ANALISIS
Benar, Tan Sri Isa Samad menang besar di Bagan Pinang. Semua pihak akur yang Isa memang sukar digugat di Bagan Pinang, bahkan di seluruh kawasan parlimen Telok Kemang, yang beliau adalah Ketua Bahagiannya. Menawan kerusi ini dari Isa, semacam hendak merampas Permatang Pauh dari DS Anwar. Bukan senang.
Bukan sahaja pihak lawan, bahkan MB Mohd Hassan dan tidak keterlaluan kalau dikatakan DS Najib, Presiden Umno itu pun tak boleh cabar Isa di situ. Sebab itu hanya dituruti saja kehendak penyokong tegar Isa. Kalau bertanding bebas pun dikatakan Isa akan menang.
Sebab itu, Umno tidak ada pilihan kecuali untuk meletakkan Isa juga, meskipun disanggah kedua-dua mantan Presiden, Tun dan Timbalannya, Ku Li. Mentelahan, setelah kalah 7-0 dalam p/raya kecil di Semenanjung dan 4-0 di tangan PAS, Umno tekad dan desperat untuk menang, walau dengan apa jua cara pun. Persetankan pengkritik.
Formula mereka mengena. Bahkan mereka untung besar. Pimpinan Umno bersorak dan berkokok sekeliling kampung. Lama mana media BN akan mainkan belum pasti.
Umno akan berhenti bersorak ketika mereka sedar bahawa Bagan Pinang, tidak menggambar Malaysia sebenarnya. Kemenangan Bagan Pinang sukar untuk dijadikan ukuran. Yang menang pun, mengikut ramai pundit politik bukan Umno/BN tetapi Isa Samad!
Sememang Isa adalah peribadi yang rata-ratanya disenangi banyak pihak. Orangnya mudah bicaranya tidak canggih seperti juga pemikiranya. Namun Umno sendiri tahu bahawa Isa bukanlah tokoh yang hendak di'ikonkan' Umno. Isa adalah sebaliknya dari cita-cita pembaharuan mereka. 22 tahun menjadi MB bukan masa yang singkat. Tapi Isa gagal menjadi mercu-tanda atau lambang kemegahan Umno. Mereka jua tahu dan faham.
Tidak banyak yang mampu dibariskan Umno bagi memperagakan pencapaiannya. Sebaliknya setiap hari kempen menyaksikan jentera penerangan PAS/PR menyenaraikan kepincangan, ketimpangan dan ketidaksudahan kerja tangan Isa. Masih banyak yang berbaki yang tidak sempat didedahkan kempen Pakatan.
Samada kegagalan itu akibat rasuah, kronisme atau pendeknya ketidakcekapan kepemimpinannya atau 'Plainly Incompetent' dalam bahasa inggerisnya, dengan izin. pengundi Bagan Pinang tidak peduli samasekali. Mereka sudah tekad untuk mengundi Isa. Umum kurang faham sebabya.
Kajian sikap dan persepsi menunjukkan pengundi hanya memberikan 8% perhitungan kepada soalan isu-isu kempen, sementara meletakkan 45% perkiraan calon dan 30% kepada parti yang bertanding. Sukar menembusi pengundi seperti ini. Ini kepelikan Bagan Pinang yang penganalisis kerusi empuk atau pengamat maya kurang faham.
Nah, sekarang Najib berdepan dengan dilema besar. Umno dikatakan akan kembali releven kerana kemenangan Isa Samad. Ironisnya Umno semacam mendapat talian hayat dengan Isa. Umno yang mengambil tindakan disiplin menghukum Isa kerana politik wang atau rasuah, kini terpaksa bersandarkan Isa untuk membenteras imej Rasuah parti Melayu terbesar itu. Ini cukup menyeksa Najib dan pimpinan Umno.
Bahkan mungkinkah Najib terpaksa mengintai-ngintai peribadi-peribadi seangkatan Isa. Mungkin mantan Ketua Menteri Melaka, mantan MB Pahang, Perlis dll, andainya berlaku pulak pilihanraya kecil lagi di negeri-negeri Umno/BN ini. Apakah golongan dari orde lama ini yang akan diharapkan menghidupkan Umno kembali seperti yang ditunjukkan di Bagan Pinang? Bagaimana dengan pemunggaran semula Umno?
Masih banyak kerusi-kerusi seumpama Bagan Pinang yang Umno masih boleh menaruh harap untuk menang besar di Negeri Sembilan, Melaka atau Johor. Kemudian berkokok kuat-kuat bahawa rakyat telah kembali kepangkuan Umno/BN. Najib silap dan partinya pun silap membuat ektrapolasi atau rumusan borong seperti itu untuk seluruh negara. Hati kecil mereka tahu bahawa dakwaan mereka tidak dapat mereka benarkan sendiri.
Kemenangan Umno di Bagan Pinang ialah kedudukan 'status-quo'. PAS turun sebagai 'underdog' dan Umno sebagai 'juara menanti' atau 'incumbent'. Macamlah PAS menang di Bukit Gantang, Penanti dan Manik Urai, atau PKR memenangi kerusi Permatang Pauh. Kelainan hanyalah terdapat pada kerusi Kuala Terengganu yang ditawan oleh PAS dari Umno. Itu boleh berkokok kuat-kuat. Itu lonjakan dan prestasi luarbiasa namanya.
Sebaliknya, Najib dan media BN terlalu ghirah untuk meyakinkan bahawa slogan 1-Malaysianya telah diterima rakyat dengan kemenangan Isa. Maka apakah Isa itu 1-Malaysia ke? Apa barang ini 1- Malaysia? 'Maskot'nya Isa Samad ke?
Kini Najib terperangkap dengan kelemahan kepimpinannya sendiri. Umno terlepas peluang di Bagan Pinang untuk memerdekakan ahli, pengundi dan rakyat. Beliau gagal menampilkan orang muda, profesional dan mungkin juga bersih untuk proses penambahbaikan atau 'reengineering' Umno.
Umno mahu terus mencandukan rakyat dengan imbuhan, sogokan dan gula-gula yang mampu ditaja oleh seorang mantan MB yang mewah setelah 22 tahun 'mengemudi' negeri terbanyak itu.
Umno tidak bersedia bermain di pentas 'Politik Baru' �politik berteraskan pengundi yang dibekalkan maklumat, lantas keberanian memilih sesiapa pun yang mereka tanggap mewakili cita-rasa dan harapan mereka.
Justeru, Najib gagal meyakinkan rakyat seluruhnya bahawa dia komited untuk memerangi rasuah dan politik wang. Mereka tahu bahawa Isa bukan ikon 'pembenteras rasuah' bahkan sebaliknya. Di satu sisi, nampaknya MCA jauh lebih berani membuat tekad perubahan dalam pergolakan dalaman parti itu mutakhir ini.
Umno telah menggunakan Mesyuarat Agung parti itu untuk menjadi pemangkin proses pemulihan dan rawatan parti itu? Umno masih mahu mencuba. Pindaan perlembagaan parti itu dalam mesyuarat khasnya telah dijadikan retorik terbuka ke atas komitmen tersebut. Hanya masa akan menentukan komitmen mereka terhadap program pembasmian rasuah dan pemunggaran semula Umno.
Apakah keberanian menciplak slogan dan retorik Pakatan yang nyata lebih selesa dengan pendekatan 'Inklusif' dan 'Rentas-Kaum' dalam advokasi tawaran politiknya, seperti mana slogan Pakatan atau PAS contohnya dengan slogan 'PAS Untuk Semua'?
Apakah Umno akan mengendurkan paksi 'Ketuanan Melayu'nya sekaligus terpaksa mengakui kelebihan slogan Pakatan dengan satu yang Inklusif yakni 'Ketuanan Rakyat'. Umno jelasnya tercepit dan terperangkap dengan dogma pemikiran lamanya. Kini kesemua dogma itu menghantui kesinambungan survivalnya dalam arus Politik Baru.
Umno takut untuk membuat perubahan besar meninggalkan paksi lamanya kerana takut kehilangan sokongan tegar Melayunya. Umno tidak pasti akan dapat mengembalikan sokongan India dan Cinanya dengan pendekatan baru ini, tapi yang jelasnya Umno khuatir kehilangan sokongan undi Melayunya, andaikata gagasan ini ditolak oleh pengundi tegar Melayunya bahkan sesetengah pemimpin dan ahli akar-umbinya. Ini dilema Umno dipersimpangan ini.
Mungkin ada yang menelah, apa kurangnya PAS dan Pakatan?
Episod-episod pertentangan samada di antara parti-parti komponen Pakatan atau dalaman mana-mana parti itu sendiri, samada dalam PAS atau PKR, adalah bibit-bibit pencerminan konflik dan dilema yang sedang dilalui Pakatan. Ini pengamatan penulis.
Sebaliknya Pakatan jangan bermudah untuk menyembunyikan hakikat ini. Lebih berani Pakatan menangani ini permasalahan ini secara kolektif dan konsisten, lebih baik natijahnya bagi Pakatan. Menyapunya ke bawah karpet hanya akan melengah letupan bomb jangka ini. Ia tetap akan meletup.
PAS dan Pakatan boleh sahaja meletakkan kekalahan di Bagan Pinang kepada masalah Undi Pos atau keganasan pihak lawan sehingga mencetuskan 'fear factor' khususnya di kalangan pengundi Cina dan India di estate- estate. Mungkin ada kebenarannya.
Namun ramai yang mahukan keputusan Bagan Pinang menjadi satu 'wake-up call' atau kejutan dari mimpi enak Pakatan, yang sejak selepas Mac 2008 di perkuatkan dengan kemenangan 7-0 ke atas Umno/BN di Semenanjung.
Mereka mahu PAS dan parti-parti komponen Pakatan, wajar menjadikan PRK Bagan Pinang sebagai satu 'peringatan tegas' bahawa 'Road-Map' ke Putrajaya tidak semudah dan semanis yang dituturkan pemimpin Pakatan.
Kalau benar-benar Agenda Perubahan Besar PRU ke-13 mahu digapai dan direalisasikan, maka tahap kesiapsagaan dan keserasian bekerja sebagai sebuah Koalisi Politik yang bakal menjadi Kerajaan Pusat, semestinya diperbaikki segera. Mereka mahukan Pakatan menunjukkan keupayaannya untuk bertindak sebagai satu Koalisi yang mantap dan kredible. Mereka mahu pertelingkahan titik bengit dan perhitungan kepentingan partisan atau parokial parti-parti komponen Pakatan diselesaikan segera dengan bijak dan cermat.
Percakaran dan perbalahan di antara pimpinan komponen Pakatan khususnya yang menerajui kerajaan negeri atau di Pusat disaran dihentikan segera. Mekanisme mengatasi perbezaan dan pertikaian polisi khususnya yang berunsur ras, kaum dan agama mesti diurus dengan bijak, cermat dan berkesan. Sikap berdolak-dalik atau tidak konsisten dan komited dengan dasar-dasar yang disepakati tidak wajar diberi ruang untuk menjadi cemohan dan modal politik pihak lawan mendakwa kerapuhan perpaduan Pakatan.
Tindakan disiplin terhadap sesiapa pun pimpinan yang tidak mengikut peraturan-peraturan yang disepakati oleh Muafakat Politik di peringkat Majlis Presiden mesti dikuatkuasakan dengan tegas.
Pakatan wajar tahu bahawa PRU ke-13 tidak akan dimenangi dengan hanya kebencian rakyat terhadap Umno/BN. Mereka mahu PAS, DAP dan PKR tidak bercakaran tentang isu agama, perundangan dan kepentingan kaum. Rakyat mahu saksikan formula baru Pakatan. Mana Agenda Ekonomi Baru Malaysia? Mana agenda pemulihan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia di bawah Pakatan? Mana agenda pembangunan yang lebih lestari, mapan dan berteraskan kesejahteraan rakyat? Bagaimana Pakatan akan mendemokrasikan ekonomi negara?
Mana agenda pembangunan yang tidak membawa kemusnahan alam sekitar dan kerosakan nilai insaniyah? Mana agenda urus-tadbir yang baik Pakatan yang membezakan kebobrokan Umno/BN? Kesemua ini mesti ditampilkan supaya rakyat mampu menilai Pakatan sebagai kerajaan menanti. Mereka juga mahu Pakatan didaftarkan segera dan tampil sebagai satu Koalisi Politik yang kuat dan kredible.
Bagan Pinang jelasnya adalah hak milik Umno/BN sekali lagi. Isa Samad telah memenangi pertempuran kali ini. Umno/BN berjaya mengekalkan kerusi ini. Namun dalam 3 hari selepas Bagan Pinang, Umno mahu meyakinkan rakyat di seluruh negara bahawa mereka telah berubah. Mereka sudah melalui transformasi.
Yang jelasnya banyak retorik oleh pemimpin yang dilaungkan dan kata-kata molok tentang transformasi dan perubahan. Dalam 3 hari belum ada apa-apa yang di lihat rakyat lagi, cuma kata-kata mereka yang didengari. Kesemua itu telah dilalui dulu. Legasi itu akan berulang lagi. Benarkah seperti kata Timbalan Presidennya bahawa Umno telah bersedia bertempur? Hebat. 3 hari bertempek dan bersorak, Umno telah meyakinkan seluruh dunia bahawa mereka telah berubah, telah merawat segala gejala-sindrom kerakusan kuasa, rasuah dan amaln politik wang pimpinan mereka. Aneh.
Penulis berkeyakinan hanya kelompok yang berjaya membaca kehendak rakyat dan aspirasi pengundi serta mampu menampilkan kepimpinan yang kompeten, berwiba, telus, berani dan beramanah sahaja yang akan bakal memenangi perperangan PRU ke-13.
Pakatan atau BN kah yang memilikki ciri-ciri kepemimpinan ini?
Masa akan menentukan. Allah Lebih Mengetahui.
Malaysia must aim to be a model state to the world in “Unity in Diversity”
by promoting global inter-civilisational dialogue, understanding, tolerance
and harmony
-
Malaysia’s Prime Minister, Datuk Seri Anwar Ibrahim is in Peru for the APEC
Summit and we are joining BRICS. Malaysia must aim to be model state to the
wor...
5 days ago
No comments:
Post a Comment