Saturday, July 25, 2009

Tokoh MIC SS Subramanian Sertai Keadilan, 10 Cawangan MIC Ditutup.

Bekas Naib Presiden MIC Datuk SS Subramaniam hari ini menjadi tokoh terbaru menyertai Parti Keadilan Rakyat, seminggu selepas mantan Menteri Kesihatan Chua Jui Meng menyertai parti itu, sekali gus mencerminkan Keadilan sebagai parti yang semakin didokong oleh pelbagai kaum di bawah gagasanPakatan Rakyat.

Turut menyertai PKR hari ini adik Subramaniam, Sitaram, bersama kira-kira 1,700 bekas ahli MIC dari Petaling Jaya Selatan dan Pekan Meru di Kapar. Penghijarahan mereka ke Keadilan memaksa lebih 10 cawangan MIC ditutup.

Subramaniam, anak kelahiran Johor, adalah pemimpin MIC paling kanan menyertai PKR. Selain pernah menjadi Naib Presiden MIC dan pernah bertanding untuk jawatan kedua tertinggi parti itu. Subramaniam juga bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan bekas ahli Parlimen Segamat.

Kemasukan Subramaniam dan bekas ahli MIC secara beramai-ramai ke Keadilan mencerminkan rasa tidak puas hati kaum India yang semakin memuncak terhadap MIC dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang membelit kaum India seperti kemiskinan, peluang melanjutkan pelajaran, penganggkuran dan kes jenayah.

Ia juga menunjukkan Keadilan semakin didokong oleh kaum India sebagai parti pelbagai kaum yang mampu memperjuangkan nasib mereka sebaris dengan kaum lain yang memerlukan pembelaan.

Subramaniam berkata beliau tertarik dengan politik merentasi perkauman yang di bawa oleh Keadilan dan mengambil keputusan menyertai parti itu walauun di kecam hebat oleh Presiden MIC Samy Vellu.

"Sekarang saya telah memberanikan diri untuk masuk PKR walaupun saya tahu saya dihentam oleh Samy Vellu," kata Subramaniam, disambut tepukuan gemuruh oleh lebih 1,000 orang di Dewan Orang Ramai, Taman Medan Petaling Jaya.

"Saya lihat dasar-dasar Barisan Nasional yang ada sekarang ini telah membawa negara ke belakang 20 tahun. "Dasar-dasar ini meminggirkan sebilangan besar rakyat dan hanya memberi tempat kepada orang tertentu sahaja," kata Subramaniam. "Kita mahu membina sebuah negara maju yang rakyatnya hidup makmur dan bersatu padu," tambah beliau. "Saya yakin dasa-dasar Keadilan akan membawa kita ke arah itu."

Ketua Umum Keadilan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Keadilan komited untuk menghapuskan politik Umno-Barisan Nasional yang hanya memperkayakan segelintir ahli keluarga dan penyokong mereka.

Menurut beliau usaha mesti dibuat untuk melindungi segenap lapisan rakyat supaya tidak berlaku lagi kematian seperti kes A. Kugan dan yang terbaru Teoh Beng Hock.

"Kita mahu Malaysia ini selamat untuk semua, jaga semua rakyat. Ini bukan politik kaum. Yang penting yang mesti kita jaga hormat semua kaum," kata Anwar.

Anwar juga Suruhanjaya DiRaja harus menyiasat siapa yang mendalangi kematian Beng Hock dan bukan dibataskan kepada aspek-aspek prosedur SPRM sahaja.

"Rakyat mahu tahu siapa yang buat..siapa Teoh mati, bukan setakat sama ada soal-soal teknikal, prosedur diikuti. Jangan fikir rakyat bodoh," tambah Anwar.

Anwar berkata kerajaan juga harus menjalankan siasatan terperinchi ke atas Kugan dan bukan cuba menafikan bahawa beliau mangsa kekejaman polis.

Anwar turut mengupas program-program kebajikan yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan sebelum ini Perak untuk membela rakyat miskin tanpa mengira kaum.

"Kita baru memerintah setahun setengah, tetapi kita telah jalankan macam-macam, seperti tabung untuk kelahiran baru dan sebagainya... dan kita berjanji untuk membuat lebih banyak lagi," kata Anwar.

Beliau berkata pihak yang bingkas mengkritik gagasan pembangkang itu pura-pura enggan mengakui sebahagian besar masalah rakyat berpunca daripada pemerintahan lebih 50 tahun Barisan Nasional.

"Kita baru memerintah di empat, lima negeri untuk setahun setengah dan telah pun menjalankan macam-macam program," kata Anwar.

"Kita mahu pemerintahan yang adil yang memperjuangkan semua kaum dan mendokong pemerintahan bersandarkan undang-undang atau rule of law," tambah Anwar.

No comments:

Post a Comment