Tuesday, November 3, 2009

Nik Aziz kesal penangkapan Dr Asri


KOTA BHARU, 3 Nov: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, melahirkan rasa dukacita di atas penangkapan yang dilakukan ke atas bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin.

Ketika dihubungi Harakahdaily beliau berkata, tindakan berkenaan amat tidak wajar dilakukan ke atas seorang pendakwah apa lagi kesalahannya belum dapat dipastikan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas insiden tangkapan yang berlaku ke atas pendakwah berkenaan malam tadi ketika menyampaikan kuliah agama di Taman Sri Ukay, Kuala Lumpur.

Tuan Guru yang juga Mursyidul Am PAS itu juga mengngagap ia satu tindakan yang melampau kerana menangkap seorang tokoh agama yang juga bekas mufti.

"Penangkapan itu amat tidak masuk akal, masih ramai lagi orang yang patut ditangkap, tetapi kenapa seorang pendakwah, dia mengajar agama dan bukannya buat huru hara atau melakukan sesuatu yang bertentangan dengan agama,"ujarnya lagi

Nik Aziz berkata walaupun ada pihak mendakwa Dr Mohd Asri menyebarkan ajaran Wahabbi, ia perlu diperhalusi terlebih dahulu bagi memastikan ia benar-benar salah di sisi undang-undang.

"Nasihat saya kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), jangan buat untuk kali kedua kerana akan merosakkan imej Islam di Malaysia dan seterusnya merosakkan imej golongan pendakwah itu sendiri," katanya.

Beliau meletakkan masaalah itu seharusnya dibincang terlebih dahulu antara Asri dengan JAIS dan bukannya terus menangkap tanpa pasti kesalahannya.

Katanya, kalau benar dia telah melakukan kesalahan di sisi undang-undang, barulah tindakan diambil terhadapnya dan bukannya menangkap begitu sahaja tanpa mengetahui hujung pangkalnya.

"Masyarakat juga menjadi keliru dengan kejadian itu," ujarnya lagi
.

No comments:

Post a Comment