Wednesday, September 9, 2009

MB Kedah sedia bubar DUN


ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, beliau sedia membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika benar ramai Wakil Rakyat Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini termakan umpan sama ada untuk 'melompat parti' ataupun mengisytiharkan diri mereka sebagai ADUN Bebas.

"Kalau benar berlaku, kita bubar Dewan (Undangan Negeri). Namun sehingga kini, tiada yang menyokong dakwaan itu. Pentadbiran negeri berjalan dengan lancar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ketika diminta mengulas kenyataan Ketua UMNO Bahagian Kulim Bandar Baharu, Datuk Aziz Sheikh Fadzir yang mendakwa akan ada lagi ADUN PKR di Kedah bertukar status menjadi ADUN Bebas.

Azizan berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dakwaan itu setelah laporan dibuat oleh Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah kelmarin.

"Biarlah polis siasat untuk memastikan tidak ada ADUN yang 'dibeli', diugut ataupun dirasuah pihak tertentu untuk 'melompat parti' ataupun mengisytihar sebagai ADUN Bebas.

“Saya serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk siasat. Anggap sahajalah mereka yang membuat dakwaan itu umpama berangan pada waktu siang hari.

"Mungkin sebelum ini, mereka berjaya umpan seorang dua, tetapi saya yakin, keempat-empat ADUN PKR yang ada sekarang tidak akan berbuat begitu,” katanya selepas majlis sumbangan kepada Sekolah Agama Rakyat, di sini, semalam.

Azizan berkata, strategi pihak lawan yang tidak putus-putus cuba ‘mengumpan’ anggota PR Kedah tidak akan memanfaatkan sesiapa.

“Saya percaya pihak lawan akan umpan mana-mana ADUN PR sampai bila-bila, sehinggalah pada hari Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya.

Menurutnya, sekiranya berlaku situasi di mana terdapat ADUN dari Pakatan Rakyat Kedah yang ‘termakan umpan’ dan bertindak lompat parti mahupun menjadi wakil rakyat Bebas, beliau bersedia untuk membubarkan DUN.

Aziz dalam kenyataan disiarkan Sinar Harian kelmarin berkata, beliau yakin akan ada lagi ADUN PR di negeri ini yang mengisytihar diri sebagai Wakil Rakyat Bebas daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas.

Sebelum ini, ADUN Lunas, Mohd Radzhi Salleh yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri, bertindak keluar parti itu dan menjadi ADUN Bebas.

No comments:

Post a Comment