Wednesday, May 13, 2009

'Pistol dibawa masuk ke sidang DUN 7 Mei'


Wakil rakyat DAP menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan mereka bahawa senjata, termasuk sepucuk pistol, dibawa masuk ke dalam sidang DUN Perak pada 7 Mei lalu.

Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, senjata itu dibiarkan dibawa masuk walaupun terdapat kawalan keselamatan yang ketat dan pengesan logam turut dipasang pada hari berkenaan.

Beliau juga menyebutkan contoh ADUN Jelapang, Hee Yit Fong memiliki satu alat penyembur pemedih mata, sebagai satu lagi contoh senjata dibawa masuk ke dalam dewan.

"Mungkin (kakitangan keselamatan) hanya berminat memeriksa Pakatan (Rakyat)," kata Nga dalam sidang akhbar di ibupejabat DAP Perak di Ipoh hari ini.

Satu klip video turut ditayangkan dalam sidang akhbar tersebut yang menunjukkan seorang lelaki berpakaian putih, dilihat seperti mencapai satu objek yang terselit di belakang seluarnya. Objek itu bagaimanapun tidak dapat dilihat dengan jelas.

Insiden tersebut berlaku sejurus selepas berbelas individu yang tidak dikenali menyerbu masuk ke dalam dewan untuk membawa keluar Speaker V Sivakumar.

Ditanya sama ada terdapat sebarang peraturan tetap dewan yang melarang senjatapi dibawa masuk ke dalam DUN, Sivakumar berkata, tidak ada, tetapi larangan itu merupakan amalan yang digunakan di seluruh dunia.

Katanya, terdapat sebuah bilik khas yang disediakan di bangunan SUK bagi membolehkan individu menyimpan senjata mereka sebelum masuk ke dalam DUN.

No comments:

Post a Comment