Friday, July 3, 2009

Berita Baik !! Emas ditemui di Pendang

Penduduk Pendang kini sibuk mencari emas di tapak kuari di Kampung Jelutong, Tobiar di Pendang, sejak ketulan emas dilaporkan ditemui oleh beberapa pekerja kuari dua hari lalu.

Menurut Bernama, mendapati beratus-ratus penduduk berduyun-duyun membawa peralatan untuk mencari emas.

"Mula-mula saya pun tak percaya dalam ketulan batu kuari ini ada emas. Tapi bila dengar ada orang dah jual emas, saya pun datang mencuba nasib.

"Saya tengok memang macam ada ketulan berwarna kuning dan bersinar-sinar di celah-celah batu kuari yang berwarna hitam ini," kata Niza Samsudin, 25, dari Kampung Banggol Temak.

Semua ahli keluarganya turut mencari emas bersamanya.

Seorang pelajar, Amirul Anas Amirul Rashid, 13, berkata dia datang mencari emas setiap petang sejak Rabu lalu.

"Pada mulanya ibu bapa saya tak izinkan saya cari emas ini, tapi apabila saya bawa balik tunjuk kepada mereka, ibu bapa saya pun turut datang mencari bersama.

"Kami nak kumpul banyak-banyak dulu, lepas ini baru jual," katanya.

Abdul Halim Abdullah, 66, yang menetap lebih 30 tahun di kampung tersebut berkata ini adalah kali pertama laporan tentang emas dijumpai di kampung itu.

"Jika benar ketulan kuning di dalam batu adalah emas, kami yang kebanyakannya bersawah tentu bertuah kerana dapat menjana pendapatan tambahan," katanya.

1 comment:

  1. Bersyukur pada Allah,ini semua dari Allah bukan Najib.Kalau mendulang emas,dulang lah.Tetapi janganlah terlalu mengharapkan sesuatu yang terlalu indah sebab semua hasil galian bumi kita adalah milik BN.dulanglah selagi kerajaan BN tak Halau.

    ReplyDelete