KUALA LUMPUR, 13 Sept: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mengucapkan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang mengingatkan Pakatan Rakyat bahawa kemenangan yang akan diperolehi tidak akan kekal jika prestasinya lemah.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir yang memotivasikan lagi rakyat yang cintakan demokrasi dan kedaulatan undang-undang apabila bekas Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menyatakan Umno dan BN mungkin akan mengalami nasib yang sama seperti Parti Liberal Demokratik (LDP) Jepun yang ditolak rakyat negara itu.
"Dr Mahathir kata, BN hanya boleh diselamatkan oleh prestasi lemah pembangkang.
"Apa yang beliau nyatakan itu merupakan peringatan yang sangat berguna kepada Pakatan. Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Tun," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Serentak dengan itu, beliau menggesa para pemimpin Pakatan mengingati kembali kenyataan Dr Mahathir November lalu di mana bekas Perdana Menteri menyatakan bahawa parti-parti lawan BN sedang memberikan 'preview' jenis pemerintahan yang akan didirikan.
"Kita bertanggungjawab memberikan 'preview' yang menyenangkan hati rakyat dan bukan 'preview' yang menyebabkan mereka meluat untuk melihatnya," Mahfuz mengingatkan.
Walaupun Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menunjukkan contoh yang baik dengan kehidupan sederhananya, kata beliau, ia tidak akan memberikan apa-apa makna jika tidak diikuti dengan bersungguh-sungguh oleh para pemimpin yang lain.
Mahfuz menyeru kerajaan-kerajaan negeri di bawah PR dan para pemimpin PR memastikan diri mereka bersih dari gejala-gejala yang melanda Umno yang dinyatakan oleh Dr Mahathir.
"Ketika (Presiden MIC, Datuk Seri S) Samy Vellu semalam menyatakan orang-orang India menyampah dengan BN, para pemimpin PR mestilah sedar bahawa bukan orang-orang India sahaja yang menyampah dengan BN malah sukar dinafikan bahawa majoriti rakyat negara ini menyampah dengan BN.
"Oleh itu, jika para pemimpin PR dilihat tidak berbeza dengan para pemimpin BN, rakyat akhirnya akan menyampah dengan PR," beliau mengingatkan.
Ketika mengulas penolakan rakyat Jepun terhadap LDP yang memerintah negara itu sejak Perang Dunia Kedua, Dr Mahathir berkata, fenomena tersebut tidak mustahil berlaku terhadap BN.
Jika prestasi kerajaan BN dan parti-parti di dalamnya gagal meyakinkan, beliau tidak menolak kemungkinan para pengundi yang kecewa akan melakukan apa yang telah dilakukan para pengundi Jepun - menyingkirkan parti yang mereka sokong sejak lebih dari separuh abad.
"Rasuah menjadi-jadi di dalam Umno dan parti-parti komponen (BN) yang lain. Perebutan kuasa telah melemahkan mereka. Para pemimpin begitu ghairah untuk terus berkuasa walaupun tidak lagi mampu berperanan.
"Dengan para pemimpin sedemikian, negara dan rakyat diabaikan. Pada dekad yang lepas, walaupun berdegar-degar dengan cakap-cakap bahawa berbilion ringgit diperuntukkan kepada koridor dan sebagainya, tidak ada bukti yang ketara dan boleh dilihat.
"Tidak ada apa-apa pun yang boleh ditunjukkan walaupun Petronas membayar RM250 bilion lebihan kepada kerajaan," katanya.
Adalah menghairankan, kata Dr Mahathir, apabila didapati Malaysia ketinggalan di belakang jiran-jirannya.
Negara ini, kata beliau, "bukan lagi negara yang terkehadapan di rantau ini. Tentunya tidak lagi boleh disifatkan sebagai negara contoh".
Dr Mahathir berpendapat, BN hanya boleh diselamatkan oleh prestasi lemah pembangkang.
Tsunami revolusi pilihan raya di Jepun 30 Ogos lalu menyaksikan Parti Demokratik Jepun (DPJ) menyingkirkan LDP apabila memenangi 308 dari 480 kerusi parlimen negara itu.
Malaysia must aim to be a model state to the world in “Unity in Diversity”
by promoting global inter-civilisational dialogue, understanding, tolerance
and harmony
-
Malaysia’s Prime Minister, Datuk Seri Anwar Ibrahim is in Peru for the APEC
Summit and we are joining BRICS. Malaysia must aim to be model state to the
wor...
4 days ago
No comments:
Post a Comment