Thursday, May 20, 2010

Rosmah Cuba Ketepikan Shahrizat


SHAH ALAM 20 Mei - Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansur didakwa cuba mengambil alih peranan Ketua Pergerakan Wanita Umno dan Menteri Wanita, Pembangunan dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil sebagai tokoh wanita di negara ini.

Ini berdasarkan kepada usaha Rosmah yang kini semakin mendominasi dan membayangi pengaruh Shahrizat dengan menggunakan kedudukannya sebagai 'Wanita Pertama' Malaysia.

Terbaru, Rosmah menjadi jemputan utama untuk berucap dalam forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) bertajuk "Memodalkan Potensi Wanita Dalam Perniagaan" yang ke enam Selasa lalu.

Hadir sama pada majlis itu termasuk Puan Sri Norainee Abdul Rahman, isteri Timbalan Perdana Menteri, Pengerusi Rangkaian Perniagaan Wanita WIEF, Datuk Dr Norraesah Mohamad dan bekas Menteri Perdagangan antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz.

Bagaimanapun, ketidakhadiran Shahrizat berucap dalam forum penting tersebut atas kapasiti menteri yang menjaga hal ehwal wanita menimbulkan spekulasi beliau tidak sehaluan dengan isteri Perdana Menteri itu.

Ketika diminta mengulas perkara ini, Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin berkata Rosmah kini bukan sahaja dilihat mahu mengambil alih tugas Shahrizat sebagai Ketua Wanita Umno tetapi juga peranan beliau sebagai Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat.

"Apa yang Shahrizat lakukan? Adakah ini merupakan bayaran sebagai lantikan beliau sebagai menteri melalui pintu belakang?," kata beliau kepada Suara Keadilan.

Menurut Ahli Parlimen Ampang itu keghairahan Rosmah menonjolkan dirinya telah menenggelamkan pengaruh Shahrizat yang kini seolah-olah tidak lagi memainkan peranan sebagai anggota Kabinet.

Manakala Rosmah yang bercita-cita tinggi pula semakin ligat berucap di forum samada di dalam atau di luar negara untuk mempamerkan dirinya dengan menggunakan pengaruh media milik Umno-Barisan Nasional dan 'mencuri' gelaran 'Wanita Pertama' yang telah menyinggung Raja Permaisuri Agong.

"Ini jelas apabila beliau bersikap biadap dengan menggunakan gelaran sebagai Wanita Pertama, melampaui kuasa Raja Permaisuri Agong. Sebagai isteri Perdana Menteri, Rosmah seharusnya tahu tanggungjawab dan tugasnya serta tidak melebih-lebih. Sekiranya apa yang dilakukan mendatangkan keburukan ia akan memberi kesan kepada imej dan kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri," ujar Zuraida.

Beliau menambah keadaan ini berbeza ketika Tun Siti Hasmah Mohamad Ali menjadi isteri Perdana Penteri di mana sedar kedudukannya dan tidak terlalu menonjolkan dirinya seperti mana yang dilakukan Rosmah.

"Tun Siti Hasmah lebih diplomatik, menampakkan sifat keibuan dan ketrampilannya sebagai isteri PM. Dia tidak berlebih-lebihan dan tahu tentang bidang tugasnya sebagai isteri PM," katanya lagi.

Protes seluruh negara bantah judi esok


PAS menganjurkan sekurang-kurangnya lima perhimpunan di pelbagai tempat di seluruh negara esok bagi membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen judi sukan.

Protes yang digerakkan Dewan Pemudanya itu akan diadakan di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Daripada kelima-lima negeri itu, perhimpunan di Terangganu dijangka terbesar, melibatkan sekurang-kuranngnya 3,000 orang.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kanan) sendiri dijadual akan turut serta di perkarangan Masjid Pengedang Baru, Kuala Terengganu.

Bercakap kepada Malaysiakini, ahli jawatankuasa PAS Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani berkata pihaknya tidak memohon permit untuk perhimpunan itu kerana ia akan dibuat "secara aman di dalam perkarangan masjid".

Menurutnya, demontrasi itu dijangka turut dihadiri kepimpinan Pemuda daripada parti lain dalam Pakatan Rakyat.

Sebelum ini, kerajaan secara rasmi dilaporkan memberi lesen judi semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 kepada Kumpulan BERJAYA.

Tindakan itu dibantah pelbagai pihak, khususnya termasuk pakatan pembangkang dan NGO Melayu-Islam di Malaysia.

Sementara itu, Di Perak, Naib Ketua Pemuda PAS negeri Salman Salleh berkata kira-kira 2,000 orang dijangka menghadiri demontrasi di Masjid Sultan Idris Shah II di Ipoh bagi membantah keputusan kerajaan itu.

Umno juga dijemput

"Semua pertubuhan termasuk Umno, Pemuda Pakatan Rakyat dan NGO dijemput bersama kita untuk menzahirkan bantahan pemberian lesen judi," katanya.

Menurut Salman, demonstrasi itu akan diketuai oleh ketua Pemuda PAS negeri, Zawawi Hassan.

Di Negeri Sembilan, dijangka 1,500 orang akan menyertai demontrasi di Masjid Negeri Sembilan dekat Seremban selepas solat Jumaat.

Ketua Pemudanya Khairil Anwar Mohd Wafa berkata pihaknya turut menjemput pemimpin Pemuda Pakatan yang bukan Islam, termasuk Ketua Pemuda DAP Anthony Loke.

"Kita tidak pohon permit, kalau hendak tangkap, tangkaplah. Kita buat perhimpunan aman. Dulu masa (demonstrasi) membantah (firma perundin) Apco Worldwide tiada tangkapan pun," kata Khairil Anwar.

Di Pulau Pinang pula ketua Pemuda PAS Mohd Yusni Mat Piah berkata pihaknya menganjurkan demontrasi esok di hadapan Masjid Permatang Gajus, Permatang Pauh selepas solat Jumaat.

Perhimpunan aman tersebut dijangka seramai 1,000 penyokong Pemuda Pakatan, tambahnya.

Demonstrasi di 22 kawasan PAS

Di Selangor pula keadaan agak berbeza apabila tiada demonstrasi di peringkat negeri dianjurkan PAS.

Ketua Pemudanya Hasbullah Mohd Ridzwan berkata Pemuda PAS negeri telah mengarahkan 22 Pemuda kawasan mengadakan demontrasi itu sama ada esok atau Jumaat depan.

"Setakat ini Pemuda PAS kawasan Hulu Langat akan mengadakan demontrasi membantah keputusan kerajaan itu esok," katanya.

Hasbullah berkata, dijangka kira-kira 200 orang bagi setiap kawasan akan hadir dalam demontrasi itu.

Menurut pemimpin negeri yang dihubungi, kesemua perhimpunan esok dijalankan tanpa memohon permit polis kerana "ia adalah satu perhimpunan aman".

Difahamkan, pembangkang di negeri-negeri lain, Perlis, Kedah, Pahang dan beberapa kawasan di Selangor akan mengadakan demontrasi itu Jumaat hadapan.

Kemuncak kepada siri demonstrasi tersebut akan dilaporkan diadakan pada 3 Julai ini di Kuala Lumpur bagi menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Saturday, May 8, 2010

Lagi remaja ditembak, konstabel digantung tugas



Seorang konstabel polis digantung tugas dan ditahan selepas didakwa menembak remaja remaja berusia 17 tahun yang enggan memberhentikan motosikalnya ketika dikejar kereta peronda di persimpangan Kampung Ujong Pasir, Jalan Seremban-Jelebu, 3.30 pagi tadi.

Anggota polis itu dipercayai baru berkhidmat kira-kira setahun.

Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh berkata, anggota polis berkenaan digantung tugas serta merta kerana melepaskan tembakan tanpa sebab kukuh dirinya terancam.

“Saya menganggap kejadian ini sebagai kesalahan menggunakan kuasa. Saya kesal dengan insiden ini kerana anggota terbabit telah menembak tanpa justifikasi yang telah ditetapkan oleh Ketua Polis Negara. Saya juga ingin meminta maaf kepada pihak keluarga mangsa," katanya.

Cedera parah


Pada kejadian itu, Mohd. Azizi Aziz, 17 cedera parah di bahagian perut setelah terkena tembakan yang dilepaskan seorang anggota polis keran enggan berhenti.

"Berikutan itu, polis telah melepaskan satu das tembakan dan kena pada bahagian perut sehingga tembus ke bahagian usus," kata Osman kepada pemberita.

Mangsa yang dipercayai berasal dari Senawang itu menjalani pembedahan di perut dan usus kini berada dalam keadaan stabil di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban.

Osman berkata mangsa dalam satu kumpulan kira-kira 20 orang yang menaiki motosikal berhampiran sebuah pasaraya di Jalan Datuk Siamang Gagap dan kumpulan itu berpecah apabila terserempak dengan sebuah kereta peronda polis, manakala angsa melarikan diri arah Jalan Seremban-Jelebu.

"Anggota polis yang melepaskan tembakan ini mendakwa dia melepaskan tembakan amaran tetapi dalam keadaan kereta yang laju dan mangsa juga menunggang motosikal secara bahaya.

"Satu das tembakan telah dilepaskan dan selepas kira-kira dua kilometer baru mangsa dapat ditahan dan mendapati mangsa terkena tembakan di bahagian perut."


Mengulas kejadian itu Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop yang ditemui Bernama ketika merasmikan lapang sasar polis bantuan Felda di Felda Bukit Rokan berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak bertolak ansur dalam kes tersebut.

"Bagi kita, perkara ini sangat serius. Kita akan meneruskan dengan siasatan dahulu. Kalau anggota polis terbabit terbukti bersalah, kita akan mengambil tindakan mengikut prosedur yang diperuntukkan.

"Dalam kes ini kita masih menyiasat dan buat masa ini anggota polis terbabit telah ditahan kerja," katanya.

Bapa terkilan


Abu Seman turut melawat mangsa di HTJS. Beliau meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk melihat keadaan mangsa.

Turut hadir Osman dan dua anggota exco kerajaan negeri Datuk Ismail Lasim dan Datuk Ismail Taib.

Sementara itu, Bernama melaporkan ayah mangsa, Aziz Omar, 42, berkata beliau sangat sedih dengan kejadian yang menimpa anaknya itu.

"Saya dihubungi pihak hospital pada pukul 4.20 pagi tadi yang menyatakan anak saya mengalami kecederaan dan kini berada di hospital. Saya kemudian bergegas ke hospital dan baru mendapat tahu bahawa anak saya cedera ditembak polis.

"Dalam hal ini saya amat terkilan kerana yang menghubungi saya adalah pihak hospital tapi mengapa tidak polis. Mohd Azizi adalah anak sulung daripada enam orang adik beradik," katanya.

Rakan Aminulrasyid pertikai versi polis



SHAH ALAM — Aminulrasyid Amzah tidak pernah merempuh kereta peronda tetapi mereka ditembak dari belakang oleh anggota polis pada hari kejadian minggu lalu, kata rakannya Azamuddin Omar (gambar) yang menemaninya pada hari kejadian.

Bercakap kepada pemberita di sini petang ini, Azamuddin berkata Aminulrasyid cuba melepasi beberapa motosikal yang mengejarnya selepas keretanya tergesel sebuah kereta lain di Seksyen 7 sebelum itu.

Selepas rakannya ditembak, menurut Azamuddin, dia ditendang dan ditumbuk berkali-kali oleh beberapa anggota polis selepas keluar dari kereta dipandu Aminulrasyid.

“Mereka tembak dia di kepala (dari belakang) dan dia rebah di riba saya. Tetapi kakinya kekal pada pedal minyak dan kereta pula terus bergerak,” katanya.

Kata Azamuddin, polis terus-menerus menembak kereta sehingga ia terlanggar tembok sebuah rumah di Seksyen 11.

Pelajar Tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 11 itu berkata, sebelum insiden tersebut dia dan Aminulrasyid hendak berjumpa dengan seorang rakan di Seksyen 7 di sini kerana tayar motosikalnya pancit.

“Dalam perjalanan ke sana, kereta yang dipandu Amunulrasyid tergesel dengan sebuah kereta lain menyebabkannya menjadi panik lalu melarikan diri.

“Namun begitu ketika hendak keluar dari restoran Ali Corner, kami dikejar oleh beberapa motosikal kemungkinan besar rakan kepada pemandu kereta tadi.

“Ketika hendak melepasi Bulatan Kayangan Seksyen 12, salah seorang penunggang tersebut ingin memintas kami tetap terlanggar bahagian belakang kereta menyebabkannya terjatuh,” katanya ketika sidang media di pekarangan rumah Allahyarham Aminulrasyid.

“Aminulrasyid bertambah panik dan memandu dengan laju lalu memotong kereta peronda polis menyebabkan kenderaan itu terus mengejar kami.

“Kami dikejar sehingga ke Stesen Minyak Caltex Seksyen 11 dan sebaik sahaja memasuki simpang Jalan Tarian, saya terdengar bunyi tembakan bertubi-tubi mengenai tayar belakang.

“Walaupun dipandu terhoyong-hayang tetapi Amirulrasyid masih dapat mengawal pemanduan sebelum tembakan terakhir meragut nyawanya lalu terbabas melanggar tembok rumah dan berhenti,” katanya.

Azamuddin dikatakan telah membuat laporan polis kira-kira 9.40 malam hari kejadian.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Monalisa Mokthar berkata, Azamuddin masih lagi dalam keadaan trauma dan kini masih menerima rawatan ekoran kejadian tersebut.

“Azamuddin masih lagi trauma dan walaupun dia pergi ke sekolah seperti biasa tetapi rawatan tetap diberikan memandangkan tahun ini dia akan menghadapi Peperiksaan Menengah Rendah (PMR).

“Mungkin dia perlu masa lama untuk sembuh kerana saya pasti kejadian yang pasti akan dia ingat selama-lamanya,” katanya.

Tabik pada pejuang Hulu S'gor

: Bro Isham (Hishamuddin Rais)



Kempen politik sedang berjalan rancak di Hulu Selangor. Petang itu suhu alam di Kuala Kubu Baru agak panas lalu aku mencelah ke lereng bukit menuju ke arah Bukit Fraser.

Wilayah yang sejarahnya dimiliki oleh budaya kiri.

Sesiapa yang ada yang membaca buku sejarah pasti akan bertemu dengan 'babak' selekoh Bukit Fraser - Henry Gurney, Ulu Yam dan Batang Kali.

Batang Kali, sejarahnya samalah seperti My Lai Massacre di Vietnam – di mana orang kampung telah disusun berbaris kemudian ditembak mati seorang demi seorang kerana menyokong perjuangan anti kolonial.

Warga di sekitar kawasan lereng pergunungan ini kebanyakan menyokong perjuangan kiri – Kalumpang, KKB, Behrang, Slim River – semuanya memiliki sejarah kiri yang merah.

Hanya kolonial British meletakkan kawasan ini sebagai kawasan hitam – hitam untuk penjajah – merah untuk rakyat.

Manakala, di salah satu selekoh di Jalan Bukit Fraser ialah tempat terkuburnya Henry Gurney. Henry Gurney ini adalah orang jahat.

Di Palestine, susuk ini menjadi setiausaha kerajaan kolonial British Mandate (1946-1948). Orang jahat ini juga pernah bertugas di Afrika sebelum menjadi wakil kolonial British di Tanah Melayu.

Di lereng Bukit Fraser, orang jahat ini telah ditembak mati oleh gerila pembebasan rakyat Malaya dibawah pimpian Parti Komunis Malaya.

Justeru setiapkali aku melintasi lereng Bukit Fraser aku akan bersurah kepada sesiapa sahaja yang duduk di sebelah aku tentang babak bersejarah yang amat membanggakan ini.

Pada tahun 1971 bila aku mula berkenalan dan jatuh cinta dengan perjuangan rakyat Palestin aku terbaca bagaimana gembiranya rakyat Palestin apabila mendapat tahu yang Sir Henry Gurney telah ditembak mati.

Ertinya ada pertalian darah yang amat intim antara Palestine dan Tanah Melayu.

Bukit Fraser di kaki banjaran Titiwangasa sebelah barat - pergunungan ini bersambung ke Pahang - ke Temerloh dan Lubuk Kawah. Lubuk Kawah adalah wilayah kelahiran Regimen Ke-10 Tentera Pembebasan Rakyat Malaya.

Gunung-ganang ini tidak dapat memisahkan setiakawan dan solidariti kaum tani progresif Melayu di Temerloh dengan kaum kiri buruh Cina di Batang Kali.

Justeru bila aku datang ke KKB - aku hanya mengulangi perjalanan sejarah kiri yang gilang-gemilang itu.

Setiakawan bangsa-bangsa amat ketara di wilayah ini. Solidariti ini berjalan dari awal lagi - dibakar, dicair dan di pahat di zaman menentang kolonial.

Hulu Selangor adalah wilayah Ahmad Boestamam, wilayah Pak Sako. Di awal permulaan Perang Kolonial 20 Jun 1948, ratusan Melayu kiri ditahan di wilayah ini.

Baca kembali sejarah, maka kita akan berbangga dengan warga Hulu Selangor.

Tahun 2010 sejarah berulang lagi. Kali ini aku di Kuala Kubu Baru untuk menerangkan kepada warga Hulu Selangor bahawa ejen-ejen Zionis Isreal telah mula meresap sekali lagi ke tanahair kita.

Kalau dulu ejen Zionis menyerap masuk melalui susuk Henry Gurney, kali ini ia meresap dan merayap masuk di atas jemputan United Malays National Organisation.

Zionis Israel sekarang telah memasang jerangkap yang bertahan lama, bukan sahaja dalam pentabiran kerajaan, malah ia meresap hingga ke struktur pertahanan dalaman negara kita.

Justeru sesiapa yang hadir dan bekerja di pilihan raya kecil Hulu Selangor dua minggu lalu, sebenarnya sedang meneruskan tradisi melawan penjajah.

Kalau dulu PKM membunuh dan membasmi Henry Gurney yang menjajah Palestin, kali ini kita berjuang untuk membasmi - Apco-Umno - zionis internasional dan tempatan.

Petang itu aku ingin ke Pertak untuk merendamkan badan di celah-celah limpahan sejuk air gunung yang kini menjadi tadahan empangan besar.

Meninggalkan pekan KKB, aku memasuki wilayah hutan yang redup. Kemudian di kaki bukit kereta kami ditahan oleh satu pasukan polis yang lengkap bersenjata.

Ini mengingatkan aku kepada apa yang terjadi di Israel di mana saban hari warga Gaza akan dihantui oleh pelbagai bentuk sekatan jalan raya.

Sekatan jalan raya ini adalah senjata yang telah digunakan oleh British untuk memagar anak-anak negeri di tanah-tanah jajahan daripada bebas bergerak.

Di zaman perang Kolonial Anti-British di Tanah Melayu dahulu, bukan sahaja sekatan jalan raya diwujudkan, malah pekan-pekan kecil dan kampung-kampung baru juga dipagar dengan kawat berduri.

Jentera kolonial British sesudah perang dunia kedua telah menggunakan pelbagai teknik untuk menundukkan rakyat Palestine agar menerima kewujudan Zionist Israel untuk menduduki tanah Palestin pada tahun 1948.

Penjajah British telah mengumpulkan pengalaman menjajah Arab di Palestine kemudian membawa teknik menjajah ini ke Tanah Melayu.

Dalam tahun 1948 yang sama, kolonial British telah melancarkan Perang Kolonial di Tanah Melayu.

Lihat bagaimana pegawai kolonial British yang telah pernah bertugas di Palestin telah membawa pengalaman mereka menindas warga Arab untuk menindas orang Melayu. Kerana itu apabila Henry Gurney dibunuh di Bukit Frazer, warga Palestine bersyukur gembira.

Sejarah berulang sekali lagi. Hari ini Apco adalah badan zionis yang diupah untuk menasihatkan pentabiran Malaysia. Tidak dapat tidak Apco ini memiliki strategi berjangka lama.

Waspada! Gerakan Zionis antarabangsa adalah anai-anai - licik dan tersusun.

Kereta yang aku tumpangi - setelah diperiksa - dibenarkan bergerak. Kami terus meluncur mendaki jalan berliku-liku ke arah pergunungan Bukit Fraser.