Monday, November 2, 2009

Jais: Dr Asri akan segera didakwa


Dr Mohd Asri Zainul Abidin akan didakwa selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selesai menjalankan siasatan terhadap bekas mufti Perlis itu berhubung kesalahan mengadakan kuliah agama tanpa tauliah daripada jabatan itu.


Pengarah jabatan itu Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata siasatan itu juga akan disegerakan memandangkan kes itu melibatkan tangkapan yang telah menjadi perhatian umum.

Bercakap pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam hari ini, Mohammed Khusrin turut mempertahankan tindakan jabatan itu menggunakan khidmat polis ketika menahan Dr Mohd Asri.

"Tangkapan dibuat dengan dibantu polis kerana berlaku masalah untuk dapatkan kerjasama (Dr Mohd Asri).

"Kami telah dihalang oleh jemaah dan wakil rakyat kawasan, sebab itu kami dapatkan bantuan polis," katanya.

"Kami tidak buat lebih daripada sepatutnya," katanya lagi.

Dr Mohd Asri akan didakwa bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 atau mengajar agama tanpa tauliah.

Beliau ditahan malam tadi ketika menyampaikan kuliah agama di sebuah banglo di Taman Sri Ukay, Hulu Kelang (foto kanan).

Turut hadir di tempat kejadian, ahli parlimen PKR bagi Ampang, Zuraida Kamaruddin dan ADUN PAS bagi Hulu Kelang, Saari Sungib.

No comments:

Post a Comment