Tuesday, November 16, 2010

Kertas Undi habis di Cabang Pendang

60 Anggota Kempunan Undi

PENDANG – Dianggarkan lebih 60 ahli PKR Cabang Pendang tidak dapat mengundi ketika pemilihan Pusat PKR yang diadakan serentak kelmarin di beberapa daerah berikutan kertas undi tidak mencukupi.

Sinar Harian difahamkan lebih 60 ahli pulang tanpa membuat undian itu kelmarin apabila kertas undian yang dihantar Pusat hanya 100 berbanding ahli PKR yang layak mengundi di cabang itu sebanyak 535 ahli.

Ketua Cabang PKR Pendang, Rashdan Ismail berkata, pihak Pusat hanya menghantar 100 kertas undi di cabang undi kerana PKR Cabang Pendang menganggarkan jumlah itu sahaja ahli yang datang mengundi.

“Ahli yang datang mengundi lebih daripada yang dianggarkan menyebabkan kertas mengundi tidak mencukupi dan lebih 60 ahli pulang tanpa mengundi.

“Walaupun jumlah ahli yang layak mengundi tidak datang seratus peratus namun bagi Cabang Pendang mendapat sambutan kerana mencapai anggaran ahli yang keluar mengundi,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, beliau juga sedar banyak lagi ahli PKR cabang ini yang masih tidak tahu bahawa mereka dikehendaki mengundi untuk pemilihan Pusat yang diadakan berkonsep pilihan raya umun.

Rashdan berkata, ahli PKR masih keliru dengan konsep pemilihan ini menyebabkan banyak ahli tidak datang membuat undian.

“PKR adalah satu-satunya parti yang membuat pilihan dari akar umbi melalui cabang-cabang PKR agar ahli dapat memilih sendiri kepimpinan parti mereka.

“Bagi Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR Cabang Pendang dianggarkan hanya satu per tiga yang datang mengundi berbanding ahli AMK yang layak mengundi, iaitu 281 ahli,” katanya.

Beliau berkata, keputusan yang diperoleh dalam pemilihan itu kelmarin, menunjukkan Naib Presiden PKR, Mohd Azmin Ali yang menawarkan diri bertanding Timbalan Presiden memperoleh undian sebanyak seratus peratus daripada ahli Cabang Pendang.

Selain itu, antara yang menerima undi bagi jawatan Naib Presiden ialah Nurul Izzah Anwar dengan undi sebanyak 92, Fauziah Salleh (91 undi), Datuk Mansor Othman (91 undi) dan Tian Chua sebanyak 54 undi.

Antara yang bertanding Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Abdul Malik Kassim dan Badrul Amin, Senator Zamri masing-masing memperoleh 100 undi, diikuti Abdul Halim Hussin (99 undi), Rohani Bakar (99 undi), Wan Salleh (98 undi), Datuk Johari Abdul (98 undi), Faris Musa (94 undi), Zamri Arif (77 undi), Hee Loy San (62 undi), Zaid Hamid Ali (40 undi) dan Dr Krishnan (60 undi).

No comments:

Post a Comment