Monday, June 1, 2009

PKFZ: SPRM digesa cepatkan pendakwaan

Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (GERAK Malaysia) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya segera mendakwa di mahkamah pihak yang terlibat

dengan dakwaan salahguna kuasa dan rasuah dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Pengerusinya, Mohd Nazree Mohd Yunus berkata pihak percaya laporan audit Zon Bebas Pelabuhan Klang oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) amat membantu memudahkan proses penyiasatan SPRM.

"Rakyat pada hari ini inginkan pendakwaan dilakukan segera terhadap mereka yang didakwa bersalah menyalahgunakan kuasa serta wang rakyat untuk kepentingan peribadi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

SPRM, kata Mohd Nazree, tidak boleh melengahkan kes tersebut dengan hanya sekadar terhenti di peringkat siasatan.

"Tetapi yang lebih penting daripada itu ialah proses perundangan dan pendakwaan harus dimulakan segera.

"Laporan syarikat audit itu sangat membantu untuk menunjukkan di mana ruang rasuah atau dakwaan salah guna kuasa berlaku.

"GERAK juga menyokong sikap keterbukaan Menteri Pengangkutan, Dato Seri Ong Tee Keat yang memberikan lampu hijau untuk laporan audit PKFZ diserahkan kepada SPRM," tambahnya.

Banteras rasuah

Dalam masa yang sama, tegasnya, diharapkan kes-kes rasuah yang telah dilaporkan oleh GERAK dan rakyat, dimaklumkan perkembangannya, termasuk bilakah pendakwaan akan dilakukan.

"Sudah tiba masanya, setelah BPR bertukar menjadi SPRM, maka usaha-usaha membanteras rasuah perlu dipercepatkan dengan pendakwaan secara adil dan cekap.

"Jika tidak imej SPRM akan terus ditohmah sebagai sebuah suruhanjaya yang lewat menyelesaikan kes. Penyiasatan sesuatu kes juga perlu diletakkan batasan masa siasatannya agar para pelapor tidak merasakan laporan mereka diambil sambil lewa oleh SPRM," kata Mohd Nazree.

GERAK, tambahnya, yakin peruntukan undang-undang yang luas akan lebih memudahkan SPRM menyiasat dan kemudiannya mendakwa secara segera tetapi adil.

"Siasatan tanpa pendakwaan segera akan memberikan suatu kesan negatif terhadap imej SPRM. Rakyat masih menaruh keyakinan terhadap SPRM untuk membanteras rasuah.

"Justeru, GERAK percaya dalam isu PKFZ ini, segala kecekapan yang dimiliki SPRM akan membantu untuk menyegerakan pendakwaan terhadap pesalah rasuah," tegasnya.

No comments:

Post a Comment