Tuesday, July 21, 2009

MOTIF LEBIH PENTING DARI PUNCA KEMATIAN BENG HOCK


Esok Perdana Menteri Najib Razak dijangka tunduk kepada desakan keluarga Teoh Beng Hock, rakyat dan Pakatan Rakyat supaya ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kematian mendiang.

Najib arif dalam percaturan politik dan tentunya tidak mahu menanggung risiko untuk melengahkan penubuhan suruhanjaya sebegitu yang amat diharapkan oleh semua pihak.

Menyedari denyut nadi rakyat, parti-parti komponen seperti MCA, Gerakan dan MIC tidak lagi menunggu isyarat dari Umno dan terus menyokong penubuhan Suruhanjaya Diraja. Berlatarbelakangkan sedemikian, maka Najib dijangka mengumumkan penubuhan Suruhanjaya berkenaan esok selepas mesyuarat Kabinet, hampir seminggu selepas Beng Hock mati.

Banyak pihak akan mempertikaikan kenapa Umno-BN mengambil seminggu untuk menubuhkan badan itu, jika benar-benar prihatin mengenai isu berkenaan dan mahu menegakkan keadilan. Namun isu itu menjadi akademik sekarang.

Yang lebih penting ketika ini ialah memastikan penubuhan sebuah Suruhanjaya Diraja yang benar-benar berwibawa untuk menyiasat, bukan sahaja punca kematian Beng Hock, tetapi sama ada beliau mangsa konspirasi jahat untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Najib harus memberikan ruang yang luas kepada Suruhanjaya berkenaan untuk menegakkan dan memastikan keadilan dicapai dalam erti kata sebenar.

Kematian Beng Hock tidak boleh dihadkan kepada apa yang berlaku antara petang 15 JUlai dan tengah hari 16 Julai di pejabat Suruhananjaya Pencegahan Rasuah SPRM di Shah Alam.

Ia harus menjurus kepada motif SPRM sendiri untuk membina pertuduhan-pertuduhan terhadap wakil rakyat dan EXCO Pakatan Rakyat di Selangor.

Beng Huat umpamanya disiasat bersabit penggunaan dana RM2,400 oleh seorang EXcO Pakatan. Seorang lagi saksi diugut dan dicaci oleh SPRM untuk memberi keterangan palsu bersabit siasatan yang sama.

Beberapa EXco lagi disiasat berhubung dengan peruntukan yang diberikan oleh mereka kepada surau, masjid dan persatuan penduduk setempat. Menteri Besar Selangor sendiri menghadapi risiko pertuduhan kerana sumbangan daging korban kepada masjid dan surau.

Natijah kepada segala siasatan ini berakhir dengan kematian tragik Beng Hock di perkarangan SPRM Selangor pada hari beliau sepatutnya melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya yang mengandung dua bulan. Ibu bapa kehilangan tempat berpaut, tunang menjadi janda sebelum berkahwin, dan, belumpun lahir, seorang anak telah menjadi yatim.

Namun yang lebih tragik lagi ialah, jika benar Beng Hock menjadi mangsa konspirasi jahat untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Media alternatif dan alam siber telah melapor secara meluas bagaimana SPRM bingkas membuka fail siasatan terhadap wakil rakyat Pakatan tetapi menutup kedua-dua mata terhadap penyelewengan oleh wakil-wakil Barisan Nasional. Tidak perlu diulangi di sini, kes-kes membabitkan Khir Toyo, skandal PKFZ,

Peguam Negara Gani Patail dan Ketua Polis Negara Musa Hassan yang tidak cukup "besar" untuk menambat perhatian SPRM.

Bagaimanapun yang perlu ditegur ialah, keengganan pemimpin-pemimpin "berwibawa" seperti Najib dan Muhyiddin Yassin untuk memberi jawapan terhadap isu ini walaupun ia menjadi perkara pokok kepada kredibiliti SPRM itu sendiri.

Sebaliknya mereka cuba mengabui mata rakyat dengan menuduh pembangkang cuba mempolitikkan kematian Beng Hock dan oleh itu kritikan terhadap SPRM adalah tidak adil.

Atas sebab ini, adalah penting untuk memberi Suruhanjaya Siasatan DiRaja yang bakal ditubuhkan, ruang dan kuasa yang secukupnya untuk melakukan siasatan menyeluruh membabitkan SPRM. Bukan menghadkannya kepada bagaimana Beng Hock dijumpai mati di perkarangan SPRM.

Ini kerana kematian pemuda ini melibatkan isu-isu yang jauh lebih besar, yang mempersoalkan kewibawaan insitutisi-institusi awam negara kita dan dibayangi dakwaan pimpinan tertinggi agensi-agensi ini menjadi alat Umno-BN untuk menekan pembangkang.

Tidak ada guna jika Suruhanjaya yang ditubuhkan berkesudahan dengan apa yang berlaku kepada Suruhanjaya Diraja menyiasat pita rakaman V.K. Lingam pada tahun lalu.

Suruhanjaya itu merumuskan bahawa Mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad, bekas Ketua Hakim Eusoff Chin dan Ahmad Fairuz, Lingam dan bekas Setiausaha Agong Umno Tengku Adnan Tengku Mansor dan usahawan Vincent Tan harus disiasat atas peranan mencurigakan mereka dalam pelantikan hakim-hakim negara ini.

Sebagaimana yang kita maklum, tidak ada seorang daripada mereka dikenakan sebarang tindakan atau disoal siasat oleh polis atau SPRM sehingga hari ini.

Penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock dengan sendirinya bukan penawar mujarab kepada kemarahan rakyat dan jawapan kepada persoalan utama - adakah Beng Hock mangsa konspirasi BN-SPRM untuk menjatuhkan sebuah kerajaan negeri.

Sebuah Suruhanjaya DiRaja hanya berkesan jika Najib dan kabinetnya memberikan ruang untuk badan itu mendedahkan kebenaran dan diberikan kuasa untuk memastikan dalang di sebalik kematian Beng Huat dibawa ke muka pengadilan.

Rakyat memerhatikan siapa bakal dipilih oleh Najib untuk menganggotai Suruhanjaya itu dan terma rujukan dan bidang kuasa yang diberikan kepada badan itu melakukan siasatan bagi menentukan keadilan untuk Teoh Beng Hock.

No comments:

Post a Comment