Monday, October 5, 2009

Selamat berpolitik wang, Umno!

KUALA LUMPUR, 5 Okt: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, imej Umno akan terjejas jika Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dicalonkan oleh Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Ini kerana, langkah itu akan menyebabkan Umno dianggap tidak serius dalam memerangi politik kerana masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.

"Isa sudah didapati bersalah, kalau Umno letak dia juga bermakna bahawa Umno tak ambil berat tentang kes-kes macam ini," kata beliau yang pernah menegaskan di dalam blognya bahawa "Umno sudah jadi parti perasuah".

Dr Mahathir juga menekankan supaya calon yang bebas politik wang dipilih dalam pilihan raya tersebut.

Isa digantung keahliannya di dalam Umno pada 24 Jun 2005 lalu. Akhbar melaporkan, beliau "didapati bersalah terlibat dalam politik wang".

Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat menyanggah pandangan Dr Mahathir itu.

Kenyataan beliau dilihat menimpakan tamparan yang hebat kepada pendirian Dr Mahathir yang menekankan pemilihan calon yang bebas politik wang.

Dari Paris, Bernama melaporkan Najib menegaskan bahawa Isa hanya melakukan kesalahan teknikal parti dan bukan kesalahan daripada segi undang-undang negara.

"Ini bukan kesalahan dari segi undang-undang negara ini cuma kesalahan teknikal parti," katanya semalam dalam reaksi terhadap soalan dari salah seorang pelajar dalam pertemuan dengan pelajar-pelajar Malaysia di Perancis.

Pelajar berkenaan mempersoalkan pemilihan Isa sebagai BN calon di Bagan Pinang.

Whitewashing atau pembersihan yang dibuat sendiri oleh Najib ke atas Isa itu bukan sahaja menghantar kelegaan yang membelai keinginan dan cita-cita bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu untuk kembali berpencak di dalam arus perdana politik Umno dan BN, malah ia sekaligus menyimbah sinar harapan baru kepada semua penagih politik wang di dalam Umno.

Najib telah membersihkan Isa. Dengan tegas beliau mengisytiharkan bahawa apa Dr Mahathir dakwa sebagai "didapati bersalah" itu sebenarnya "bukan kesalahan daripada segi undang-undang negara".

Ia sekaligus bermakna, "didapati bersalah terlibat dalam politik wang" sebenarnya "bukan kesalahan daripada segi undang-undang negara" di sisi Najib.

Hari ini, penagih-penagih politik wang di dalam Umno boleh berpesta-pora menyambut 'whitewashing' Najib ke atas apa yang dilaporkan sebagai "didapati bersalah terlibat dalam politik wang". Maklumlah, "bukan kesalahan daripada segi undang-undang negara".

Pengiktirafan Najib bahawa politik wang "bukan kesalahan daripada segi undang-undang negara" dengan sendirinya bermakna tindakan ahli-ahli Umno mengadakan demonstrasi 30 Januari lalu membantah tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam soal membanteras gejala politik wang adalah tindakan yang betul.

Bukankah Perdana Menteri menegaskan bahawa kesalahan Isa yang dilaporkan sebagai "didapati bersalah terlibat dalam politik wang" sebenarnya "bukan kesalahan daripada segi undang-undang negara"?

Mengapa pula SPRM bertindak membanteras amalan yang Perdana Menteri sahkan sebagai "bukan kesalahan daripada segi undang-undang negara"?!

Ia juga dengan sendirinya bermakna bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Norza Zakaria boleh menempelak SPRM: "Dengar sini! Perdana Menteri menegaskan bahawa Isa tidak melakukan kesalahan 'daripada segi undang-undang negara'.

"Adakah berbeza apa yang saya lakukan dengan apa yang telah dilakukan oleh Isa?

"Jika tidak ada beza, maknanya saya tidak melakukan kesalahan di sisi undang-undang negara sebab Perdana Menteri sendiri menegaskan Isa tidak melakukan kesalahan 'daripada segi undang-undang negara'".

13 Mac lalu, Norza mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Temerloh atas dua tuduhan rasuah bagi memenangi jawatan dalam pemilihan Umno.

Halimi Kamaruzzaman juga boleh mengambil tindakan terhadap SPRM setelah beliau disiksa dengan kejam oleh pegawai-pegawai suruhanjaya itu.

Dalam siasatan ke atas Halimi yang disyaki terlibat dalam politik wang, beliau mendakwa telah dipukul di bahagian kepala, perut dan bahu bertubi-tubi oleh tiga pegawai SPRM, ditendang di bahagian rusuk dengan lutut, dipaksa telanjang dan berguling-guling di atas lantai dalam keadaan bogel, dicekik sehingga tidak bernafas, ditolak ke dinding, ditendang ketika dipaksa berguling-guling atas lantai, diketuk kepala dengan bakul sampah berkali-kali dan diugut akan diletakkan puntung rokok pada kemaluan.

Malah beliau mendakwa, mereka juga mengugut akan menangkap dan membogelkan isterinya.

"Mereka telah mengugut saya bahawa isteri saya akan ditangkap dan dibogelkan jika saya tidak membuat pengakuan bahawa Datuk Norza Zakarialah yang menyuruh saya untuk memberi duit kepada ahli-ahli Umno yang terbabit," dakwa beliau dalam satu aduan polis.

Dengan pengisytiharan Perdana Menteri bahawa apa yang telah dilakukan oleh Isa yang dilaporkan sebagai "didapati bersalah terlibat dalam politik wang" sebenarnya "bukan kesalahan dari segi undang-undang negara," Halimi boleh mempersoalkan, apa bezanya apa yang beliau lakukan dengan apa yang telah dilakukan oleh Isa?

Jika tidak ada beza dan Perdana Menteri pula mengisytiharkan ke seluruh dunia bahawa apa yang dilakukan Isa "bukan kesalahan dari segi undang-undang negara," maknanya Halimi juga tidak bersalah.

Jika tidak ada beza antara apa yang dilakukan oleh Isa dan Halimi, mengapa SPRM menyiksa orang yang tidak melakukan kesalahan di sisi undang-undang negara?

Kepada ahli-ahli Umno, selamat berpolitik wang kerana Perdana Menteri yang juga Presiden kamu sendiri menyatakan bahawa Isa yang dilaporkan sebagai "didapati bersalah terlibat dalam politik wang" hakikatnya melakukan sesuatu yang "bukan kesalahan dari segi undang-undang negara".

No comments:

Post a Comment