Wednesday, July 8, 2009

MB Kedah - DAP : Pertemuan Selesai Masalah

Perbincangan dan kematangan adalah ramuan penting dalam demokrasi, dan semangat ini ditunjukkan dengan jelas dalam pertemuan antara Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Menteri Besar Kedah, Azizan Abu Bakar.

Permasalahan penting yang terbit dari pertelagahan pendapat dan salah-faham antara DAP Kedah dan Kerajaan Pakatan Rakyat berjaya diselesaikan dengan baik dalam pertemuan yang berlangsung selama 6 jam di Kuala Lumpur.

Bercakap kepada media selepas pertemuan itu, Pengerusi DAP Kedah-Perlis Thomas Su berkata, semua pihak yang terbabit dalam mesyuarat ini bersetuju untuk duduk bersama dan mencari penyelesaian kepada masalah yang berlaku.

"Saya rasa ini adalah tindakan yang positif, apa yang kita dibincangkan dan persetujui untuk selesaikan masalah," kata Thomas Su di Kedah Business Centre petang tadi.

"Kita akan pertimbangkan dan bawa kepada Jawatankuasa. Memandangkan apa yang kita capai hari ini terdapat kemungkinan kita mampu kehadapan, ia amat penting," tambah beliau.

Selain dari Azizan dan Thomas Su, pertemuan itu turut melibatkan Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Darul Aman Lim Guan Aik.

Bermula seawal jam 10 pagi, mesyuarat itu membincangkan memorandum DAP Kedah yang mengandungi empat perkara utama iaitu: isu kuota 50 peratus untuk bumiputera ke atas projek perumahan, perobohan rumah ibadat, isu perobohan pusat penyembelihan babi dan cadangan mewujudkan Seketariat PR.

Menteri Besar Azizan Abu Bakar berkata, Pakatan di Kedah bersetuju mengadakan satu mekanisme dengan mewujudkan jawatankuasa khas di kalangan parti komponen untuk menyelesaikan setiap masalah yang timbul.

"Masalah berkaitan, mekanisme jawatankuasa khas di kalangan komponen parti di Kedah akan diadakan untuk menyelesaikan masalah yang timbul dalam kerajaan negeri," katannya.

Katanya, isu rumah penyembelihan dianggap selesai apabila kerajaan negeri mendapatkan tempat baru dan ia telah mendapat persetujuan daripada persatuan penyembelih dan Jabatan Veterinar Kedah.

"Rumah penyembelihan, kita telah mendapat tempat di kawasan yang tidak mengganggu langsung penduduk. Kita akan gunakan kawasan yang sedia ada menternak babi dan perkara berkenaan telah dirunding semalam dengan pihak persatuan penyembelih dan Jabatan veterinar Kedah dan mendapat kesepakatan tempat berkenaan menjadi tempat penyembelihan baru.

"Setiap persatuan telah bersetuju dan tambah mengembirakan apabila Ketua Veterinar sudah membuat pengumuman di Kedah bermakna beliau mempersetujui cadangan ini," katanya.

Katanya, isu pencerobohan kuil yang timbul di negeri ini berpunca daripada kekeliruan status kedudukan kuil yang sedia ada kerana salah sebuah kuil dibina di atas tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad dan sebuah lagi di atas kawasan tanah perumahan.

Menurutnya, isu berkenaan juga berjaya diselesaikan apabila Jawatankuasa Kuil dan Majlis Bandaraya Alor Star bersetuju untuk membuat pemindahan kuil tersebut.

"Kita telah mendapat persetujan daripada MBas dan jawatankuasa kuil untuk membuat pemindahan kerana terdapat satu bangunan (kuil) masuk di atas tanah orang lain dan tuan tanah telah meminta haknya dan dia tidak boleh robohkan tanpa kebenaran MBas.

"Kita telah mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa dan mereka setuju untuk mencari tempat lain dalam masa sama Datuk Bandar juga mencari tempat baru, tempat baru telah dicadangakan tetapi mereka tidak berapa setuju.

"Saya arahkan semua isu-isu sensitif ini, tidak berlaku sebarang pencerobohan melainkan dengan maklumat dan persetujuan saya. Saya akan adakan perbincangan dengan rakan-rakan dan wakil tunggal DAP Lee Guan Aik," katanya.

Katanya, kerajaan negrei juga berjanji akan mengadakan satu mekanisme baru berhubung isu perlaksanaan 50 peratus kuota untuk bumiputera ke atas projek-projek perumahan.

"Tidak puas hati pihak DAP timbul kerana kurang mendapat penjelasan kerajaan negeri berhubung kuota perumahan non-bumi dan bumi. Ia telah dijelaskan dan kita berjanji satu mekanisme termasuk perkara-perkara untuk benarkan rumah-rumah yang tidak boleh dijual untuk tidak membebankan pemaju," katanya.

DAP Kedah awal Julai lalu memutuskan untuk keluar dari Pakatan kerana membantah tindakan kerajaan negeri merobohkan pusat penyembelihan di negeri itu.

"Ia telah selesai, hanya saya dan Lim yang tahu ia telah selesai atau tidak," katanya ketika mengulas mengenai tindakan media BN yang sering mencanangkan bahawa PR Kedah semakin rapuh dan gagal menyelesaikan isu yang timbul.

Kemungkinan DAP Kedah/Perlis menarik balik keputusannya dilihat semakin cerah apabila Penasihat DAP, Lim Kit Siang turut menasihatkan parti berkenaan untuk menarik balik pendirian mereka.

"Saya akan nasihatkan DAP Kedah untuk kaji semula pendirian kerana memandangkan apa yang berlaku hari ini.

"Saya rela buat lawatan sebulan sekali untuk pastikan program ini," katanya selepas menghadiri pertemuan DAtuk Seri Azizan dan DAP Kedah/Perlis bagi menyelesaikan isu yang timbul.

2 comments: