Wednesday, October 21, 2009

Anwar: Pakatan Rakyat tidak berpecah

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi bahawa kepimpinan Pakatan Rakyat komited dalam memperkukuhkan gabungan tersebut walaupun terdapat laporan mengenai wujudnya pergeseran antara pemimpin tertingginya.

'Komitmen yang diberikan oleh pucuk pimpinan parti adalah jelas," katanya sambil menambah bahawa mereka akan menangani apa sahaja kelemahan melalui bekerjasama sebagai satu pasukan.

Anwar menegaskan demikian dalam satu sidang akhbar bersama dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

Sebagai tanda komitmen mereka, pemimpin tinggi dari DAP dan PAS turut hadir di sidang akhbar tersebut, termasuk Naib Presiden PKR, Azman Ali dan Datuk Zaid Ibrahim, yang dipertanggungjawabkan untuk menyediakan draf rangka kerja dasar bersama Pakatan.

Anwar juga menegaskan bahawa beliau tidak bimbang dengan komitmen pucuk pimpinan Pakatan untuk terus memperkukuhkan kerjasama dalam gabungan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, mereka bersetuju bahawa kadang-kadang wujud ketidakselesaan di peringkat akar umbi.

Anwar juga mengingatkan bahawa perbezaan antara pemimpin gabungan itu perlu diselesaikan secara bermuafakat melalui saluran yang ada.

Bagaimanapun, katanya, mereka tidak akan bertolak ansur dengan sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan dalam Pakatan, terutama di peringkat akar umbi.

"Saya tidak bimbang langsung terhadap hubungan kami di peringkat pusat tetapi Umno sudah tentunya akan terus memainkan isu-isu tersebut," kata Anwar lagi.

Beliau juga menafikan wujudnya pergeseran antara Azmin - yang mempunyai masalah dengan para pemimpin PKR Sabah - dengan Zaid, yang telah melawat negeri itu walaupun mendakwa beliau telah dilarang ke sana oleh pucuk pimpinan parti itu.

Azmin telah dipetik dalam laporan media sebagai berkata Zaid tidak dihalang oleh sesiapa pun dalam parti itu daripada menghadiri majlis parti itu di Sabah.

Beliau menggesa Zaid memperjelaskan apa yang dimaksudkannya apabila beliau berkata ketua umum parti itu, Anwar Ibrahim tidak memberi restu kepadanya (Zaid) untuk melawat negeri itu.

No comments:

Post a Comment