Tuesday, September 1, 2009

Kerusi DUN Kota Siputeh Tidak Kosong - SPR

PUTRAJAYA, 1 Sept - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Selasa memutuskan bahawa tiada kekosongan berlaku pada kerusi Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Siputeh di Kedah.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata kerusi itu masih disandang oleh Datuk Abu Hassan Sharif yang memenanginya pada pilihan raya umum ke-12 tahun lepas.

Katanya SPR dalam mesyuaratnya pada Selasa sebulat suara memutuskan bahawa Adun Kota Siputeh itu tidak menghadiri dua mesyuarat berturut-turut di dalam dua penggal yang berbeza, bukan dua mesyuarat di dalam satu penggal yang sama.

"Setelah meneliti dokumen dan mengkaji fakta yang dikemukakan kepada SPR serta kedudukan undang-undang yang berkaitan, pada menjalankan kuasa di bawah Fasal (5) Perkara 53 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah, surat cuti sakit yang dikemukakan oleh Adun Kota Siputeh diterima oleh SPR bahawa kegagalan beliau menghantar surat cuti sakit kepada Speaker lebih awal tidak menjadikan surat cuti sakit itu terbatal," katanya dalam satu kenyataan di sini Selasa.

Abdul Aziz berkata sebelum Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah Darul Aman digunakan, ia terlebih dahulu perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan.

SPR pada 17 Ogos lalu menerima pemakluman daripada Speaker DUN Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail berhubung kekosongan luar jangka yang dikatakan berlaku di kerusi Kota Siputeh.

Pemakluman itu menyatakan bahawa Adun kawasan berkenaan, Abu Hassan gagal menghadiri sesi DUN dengan tidak memperoleh kebenaran Speaker sebanyak dua kali berturut-turut, sekaligus menyalahi Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah.

Dalam hal ini, Abdul Aziz menjelaskan bahawa Abu Hassan telah diberi peluang untuk menjelaskan sebab sebenar ketidakhadiran beliau dalam sidang itu.

"SPR telah meneliti surat daripada beliau yang memohon maaf kerana tidak dapat hadir dalam Sidang Dewan pada 9 Ogos 2009. Bersama surat itu dilampirkan surat cuti sakit daripada doktor yang mendapati beliau tidak sihat untuk menjalankan tugas selama dua hari iaitu dari 9 hingga 10 Ogos.

"Turut diteliti ialah kenyataan beliau bahawa beliau telah menghantar sms (khidmat pesanan ringkas) kepada Ketua Pembangkang untuk memaklumkan mengenai ketidakhadiran itu kerana sakit dada," katanya.

P/S: Lepas nie ramai lah YB-YB makan gaji buta ponteng tak datang sidang DUN pasal tak kena apa-apa tindakkan pun ?? apa pun Kuasa SPR mengatasi Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah.

Seksyen 51 Perlembagaan Negeri memperuntukkan mana-mana anggota DUN yang tidak hadir sidang Dewan dua kali berturut-turut hilang keanggotaannya dan hendaklah mengosongkan kerusi yang disandang.

No comments:

Post a Comment