Friday, July 24, 2009

Amaran Ibrahim Ali: Huru-hara pada himpunan anti-ISA

Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali memberi amaran "huru-hara' mungkin berlaku jika kumpulan pimpinannya yang menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri terus mengadakan tunjuk perasaan pada 1 ogos_hari sama dengan perarakan anjuran kumpulan yang mahu undang-undang zalim itu dimansuhkan.

Walaupun akur risiko itu wujud, Datuk Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) dilaporkan tetap bertekad meneruskan tunjuk perasaan itu selagi polis tidak menghalang perarakan anjuran Gerakan Mansuhkan ISA.

Perarakan oleh GMI itu akan disertai pemimpin parti pembangkang seperti Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Anwar Ibrahim.

Pewaris bersama 10 NGO Melayu menamakan perhimpunan mereka sebagai "1Malaysia, Selamatkan Malaysia, Kekalkan ISA dan Pertahankan Hak Keistimewaan Orang Melayu - mesej yang mirip kepada slogan-slogan yang dicanangkan oleh Umno untuk meraih simpati dan sokongan orang Melayu.

Ibrahim, bekas ketua bahagian UMNO, tidak menjelaskan bagaimana pengekalan Akta Keselamatan Dalam Negeri boleh menjamin hak keistimewaan orang Melayu atau memantapkan konsep 1Malaysia tajaan Najib Razak.

Ibrahim berkata jika kumpulan penentang akta itu meneruskan Himpunan MANSUH ke Istana Negara, Perkasa akan turut serta bagi menyatakan sokongan terhadap akta itu.

"Perkasa akan turut serta kalau ia (demonstrasi anti-ISA) tidak dibatalkan atau pihak polis mesti ambil tindakan tegas (kepada mereka)," kata beliau.

Ribuan penyokong pembangkang dan aktivis 83 NGO bersama GMI akan bergerak mulai 2 petang dari tiga lokasi – kompleks membeli-belah Sogo, Masjid Jamek dan Masjid Negara – dengan berpakaian hitam dan merah.

Sementara penyokong ISA bersama Pewaris bersama lebih 10 NGO Melayu merancang perhimpunan bertemakan "1Malaysia, Selamatkan Malaysia, Kekalkan ISA dan Pertahankan Hak Keistimewaan Orang Melayu" di tiga lokasi di tengah Kuala Lumpur sebelum bergerak ke Dataran Merdeka pada 1 tengah hari.

No comments:

Post a Comment