Thursday, October 8, 2009

Tentera, Polis Mula Mengundi Untuk Pilihanraya Kecil DUN Bagan Pinang


PORT DICKSON, 8 Okt - Para pengundi pos mula mengundi untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang pada Khamis dengan anggota tentera mengundi di Dewan Jeneral Tan Sri Sani, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) Kem Si Rusa manakala anggota polis mengundi di Ibu Pejabat Polis Port Dickson di sini.

Sehingga tengah hari Khamis, proses pengundian pos yang dimulakan pada pukul 8 pagi itu dilaporkan berjalan lancar.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang turut berada di Pusasda bagi memantau keadaan, berkata pengundian pos di situ hanya membabitkan kira-kira 2,000 pengundi tentera yang tinggal dalam kem.

"Undian pos di Pusasda dikendalikan oleh para anggota tentera yang kita lantik, dalam proses ini, anggota tentera membawa kad identiti masing-masing ke meja semakan nama dan mengambil kertas undi dengan disaksikan wakil-wakil calon yang berada di belakang meja berkenaan sebelum ke petak untuk mengundi," katanya.

Proses ini berjalan dengan begitu telus sekali dan wakil-wakil calon yang menyaksikannya berpuas hati dengan perjalanan urusan ini.

"Undian pos di Pusasda dibuka dari pukul 8 pagi sehingga pukul 5 petang hari ini. Sekiranya masih ada anggota tentera belum mengundi, ia akan dijalankan sekali lagi esok dan lusa sehingga kesemua anggota terbabit selesai mengundi," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata apabila selesai proses pengundian petang ini, karung undi pos itu akan dibawa ke pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya dengan diiringi oleh polis dan tidak akan disimpan dalam kem.

Bagi anggota tentera yang tinggal di luar kem, kertas undi pos sudah pun dihantar kepada mereka semalam.

"Kesemua kertas undi pos ini mesti sampai di pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya sebelum pukul 5 petang Ahad ini, yang juga merupakan hari pengundian bagi pengundi biasa dalam pilihan raya kecil ini. Penerimaan kertas undi pos selepas pukul 5 petang tidak akan dikira," katanya.

Anggota polis yang mengundi mulai hari ini mengguna pakai proses yang sama.

Terdapat sejumlah 4,604 pengundi pos di kawasan DUN Bagan Pinang. Daripada jumlah itu 4,571 terdiri daripada anggota tentera, 31 anggota polis manakala dua pengundi pos dikategorikan sebagai pemilik tak hadir kerana bertugas di luar negara.

Mereka merupakan sebahagian daripada 13,664 pengundi dalam DUN Bagan Pinang, yang turut membabitkan 9,060 pengundi biasa.

Wan Ahmad turut mengulangi jaminan bahawa tidak wujud nama berganda dalam daftar pemilih bagi kawasan DUN Bagan Pinang sebagaimana yang didakwa oleh PAS.

"Kita dah buat semakan semalam dan kita telah pasti tak wujud nama berganda dalam N31 Bagan Pinang, senarai yang diterima daripada PAS semalam telah kita semak dan tak ada nama berganda.

"Kalau berganda mungkin dalam senarai daftar awam di luar DUN Bagan Pinang, itu kita akan semak selepas pilihan raya kecil ini nanti," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang Ahad ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan calon PAS Zulkefly Mohamad Omar.

Ia diadakan berikutan kematian penyandang kerusi DUN itu Azman Mohammad Noor pada 4 Sept lepas.

No comments:

Post a Comment