sejak hari pertama Ahmad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar, serangan yang sebelumnya diterima, berterusan mendatanginya. Seolah-olah demam yang tak kebah. Ahmad tidak dilihat oleh kumpulan yang menentangnya sebagai seorang yang boleh berkompromi.
Kumpulan yang menentang Ahmad sebenarnya pernah mendapat suntikan semangat dari seorang menteri Pusat yang mendakwa dirinya sebagai pakar Perlembagaan. Kononnya jika Ahmad menerima tawaran istana untuk mengangkat sumpah, Ahmad akan jatuh seperti nangka masak.
Malangnya, Ahmad bukan nangka dan sehingga hari ini, selepas setahun setengah menjadi Menteri Besar dan mengangkat sumpah, bukan sahaja nangka tidak jatuh, malahan menteri Pusat itu pula berputar lidah memperbetulkan kenyataannya bahawa Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu dan Perlis, berbeza dengan Undang-Undang Tubuh kerajaan negeri-negeri lain.
Bukan sedikit kera dan monyet di hutan yang tertawa tetapi biasalah politik Umno, menteri yang berfikiran rendah seperti ini, masih diterima pakai walaupun dikitar semula. Ia seolah-olah Umno sudah ketandusan pemimpin dan mereka yang buat silap berkali-kali masih mahu dimaafkan begitu sahaja, tanpa apa-apa masalah.
Kemelut politik Terengganu ini akan berpanjangan. Nantinya, akan timbul isu kuasa siapa memilih calon dalam pilihan raya kerana sejarah membuktikan, Menteri Besar terlalu berkuasa dalam soal memilih calon. Contoh terbaik ialah Idris ketika menjadi Menteri Besar, walaupun beliau hanyalah Ahli MT yang dilantik tetapi berkuasa menyingkirkan seorang Ahli MT yang menang pemilihan, iaitu Datuk Abdul Rahman Bakar bagi kerusi Parlimen Marang.
Bukan itu sahaja, Idris juga tidak menamakan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dungun dan Hulu Terengganu untuk bertanding dalam PRU 12 yang lalu, sementara ketua bahagian Kuala Nerus dan Setiu diletakkannya bertanding Parlimen. Khabarnya hanya beliau seorang sahaja ketua bahagian (Besut) yang bertanding di peringkat DUN sementara Ahmad yang merupakan ketua bahagian (Kemaman) �dihilangkan� dari senarai, tetapi muncul disaat-saat akhir.
Setakat ini walaupun ada desas-desus mengatakan terdapat ADUN Umno yang mahu melompat ke PKR setelah mereka mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Umno Pusat masih belum mempunyai cukup keberanian untuk mengambil apa-apa tindakan.
Malahan, ADUN-ADUN yang pernah memboikot persidangan DUN juga tidak dikenakan apa-apa tindakan walaupun perbuatan mereka itu benar-benar tidak berperlembagaan kerana Umno sedang mengadapi krisis besar sepanjang hayat 63 tahun kewujudan parti ini.
Ketika media massa mengambarkan kerajaan PR di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor goyah, hakikatnya politik Terengganu lebih dahsyat bergelora, namun ia tidak digambarkan seteruk kerajaan Pakatan Rakyat.
No comments:
Post a Comment