Saturday, May 8, 2010

Rakan Aminulrasyid pertikai versi polis



SHAH ALAM — Aminulrasyid Amzah tidak pernah merempuh kereta peronda tetapi mereka ditembak dari belakang oleh anggota polis pada hari kejadian minggu lalu, kata rakannya Azamuddin Omar (gambar) yang menemaninya pada hari kejadian.

Bercakap kepada pemberita di sini petang ini, Azamuddin berkata Aminulrasyid cuba melepasi beberapa motosikal yang mengejarnya selepas keretanya tergesel sebuah kereta lain di Seksyen 7 sebelum itu.

Selepas rakannya ditembak, menurut Azamuddin, dia ditendang dan ditumbuk berkali-kali oleh beberapa anggota polis selepas keluar dari kereta dipandu Aminulrasyid.

“Mereka tembak dia di kepala (dari belakang) dan dia rebah di riba saya. Tetapi kakinya kekal pada pedal minyak dan kereta pula terus bergerak,” katanya.

Kata Azamuddin, polis terus-menerus menembak kereta sehingga ia terlanggar tembok sebuah rumah di Seksyen 11.

Pelajar Tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 11 itu berkata, sebelum insiden tersebut dia dan Aminulrasyid hendak berjumpa dengan seorang rakan di Seksyen 7 di sini kerana tayar motosikalnya pancit.

“Dalam perjalanan ke sana, kereta yang dipandu Amunulrasyid tergesel dengan sebuah kereta lain menyebabkannya menjadi panik lalu melarikan diri.

“Namun begitu ketika hendak keluar dari restoran Ali Corner, kami dikejar oleh beberapa motosikal kemungkinan besar rakan kepada pemandu kereta tadi.

“Ketika hendak melepasi Bulatan Kayangan Seksyen 12, salah seorang penunggang tersebut ingin memintas kami tetap terlanggar bahagian belakang kereta menyebabkannya terjatuh,” katanya ketika sidang media di pekarangan rumah Allahyarham Aminulrasyid.

“Aminulrasyid bertambah panik dan memandu dengan laju lalu memotong kereta peronda polis menyebabkan kenderaan itu terus mengejar kami.

“Kami dikejar sehingga ke Stesen Minyak Caltex Seksyen 11 dan sebaik sahaja memasuki simpang Jalan Tarian, saya terdengar bunyi tembakan bertubi-tubi mengenai tayar belakang.

“Walaupun dipandu terhoyong-hayang tetapi Amirulrasyid masih dapat mengawal pemanduan sebelum tembakan terakhir meragut nyawanya lalu terbabas melanggar tembok rumah dan berhenti,” katanya.

Azamuddin dikatakan telah membuat laporan polis kira-kira 9.40 malam hari kejadian.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Monalisa Mokthar berkata, Azamuddin masih lagi dalam keadaan trauma dan kini masih menerima rawatan ekoran kejadian tersebut.

“Azamuddin masih lagi trauma dan walaupun dia pergi ke sekolah seperti biasa tetapi rawatan tetap diberikan memandangkan tahun ini dia akan menghadapi Peperiksaan Menengah Rendah (PMR).

“Mungkin dia perlu masa lama untuk sembuh kerana saya pasti kejadian yang pasti akan dia ingat selama-lamanya,” katanya.

1 comment:

  1. kami semua penduduk shah alam dan saya rasakan seluruh rakyat malaysia lebih percayakan kata2 adik Azamudin Omar dpd kata2 pak polisi kita yg lebih byk temberang dr benarnya...

    ReplyDelete