Tuesday, July 7, 2009

Kes Qazaf : Setahun Berlalu, JAWI Masih melengah-lengahkan siasatan

Peguam Syariah Kamar Ainiah Kamaruddin mendedahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan JAWI melengah-lengahkan siasatan terhadap aduan Qazaf yang dibuat oleh Anwar Ibrahim berhubung tuduhan liwat yang dilemparkan keatasnya oleh Saiful Bukhari Azlan.

Kamar Ainiah berkata pihaknya telah menulis sebanyak tiga kali kepada Jawi menanyakan status penyiasatan kes tersebut setelah hampir setahun berlalu.

"Terbaru mereka mengatakan kes ini masih dalam siasatan. Saya pun tidak faham mengapa mereka mengambil masa terlalu lama kerana bagi saya kes ini tidak rumit berbanding dengan perbicaraan kes liwat di mahkamah sivil," katanya.

Anwar telah memberi penyataan beliau secara terperinci pada 30 Julai 2008 di pejabat Jawi dan saksi-saksi juga telah dipanggil memberi keterangan. Saiful juga telah dua kali disoal pihak JAWI.

"Berdasarkan bukti-bukti laporan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Pusat Rawatan Pusrawi yang menyatakan tiada sebarang tusukan berlaku, juga mengukuhkan aduan Qazaf Anwar," kata Kamar Ainiah.

"Anwar telah memohon pengadilan syariah daripada Mahkamah Syariah untuk membersihkan kehormatannya yang telah diaibkan secara berleluasa sekali, setakat ini beliau masih menunggu keadilan daripada institusi kehakiman Islam di negara ini," jelas beliau.

"Alangkah malangnya jika pihak berkuasa berkenaan iaitu Jawi tidak memberi perhatian serius terhadap laporan tersebut," tegas Kamar Ainiah lagi.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh membuat aduan Qazaf terhadap Saiful ke Bahagian Penguatkuasa dan Pendakwaan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada 9 Julai 2008.

Dalam aduannya Anwar berkata Saiful telah membuat suatu penyataan palsu yang menuduh beliau diliwat tanpa kerelaan pada 28 Jun 2008 di Pondok Polis Hospital Kuala Lumpur.

Kesalahan Qazaf adalah salah satu daripada kesalahan jenayah di bawah Akta Kesalahan Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997.

Kamar Ainiah juga mendakwa Anwar adalah mangsa konspirasi berdasarkan beberapa bukti nyata.

Antaranya ialah Saiful didakwa mengadakan pertemuan dengan pegawai penyiasat kes liwat terhadap Anwar pada 1998 lalu di sebuah hotel di Kuala Lumpur sebelum membuat laporan polis mendakwa beliau diliwat oleh majikannya pada 26 Jun 2008.

Menurut Kamar Ainiah yang mengendalikan kes Qazaf yang difailkan oleh Anwar, perjumpaan itu menguatkan persepsi rakyat bahawa kes liwat kedua terhadap Ketua Pembangkang itu telah direkacipta.

Kamar Ainiah juga merujuk kepada kehilangan Saiful secara tiba-tiba daripada pejabat Anwar, pertemuan dengan Najib Razak beberapa hari sebelum membuat laporan polis dan mengadakan majlis sumpah laknat di Masjid Wilayah Persekutuan semasa kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Bekas imam Masjid Wilayah Persekutuan Ramlang Podigi juga dalam akuan bersumpahnya mendedahkan majlis sumpah laknat itu didalangi Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Alwi.

"Mufti Wilayah Persekutuan juga membuat kenyataan berbaur politik apabila beliau mempertikaikan kelayakan bekas imam Ramlang Porigi untuk mempersoalkan keabsahan sumpah laknat tersebut.

"Saya yakin semua ini menunjukkan tuduhan liwat ke atas Anwar adalah semata-mata berniat jahat untuk menjatuh beliau sebagai pemimpin Pakatan Rakyat.

"Pihak berkuasa yang berasa tergugat kepentingan mereka akan melakukan apa sahaja untuk menekan Anwar termasuk membuat fitnah terhadap beliau seperti yang dilakukan oleh Saiful," kata beliau kepada Suara Keadilan.

No comments:

Post a Comment