Oleh : MOHD ZUHAIRI KHAMIS
ALOR SETAR 09 DIS – Kedah bersedia menghulurkan sumbangan kepada umat Islam di Palestin sekiranya rakyat negara itu benar-benar memerlukan bantuan sama ada dalam bentuk sokongan mahupun material.
Menteri Besar, Datuk’Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, isu Palestin adalah isu nasional dan harus diberi tumpuan memandangkan mereka adalah saudara seIslam yang ditindas di negara sendiri.
“Selain mempereratkan hubungan sedia ada, kita turut membincangkan masalah umat Islam sejagat, terutama di Palestin. Mungkin kita boleh bantu dalam isu-isu yang berbangkit, dan akan cuba menghulur bantuan apa yang termampu,” katanya selepas menerima kunjungan hormat tiga anggota Parlimen Palestin di pejabatnya, hari ini.
Delegasi yang diketuai Dr Salem Al Salamah bersama Ismail A.M. Alashqar dan Mushir O.K. Almassri mengadakan perbincangan hampir 30 minit, sebelum meneruskan lawatan ke Majlis Agama Islam Kedah.
Menteri Besar berkata, ahli parlimen dari parti Hamas yang menguasai 60 peratus daripada kerusi kawasan parlimen di sana, turut berkongsi isu terkini termasuk politik dan penindasan umat Islam di Palestin.
“Kita prihatin dengan nasib umat Islam di sana, terutama apabila mendengar penindasan yang dibuat oleh Yahudi di Baitul Maqdis. Masalah Baitul Maqdis adalah masalah umat islam diseluruh dunia, ini kerana Masjid Al-Aqsa adalah kiblat pertama bagi umat islam.
Sejak dahulu lagi, kita memang mengiktiraf Palestin dan menyokong usul mengutuk pencerobohan Israel ke atas Palestin,” katanya.
Menurutnya, Kedah tidak ketinggalan menganjurkan beberapa program berkaitan isu Palestin di negeri ini, antaranya menganjurkan perjumpaan awam mengutuk penindasan umat Islam di Palestin serta kutipan dana Tabung Palestin.
Delegasi Palestin berada di Kedah selama dua hari, sebelum mengadakan kunjungan hormat ke negeri Perlis Jumaat ini.
No comments:
Post a Comment