Wednesday, September 2, 2009

Anwar : Pendakwaraya Sengaja Lengahkan Perbicaraan


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar pendakwaraya kerana masih mencuba untuk membatal atau menangguhkan keputusan hakim Mahkamah Tinggi mengarahkan Peguam Negara menyerahkan dokumen yang perlu untuk membolehkan Anwar menyediakan pembelaan beliau terhadap tuduhan liwat.

Pendakwaraya hari ini sekali lagi meminta Mahkamah Tinggi untuk menangguhkan perbicaraan bersabit penyerahan dokumen itu. Mahkamah Tinggi menetapkan 3 November ini untuk menimbang semula perkara berkenaan, tertakluk kepada keputusan Mahkamah Rayuan yang akan bersidang 23 Oktober bagi mendengar permohonan pendakwaraya membatalkan penyerahan bukti-bukti itu.

"Yang memohon untuk menangguhkan itu adalah pihak pendakwa. Selama ini saya yang disalahkan, kita sebenarnya minta dulu dokumen. Sampai sekarang masalah itu belum selesai", kata Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat.

"Pendakwa memohon membawa rayuan ini kerana tidak bersetuju dengan hakim yang memutuskan untuk memberi sebahagian besar dokumen kepada kita. Satu kes yang berkaitan dengan jenayah tapi dokumen tidak mahu diserahkan oleh pendakwaraya walaupun diputuskan oleh hakim" tambah Anwar.

Antara bahan bukti yang dituntut oleh Anwar ialah rakaman video keselamatan di tempat kejadian, bukti-bukti DNA dan keterangan saksi serta Saiful sendiri.

Anwar berkata setelah mengenakan pertuduhan liwat terhadapnya untuk kali kedua, pendakwaraya sengaja melewat-lewatkan perbicaraan atas alasan-alasan yang menafikan keadilan kepada beliau.

"Pendakwa memohon kepada mahkmah untuk menangguhkan sidang kes sehingga selesai permohonan rayuan di Mahkamah Rayuan. Oleh yang demikian permohonan itu hanya akan didengar pada Oktober oleh Mahkamah Rayuan. Maka oleh itu, mereka memohon supaya sidang dijalankan pada awal November" kata Anwar.

Anwar dituduh sebagai kononnya meliwat Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun tahun lalu. Laporan tiga pakar Hospital Kuala Lumpur dan doktor Hospital Pusarawi bagaimanapun mendapati tidak ada bukti klinikal menunjukkan Saiful mangsa liwat.

Saiful membuat tuduhan itu beberapa hari selepas berjumpa dengan Presiden Umno, Najib Razak ketika parti itu sedang cuba menundukkan Anwar pada pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Pertuduhan kali kedua itu, sebagaimana pertuduhan kali pertama ditolak oleh rakyat. Anwar menang kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti lebih besar dan diangkat sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

No comments:

Post a Comment