Tuesday, July 21, 2009

Beng Hock : Pemuda Pakatan Serah Memorandum Untuk Najib


Pemuda parti komponen Pakatan Rakyat hari ini menyampaikan memorandum untuk Perdana Menteri Najib Razak, menggesa beliau menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock di bangunan ibu pejabat SPRM Khamis lalu.

Teoh dijumpai mati di bumbung tingkat lima bangunan setelah disoal siasat 10 jam tanpa kehadiran peguamnya di tingkat 14 ibu pejabat SPRM.

Kes itu menimbulkan pelbagai persoalan mengenai peranan SPRM dalam kematian Beng Hock yang disifatkan antara pemimpin muda DAP yang berpotensi.

Insiden itu dikecam hebat oleh rakyat pelbagai kaum kerana sekali lagi menyerlahkan tindakan UMNO-BN menggunakan institusi seperti polis dan SPRM untuk menekan ahli pembangkang. Pelbagai badan bukan kerajaan dan Majlis Peguam Malaysia menyifatkan Beng Hock sebagai mangsa kematian politik pertama di bawah pentadbiran Najib Razak.

Pemuda Pakatan Rakyat yang merangkumi Angkatan Muda Keadilan dan sayap pemuda PAS dan DAP mendesak Najib supaya tidak melengah-lengahkan penubuhan suruhanjaya berkenaan bagi memberi keadilan kepada Beng Hock dan keluarga mendiang.

Ketua Pemuda DAP, Loke Siew Fook berkata, suruhanjaya berkenaan perlu bagi menjawab pelbagai persoalan bersabit kematian Beng Hock.

"Dalam memorandum tersebut kita telah menyeru kerajaan persekutuan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja ini. Sebarang kegagalan kerajaan menubuhkan suruhanjaya berkenaan hanya akan menimbulkan lebih banyak persepsi negatif dan tanda tanya kepada apa yang sebenarnya berlaku.

"Mengambil kira seruan dan persepsi dari pelbagai pihak dan juga dari keluarga mendiang dan Pakatan, tidak ada sebab mengapa Najib tidak boleh menubuhkan Suruhanjaya ini.

"Kita mahukan Najib tubuhkan esok kerana esok mensyuarat Kabinet. Kalau dilengahkan, ia bermakna kerajaan tidak ada keinginan mahu menyelesaikan isu ini," katanya pada sidang media selepas menyerahkan memorandum berkenaan kepada wakil dari Pejabat Perdana Menteri.

Katanya, Suruhanjaya berkenaan juga perlu bagi merungkai persoalan mengenai ketelusan SPRM yang mengatakan Beng Hock dibebaskan jam 345 pagi sedangkan barangan peribadi milik mangsa masih dalam simpanan SPRM ketika mayat ditemui.

"Satu soalan yang mudah, sekiranya betul beliau dibebaskan jam 345 pagi mengapa telefon bimbit dan barangan peribadi masih dalam simpanan SPRM. Ini menunjukkan kemungkinan beliau tidak pernah dibebaskan oleh SPRM, ini adalah isu-isu yang perlu disiasat dan dicari. Jawapan hanya boleh terjawap dengan adanya Suruhanjaya Diraja ini," katanya.

Loke berkata isu kematian Teoh merentasi kaum dan berpaksi kepada soal keadilan dan hak asasi manusia ketika beliau dalam kawalan SPRM.

Setiusaha AMK, Zulfekar Ali mengutuk tindakan sesetangah pihak dan menyelar media kerajaan yang mula menyebarkan mesej bahawa Najib tidak perlu meminta penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kematian Beng Hock.

"Kita lihat beberapa pihak telah mengeluarkan kenyataan dan pagi tadi kita lihat betapa RTM cuba untuk mempengaruhi minda rakyat dengan mengatakan Suruhanjaya Diraja ini tidak perlu diwujudkan kerana ia sama dengan Suruhanjaya ketuk Ketampi dan mengiabkan maruah kerajaan," katanya.

No comments:

Post a Comment