Saturday, October 3, 2009

AMK Bantu Selesai Isu Penyeludupan Wang Di Hong Kong


Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin ke Badan Pencegah Rasuah Hong Kong untuk mendesak supaya soal siasat dijalankan ke atas sekutu Ketua Menteri Sabah yang ditahan menyeludup wang sejumlah RM16 juta.

Michael Chia Tien Foh, sekutu kepada Ketua Menteri Sabah Musa Aman ditahan berhubung penyeludupan dan pengurupan wang haram pada 14 Ogos tahun lalu.

Chia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa di Hong Kong apabila cuba berlepas dari wilayah China itu menuju Kuala Lumpur dengan membawa wang berkenaan.

Shamsul ke Hong Kong untuk membuat laporan berkenaan hal terbabit dan meminta bantuan daripada pihak Badan Pencegah Rasuah Hong Kong untuk menyiasat konco pemerintah BN itu.

Sementelah ianya isu besar yang membabitkan wang rakyat dan laporan ke atasnya telah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),namun tiada tindakan yang diambil.

Badan Pencegah Rasuah Hong Kong dikatakan memberi layanan baik dan meminta Shamsul menjelaskan tentang hubungan Chia, Musa Aman dan pembalakan haram di Sabah.

" Saya telah diminta untuk memberikan pandangan dan penerangan serta penjelasan terhadap dokumen yang telah kita berikan kepada ICAC di Hong Kong berkaitan dengan penahanan Datuk Michael Chia di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong pada 14 Ogos lalu" ujarnya.

Wang yang diseludup oleh Chia itu dikatakan mempunyai hubung kait dengan lesen membalak di Sabah yang membawa pulangan lumayan kepada ahli politik Barisan Nasional di negeri itu.

Blog-blog di Sabah telah memberikan liputan meluas berkenaan isu tersebut sejak tahun lalu. Malah hubungan Chia dan Musa Aman tidak menjadi satu rahsia lagi kini.

" Saya juga telah menerangkan bagaimana hubungan Datuk Michael Chia dan Musa Aman dan saya juga meminta pihak ICAC meneliti kesemua dokumen tersebut dan memulakan penyiasatan. Sekiranya benar wang-wang yang haram yang diambil dari hasil pembalakan haram di Sabah itu berada di Hong Kong termasuk kemungkinan untuk membekukan akaun-akaun yang berkaitan dengan penyimpanan wang haram ini" tambahnya lagi.

Shamsul dalam laporannya turut menamakan empat pihak lain yang terlibat dalam kes seludup wang tersebut iaitu kerajaan negeri Sabah, Innoprise Corporation Sdn Bhd, Rakyat Berjaya Sdn Bhd dan Kumpulan Yayasan Sabah.

Menurut sumber rapat, Polis Hong Kong dan Interpol telah memantau kegiatan haram Chia sejak tiga tahun lalu dan akhirnya berjaya menangkap Chia bersama bukti wang tunai bernilai RM16 juta yang diseludup keluar daripada Hong Kong di dalam beg pakaiannya.

Setelah disoalsiasat, Michael merayu agar dibebaskan kerana wang berkenaan milik Musa Aman dan beliau hanyalah agen membawa keluar wang berkenaan ke Kuala Lumpur bagi membantu meringankan beban kewangan Barisan Nasional dalam proses penamaan calon di Permatang Pauh dan sebahagiannya untuk kegunaan pilihanraya kecil berkenaan.

Shamsul dalam laporannya meminta kerjasama dari pihak Badan Pencegah Rasuah Hong Kong untuk membantu menyiasat perkara ini kerana ia melibatkan wang rakyat dan ianya harus dikembalikan kepada rakyat Sabah.

" Saya jelaskan kepada mereka pentingnya kes ini kerana ianya melibatkan wang rakyat dan kita pertikai bagaimana ada seorang individu yang boleh membawa wang sejumlah Rm16 juta yang dibawa keluar daripada Hong Kong. Ini merupakan wang keuntungan yang sepatutnya kembali kepada rakyat Malaysia".

No comments:

Post a Comment