Tuesday, December 7, 2010

Anwar: Gimik Umno Dakwa Khir Toyo



GEORGETOWN 7 DIS: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan mendakwa Datuk Seri Dr Khir Toyo hanya sebahagian daripada sandiwara Umno untuk membersihkan imejnya di mata rakyat menjelang pilihanraya umum akan datang.

Begitu juga dengan beberapa kelonggaran yang diberikan oleh Umno-Barisan Nasional(BN) bersabit pendidikan Cina dan kemudahan untuk kaum India.

Anwar berkata Umno-BN sekadar mengulangi taktik lama untuk membuaikan pengundi dengan pelbagai imbuhan dan tindakan, namun asas-asas parti itu yang berpaksi kepada perkauman, rasuah dan penyelewengan kuasa tidak berubah.

Semalam bekas Menteri Besar Selangor Khir Toyo dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah bersabit pembinaan istana ala Bali di seksyen 7 Shah Alam.

Pendakwaan itu dicanang oleh Umno sebagai bukti parti itu serius dalam memerangi rasuah.

Namun ramai pemerhati mengingatkan bahawa pemimpin-pemimpin seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi pernah menggunakan taktik mengheret tokoh tertentu ke mahkamah atas tuduhan rasuah dan kemudian dilepaskan.

Anwar berkata pendakwaan Khir Toyo tidak boleh memadamkan hakikat ramai lagi tokoh terlepas dari sebarang tindakan pendakwaan walaupun wujud bukti-bukti jelas terhadap mereka.

"Yang kita tak boleh bagi itu pismil kerana nak buai mereka menjelang pilihanraya atau rasuah, ada tuduhan puluh-puluh yang serius itu diketepikan, diambil satu kes seperti yang berlaku kepada Eric Chia sebelum pilihanraya yang lalu," katanya.

Anwar juga ditanya oleh pemberita mengenai pengunduran Datuk Seri Samy Vellu dari MIC, dan pengiktirafan kerajaan terhadap sebuah peperiksaan Cina.

Beliau berkata perkara yang jelas ialah langkah-langkah itu diatur sebagai gula-gula politik untuk mendapatkan semula sokongan pengundi India dan Cina.

"Ini semua gimik pilihanraya, sedikit bagi orang Cina, sedikit bagi orang India, tindakan rasuah. Ini gimik pilihanraya, piliharaya tentu dekat. Apa beda Pakatan Rakyat, ini bagi kita dasar kita, kalau masalah mengangkat kedudukan orang Melayu, atau memberikan ruang kepada orang Cina dalam segi pendidikan untuk India, Iban, Kadazan, itu dasar kita," kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

No comments:

Post a Comment