Tuesday, October 6, 2009

Hadiah RM1,000 jika ada foto Azeez ditumbuk

Sebuah NGO menawarkan ganjaran RM1,000 kepada sesiapa yang boleh menunjukkan bukti bergambar ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim ditumbuk penyokong PAS.

Perikatan Belia Bersatu Malaysia (PEMBELA) akan membayar sejumlah wang itu serta-merta kepada sesiapa yang menyerahkan gambar tersebut, lapor akhbar web rasmi PAS Harakahdaily.net hari ini.

Timbalan Presiden NGO itu Mohd Dzohir Hamid dilaporkan berkata mesyuarat ahli majlis eksekutif PEMBELA semalam mengambil keputusan menawarkan wang kepada pihak yang memiliki atau mahu menjual gambar insiden tersebut - kini menjadi isu menyerang PAS.

Bekas exco Pemuda Umno itu mendakwa ditumbuk oleh penyokong pembangkang pada hari penamaan calon pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, Sabtu lalu, sehingga terpaksa dirawat di hospital.

Mohd Dzohir juga dipetik berkata PEMBELA membuat tawaran itu untuk mendapatkan kepastian berhubung dakwaan Abdul Azeez itu.

"PEMBELA harap ada pihak yang merakam gambar tersebut sudi menjual kepada pihaknya dengan tawaran harga yang diberikan, sekali gus membolehkan pihaknya membuat tindakan lanjut di atas dakwaan Datuk Azeez berkenaan," katanya.

Pihak yang berminat dengan tawaran itu boleh menghubungi pemimpin PEMBELA itu di talian 019-49 80 230 pada bila-bila masa.

Abdul Azeez dilaporkan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak kelmarin setelah cedera teruk di muka, leher dan tengkuk.

Sementara itu, dalam laporan berasingan, Harakahdaily.net semalam pula memuatkan tiga keping foto yang tidak menunjukkan Abdul Azeez dipukul sewaktu berjalan kaki dekat kumpulan penyokong pembangkang.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dan ketua penerangannya Idris Ahmad dipetik berkata dakwaan Abdul Azeez itu sebagai "pembohongan" berdasarkan tiada kesan lebam atau calar di bahagian badannya dan juga rakaman tiga foto berkenaan.

No comments:

Post a Comment