Thursday, September 3, 2009

600 Ahli MCA Bakal Sertai PKR

Lebih 600 ahli MCA dari negeri Perak dijangka menyertai Parti Keadilan Rakyat pada satu majlis di Ipoh Sabtu ini.

Bekas ahli parlimen Lumut dari MCA Dr. Yap Yit Thong berkata kebanyakan ahli MCA itu adalah anggota perwakilan dari beberapa bahagian di negeri itu terutamanya dari Lembah Kinta.

Menurut Dr. Yap kebanyakannya adalah ahli MCA dari bahagian Ipoh Barat, Ipoh Timur, Kampar, Tambun dan Batu Gajah iaitu di Lembah Kinta manakala yang lainnya dari Taiping dan Lumut.

Beliau berkata perkembangan mutakhir parti itu terutama pergeseran antara presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Kiat dan timbalannya Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mendorong mereka ma engambil keputusan untuk meninggalkan parti itu.

"Mereka datang secara sukarela, dan dengan sukerela menerima falsafah perjuangan PKR. Mereka percaya sistem dua parti adalah jalan penyelesaian terbaik mengatasi kecelaruan politik hari ini," kata Dr. Yap.

Dr. Yap berkata mereka kecewa dengan pergolakan dalaman parti itu yang jelas mencemar nama baik parti yang mereka sertai sejak sekian lama itu.

Katanya mereka akan diperkenalkan kepada pemimpin tertinggi PKR terutama Ketua Umum parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin Pakatan Rakyat pada satu ceramah umum di Ipoh , Sabtu ini.

Dr. Yap yang menyertai PKR bulan lalu bersama-sama bekas naib presiden MCA Datuk Chua Jui Meng berkata semua ahli terbabit menyertai parti itu secara sukarela tanpa mengenakan sebarang janji atau syarat terhadap kemasukan mereka.

Beliau juga berkata kebanyakan ahli yang ditemuinya sedang memerhatikan perkembangan yang akan berlaku pada mesyuarat agung tergempar MCA tidak lama lagi.

Dr. Yap berkata mereka sudah bertekad untuk meninggalkan parti itu tanpa mengambilkira samada keputusan itu berpihak kepada Ong atau Dr. Chua.

No comments:

Post a Comment