Saturday, July 18, 2009

PKR Dedah Kebenaran Di Sebalik Skandal-Skandal Utama Negara


Hari ini Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan ucaptama pada forum untuk memerinci isu-isu kepentingan awam yang mencengkam politik negara.

Kira-kira 1,000 wakil pelbagai badan politik dan kemasyarakatan akan menghadiri forum itu yang bertajuk "Kebenaran di sebalik skandal PKFZ, Krisis Perak dan Konspirasi BN" di Hotel Sunway Lagoon, Subang Selangor.

Selain Datuk Seri Anwar, turut memberi ucapan ialah bekas Naib Presiden MCA Chua Jui Meng, Naib Presiden Keadilan Sivarasa Rasiah dan Bendahari Keadilan, William Leong.

Forum itu akan memerinci perkembangan mutakhir politik tanah air dan isu-isu yang semakin membimbangkan rakyat.

Ini termasuk peranan UMNO-BN dalam skandal pembaziran dana awam RM12.5 bilion untuk mewujudkan Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Kelang, rampasan kuasa di Perak dan konspirasi politik memperalatkan institusi awam untuk mengheret Anwar ke mahkamah.

Kehadiran Chua pada forum itu adalah atas sifat tegasnya bersabit isu-isu usus tadbir, ketelusan dan kebertanggungjawaban pemimpin dalam menguruskan parti dan negara.

Dalam ucap tamanya, Anwar dijangka turut mengupas keghairahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM menjalankan penyiasatan dan pendakwaan terpilih.

Amalan itu dikatakan membawa kepada kematian Teo Beng Hock, 30 tahun. Setiausaha Politik exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah itu dijumpai mati di perkarangan SPRM setelah beliau disoal siasat oleh badan itu selama 10 jam Rabu lalu.

Mayat Teo yang dijadual melangsungkan perkahwinannya hari ini, ditemui di atas bumbung bangunan tengah hari semalam.

SPRM dan polis setakat ini cuba memberi gambaran bahawa Teoh telah membunuh diri setelah di soal siasat tetapi belum menjelaskan butiran penuh siasatan. SPRM juga tidak mahu mengulas tindakannya menyoal Teoh sebagai seorang saksi sehingga awal pagi tanpa kehadiran peguam.

No comments:

Post a Comment