Thursday, December 3, 2009

Isu masalah sampah di Kedah selesai : E-Idaman ambil alih pengurusan sisa pepejal


Oleh : MOHD ZUHAIRI KAMIS (Warta Kedah)

ALOR SETAR – Masalah sampah yang sejak dahulu lagi membelenggu rakyat di negeri ini bakal berakhir selepas termeterainya perjanjian antara pihak berkuasa tempatan denga Environment Idaman Sdn Bhd (E-Idaman) di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

Dalam gambar : Encik Mohd Zauki Musa, Pegawai Daerah Pendang sedang bersalaman dengan Pengarah Environment.

Dengan termeterainya perjanjian penswastaan secara interim ini, Kerajaan Negeri Kedah meletakankan harapan yang tinggi terutamanya kepada Syarikat Environment Idaman Sdn.Bhd. agar proses pengambilalihan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri Kedah dapat berjalan dengan lancar serta dapat memulihkan kembali imej negeri Kedah Darul Aman.

“Isu sampah merupakan satu perkara serius dan rakyat sangat mengharapkan dengan bermulanya pengambilalihan ini, segala masalah yang sering kita dengar dan lihat berkaitan dengan perkara ini bukan sahaja dapat diselesaikan segera, malah perkhidmatan yang di berikan adalah lebih baik daripada sedia ada”. Kata Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak dalam ucapannya.

Majlis seumpama ini telahpun diadakan pada 27 Oktober 2009 yang lalu melibatkan lima buah Pihak Berkuasa Tempatan iaitu Majlis Bandaraya Alor Setar, Majlis Daerah Kubang Pasu, Majlis Daerah Padang Terap, Majlis Daerah Sik, dan Pihak Berkuasa Tempatan Taman Perindustrian Teknologi Tinggi Kulim (Kulim Hi-Tec)

Hari ini menyaksikan enam lagi Pihak Berkuasa Tempatan yang menandatangani Perjanjian Pengurusan bersama E-Idaman iaitu Majlis Perbandaran Sungai Petani, Majlis Perbandaran Kulim, Majlis Daerah Pendang, Majlis Daerah Baling dan Majlis Daerah Bandar Baharu.

Dengan ini E-Idaman adalah pemegang konsesi bagi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di semua kawasan pihak berkuasa tempatan diseluruh negeri Kedah Darul Aman.

Komitmen syarikat ini bermula pada 1 September 2009 apabila operasi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal secara kontrak dilaksanakan di Majlis Bandaraya Alor Star dan seterusnya 15 September di Majlis Daerah Kubang Pasu.

Dalam tempoh dua bulan tersebut, Environment Idaman Sdn Bhd telah menimba banyak pengalaman yang berguna yang dapat diadaptasikan kearah penambahbaikan operasi pada masa yang akan datang.

No comments:

Post a Comment