Thursday, July 16, 2009

Anwar Menang Kes Tuntutan, Pendakwaraya Diarah Serah Bukti

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata beliau puas hati dengan keputusan mahkamah yang mengarah pendakwaraya menyerahkan bukti yang disembunyikan kepada pasukan peguambela.

Membacakan keputusan kes pada jam 2.30 petang tadi, Hakim Zabidin Md Diah menyanggah hujah pendakwaraya yang mendakwa mahkamah tidak boleh memaksa pihak pendakwaraya menyerahkan bukti-bukti bukan dokumen.

Hakim Zabidin berkata tiada sebarang peruntukan dalam undang-undang yang menghalang pihak pendakwaraya atau menyekat mahkamah dari mengemukakan bukti-bukti yang relevan kepada pasukan pembelaan.

Mahkamah dengan ini mengarahkan pihak pendakwaraya harus menyerahkan akuan dari tujuh saksi yang akan ditampilkan oleh pendakwaraya, ujian rawatan perubatan dan nota pakar kimia dalam masa satu minggu.

Peguambela Anwar juga diberi keizinan untuk menonton sedutan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) Saiful di kondo kejadian pula, sekiranya salinan pendakwaraya tidak jelas.

Manakala sampel dan spesimen DNA gagal diperoleh atas "sebab-sebab keselamatan", begitu juga rakaman video testimoni penuduh, Saiful Bukhari Azlan, kepada polis pada 30 Jun 2008.

Anwar berkata walaupun kes tuntut bukti memihak kepada beliau, namun mengingatkan pasukan pembelaannya berwaspada ekoran pengalaman lalu berhubung manipulasi bukti oleh pihak pendakwaraya.

Pendakwaraya berkata pihaknya akan merayu kepada keputusan mahkamah ini, seraya membantutkan lagi persediaan Anwar menghadapi kes Liwat II.

1 Ogos Tambang teksi naik kepada RM3

Tambang teksi dinaikkan dari RM2 kepada RM3 mulai 1 Ogos, demikian diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz di Kuala Lumpur hari ini.

Kadar baru tambang teksi itu dilaporkan mengambil kira pelbagai faktor termasuk destinasi, jarak dan masa selepas kajian Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Mei lalu.

Kerajaan sebelum ini pada dasarnya bersetuju memberi kenaikan 30 peratus bagi meringankan beban pengusaha pengangkutan awam, termasuk surcaj 30 peratus tambang bas ekspres.

Ada Cubaan Sembunyi Bukti - Sivarasa

Perbicaraan hari ini bermula dengan peguambela Edmund Bon dan Amer Hamzah Arshad menyanggah dakwaan pendakwaraya Yusof Zainal Abiden yang kononnya mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk memaksa pendakwaraya menyerahkan bukti kepada pasukan peguambela.

Edmund menegaskan antara peranan utama mahkamah adalah menjamin hak tertuduh mendapatkan pembelaan yang rapi, terutama sekali apabila yang tertuduh mengheret pendakwaraya ke mahkamah kerana menyembunyikan bukti.

"Pihak tertuduh berhak kepada semua bahan yang ada yang boleh membantu kes tertuduh, walaupun pihak pendakwaraya tidak menggunakan bahan-bahan itu dalam perbicaraan nanti," tegas Edmund.

Mangsa, Anwar Ibrahim, dan isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail berada di Kompleks Mahkamah Jalan Duta sehingga jam 10 pagi apabila Hakim Zabidin menangguhkan sesi tersebut.

"Seseorang yang didakwa di bawah kesalahan jenayah harus di beri perbicaraan yang adil. Jika beliau tidak dapat di bicarakan secara adil, maka lebih baik dia tidak di bicarakan terus," tegas Amer Hamzah pula.

Dalam penggulungan pasukan pembelaan menuntut pendakwaraya untuk tidak menyembunyikan bukti-bukti penting, peguam Sivarasa Rasiah menuduh pihak pendakwaan cuba menguburkan rekod yang menunjukkan mantan Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak bersalah.

"Risiko menyembunyikan bukti sepertimana yang berlaku dalam kes sukma Darwawan berlaku dalam kes ini. Lantas, permohonan ini adalah bagi menghalangnya dari berlaku, dan kita nampak tentangan jelas dari mereka," kata Sivarasa, lalu mengundang bantahan keras dari pendakwaraya Yusof Zainal Abiden.

Pendakwaraya berkata mereka telah dan pernah menyerahkan dokumen kepada pasukan pembelaan, namun belum sempat Sivarasa bangun menjawab dakwaan Yusof itu, Hakim Zabidin Md Diah mencelah sebelum menangguhkan perbicaraan pada jam 10 pagi.

Keputusan samada pendakwaraya perlu atau tidak menyerahkan bukti kepada pasukan pembelaan akan dibacakan jam 2.30 petang.

Di luar mahkamah, Sivarasa berkata tentangan hebat dari Yusof kepada tuntutan klien beliau mengukuhkan dakwaan wujud konspirasi politik terhadap Anwar.

Chua Jui Meng akan sertai PKR?

Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Chua Ji Meng dipercayai akan melompat parti untuk menyertai PKR di satu majlis hujung minggu ini.

Chua telah memanggil mesyuarat tergempar MCA Bakri malam ini di mana beliau dijangka melepaskan jawatan ketua bahagian berkenaan.

Difahamkan timbalannya, Sia Ka Tuan, dijangka akan memangku jawatan ketua bahagian berkenaan.

Chua, 64, bekas menteri kesihatan dan seorang peguam, mengetuai bahagian Bakri sejak 23 tahun yang lalu.

Beliau bertanding jawatan timbalan presiden MCA tetapi tewaskan kepada Datuk Seri Ong Ka Ting pada 2005 dan Datuk Seri Ong Tee Keat pada 2008.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menggunakan kemasukan Jui Meng ke dalam PKR untuk meningkatkan sokongan kepada gabungan pembangkang yang kini berdepan dengan krisis dalaman dan kebangkitan semula BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri baru, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Usaha untuk menghubngi Jui Meng sehingga tidak berjaya.

Berita lanjut menyusul

Pakatan leader: A win still a win


Opposition leader Anwar Ibrahim declared PAS' slim 65-vote victory at Manek Urai as still a win and that the opposition coalition has won every by-election in the peninsular since the 2008 general election.

Speaking outside the Kuala Lumpur High Court today, Anwar said that "although by-elections are tough on the opposition, our candidate still won despite attacks and the RM150 million development fund promised by Barisan Nasional to the small constituency.

"The point is, we have won all the by-elections in Peninsular Malaysia," said Anwar.

Wednesday, July 15, 2009

Pengajaran dari Manek Urai : Chegubard

Selain isu pembangunan janji dan ugutan projek, wang yang ditabur....Umno memainkan sepenuhnya isu kerajaan perpaduan. Kita sudah terperangkap dengan isu ini dan keputusan ini bolehlah kita anggap sebagai 'kifarah' atas isu tersebut.

Pilihanraya jelas belum bersih. Selepas PRU 2008 seolah kita terlupa isu perjuangan BERSIH yang menuntut pilihanraya adil dan bersih. Ingat kemenangan 2008 bukan kerana pilihanraya bersih dan adil tetapi kebangkitan rakyat sehingga menyebabkan penipuan yang dilakukan tidak cukup untuk 'cover' peralihan undi yang mendadak dan hampir luar jangka. Selepas Manik Urai kita seharusnya kembalikan isu dan tekanan serta desakan terhadap isu yang dibawa BERSIH ini.

Manik Urai adalah signal penting, untuk dibaca oleh semua kepimpinan Pakatan Rakyat khususnya yang memegang amanah sebagai wakil rakyat. Ingatlah jangan terlalu selesa dengan kemenangan. Kita menang bukan semata - mata kerana kekuatan parti tetapi kerana kebencian rakyat kepada Regim pemerintah. Rakyat memilih kita kerana kita mampu bersatu atas isu berkepentingan ramai. Jesteru itu rakyat juga mampu menghumban kita jika kita gagal melaksanakan harapan dan janji perubahan kepada rakyat.

Kita sering telagah dalam isu sekecil lantikan ahli Majlis......sekali lagi ditegaskan ini masalah warisan regim Bn....jangan lawan kerana nak tempatkan orang itu atau nak tolak orang ini dalam menjadi ahli Majlis sebaliknya kita harus besar hati desak segera diadakan Pilihanraya Majlis Kerajaan Tempatan seperti yang pernah diadakan. Pembayar cukai berhak memilih siapa yang harus menguruskan cukai mereka.....ini peneguhan prinsip demokrasi dan hak....jika kita lakukan ini nescaya akan terus jauhlah Bn dari hati rakyat

CHEGUBARD

Kes liwat Anwar bermula 2 petang


Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mula didengar jam 2 petang ini, selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini menolak ia ditangguhkan untuk mendapatkan peguam utama yang baru.

Peguam kanan, Sulaiman Abdullah, yang masih tidak sihat, telah meminta Anwar melantik peguam utama baru kerana beliau tidak mahu menjadi punca kelewatan perbicaraan kes tersebut. Ia telah ditangguhkan sebelum ini.

Anwar diwakili oleh sepasukan sembilan orang peguam, termasuk Sulaiman.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Anwar berkata peguamnya telah menemui hakim dalam kamar pagi ini untuk meminta diberi lebih masa, tetapi diberitahu bahawa ini adalah "satu perkara teknikal yang boleh diselesaikan".

Hakim kemudiannya menetapkan perbicaraan kes Anwar itu bermula jam 2 petang ini.

Tuesday, July 14, 2009

Fauzi: Terima Kasih Rakyat, Saya Akan Pikul Tanggungjawab Dengan Amanah


Pemenang Pilihanraya Kecil N41 Manek Urai Mohd Fauzi Abdullah mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada rakyat kerana tidak termakan sogokan dan omong politik Umno-BN.

Beliau berkata kepercayaan yang diberikan pengundi kepada Pas akan dipikulnya dengan rasa amanah dan tanggungjawab.

“Saya bersyukur dengan kemenangan ini. Saya berterima kasih kepada semua, khususnya kepada petugas-petugas yang bertungkus-lumus disebalik persaingan Umno yang sengit. Kita dapat kekalkan kerusi N41 Manek Urai diatas kepercayaan rakyat dan sokongan dari Pas dan Pakatan Rakyat kita dapat kejayaan hari ini” kata Fauzi.

Tepat jam 9.01 malam, Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) mengumumkan kerusi N41 Manek Urai dimenangi calon Pas-Pakatan Rakyat Mohd Fauzi Abdullah.

PRK Manek Urai menyaksikan pertarungan sengit, dimana Pas meraih 5,348 undi manakala BN meraih 5,283 undi. Pas mendahului BN dengan 65 majoriti.

Fauzi menujukan kemenangan ini kepada kepimpinan dan akar umbi Pas yang telah memberi kepercayaan kepada beliau.

“Memang sengit pilihanraya ini, walaupun kecil, tetapi semua menteri turun ke Dun Manek Urai ini,” katanya.

“Saya ucap terima kasih kepada rakyat yang tidak termakan dengan sogokan dan janji-janji yang dibuat, yang saya fikir kerana ketahanan diri mereka yang kuat. Faktor kemenangan ini juga kerana hubungan rakyat dengan akar umbi kerana kalau kita tidak hampir kepada rakyat, kita tidak mungkin dapat mempertahan Dun Manek Urai,” tambah Fauzi.

Sementara itu, Exco Kelantan Husam Musa berkata Pas mampu meraih sokongan lebih besar sekiranya politik wang Umno-BN dibendung SPR.

“Kemenangan ini sesuatu yang berharga pada kami, kerana politik wang amat berleluasa, tetapi rakyat mampu bertahan dan Pakatan Rakyat mencapai kemenangan pusingan ke enam. Kalau kena tiga lagi pusingan, dengan izin Allah, Umno tumbang,” tegas Husam.

“Secara teori, Umno percaya menjadi alat untuk memenangkan kawasan luar bandar, tetapi kerana kekuatan iman dan kefahaman politik para pengundi, rakyat dapat bertahan disebalik serangan wang yang begitu dahsyat sekali,” katanya.

“Saya ingat BN tentu amat kecewa sekali. Dengan pelaburan sebesar itu mereka masih gagal. Ini satu pukulan hebat kerana walaupun dengan 11 tawaran Perdana Menteri, masih mereka belum menang disini,” kata Husam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat Kamaruddin Jaafar yang mengikuti perkembangan Manek Urai dari Nottingham, United Kingdom menyaggah dakwaan media perdana bahawa sokongan terhadap Pas semakin terhakis.

“Tidak sekali-kali berkurangan. Di kawasan Manek Urai, dengan rakyat yang banyak bergantung kepada kerajaan dari segi bantuan, namun mereka masih memilih calon Pakatan Rakyat – walaupun dengan majoriti yang kecil – tetapi ini adalah petanda positif rakyat Kelantan masih bersama-sama Pas dalam apa keadaan sekalipun,” tegas beliau.

“Kita bersyukur rakyat telah cuba dirasuahkan tetapi rakyat masih lagi berpegang kepada perjuangan bersama Pas, disebalik ugutan dan rasuah dari pihak Umno-Barisan Nasional,” tambahnya.

Husam: PAS hampir tewas kerana politik wang

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Husam Musa mendakwa, kemenangan tipis calon PAS dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai adalah berpunca daripada politik wang.

Katanya, PAS telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung perkara tersebut dan berharap tindakan selanjut diambil.

Dalam pilihanraya kecil hari ini, calon PAS Mohd Fauzi Abdullah, menang dengan majoriti tipis 65 undi.

Beliau mendapat 5,348 undi manakala calon BN Tuan Aziz Tuan Mat mendapat 5,283 undi.

Menurut Husam lagi, PAS juga kalah di pusat pengundian Manek Urai Baru dan Manek Urai Lama.

Oleh itu, katanya, BN harus membina jambatan baru yang dijanjikannya kerana ia menang di situ.

Husam juga menafikan kemenangan tipis PAS itu mencerminkan pengaruh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat semakin merosot.

Sebaliknya, kata beliau, pengaruh menteri besar Kelantan itu semakin meningkat

"Kita kalah kerana politik wang," katanya.

Manakala Mohd Fauzi yang lebih dikenali sebagai Abe Uji berkata, beliau menghormati keputusan pilihanraya kecil hari ini.

Beliau berharap dapat berkhidmat kepada para pengundi sebaik mungkin walaupun menang tipis.

BARISAN NASIONAL BERJAYA MEMPERTAHANKAN KEKALAHAN

Analisis Mahu tidak mahu, kemenangan PAS mempertahankan kerusi DUN Manek Urai dengan majoriti tipis 65 undi pasti menimbulkan pelbagai persoalan.

Dalam pilihanraya umum tahun lalu, calon PAS Ismail Yaakob mendapat 5,746 undi dan calon BN, Zulkepli Omar mendapat 4,394. Ismail menang dengan majoriti 1,352 undi.

Malah, pada jam 3.40 petang tadi, pengarah pilihanraya PAS Kelantan, Fatah Harun dengan yakin menyatakan bancian awal jentera pilihanraya kecil tersebut menunjukkan calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah "menang dengan majoriti hampir 2,000 undi".

Malah, para penyokong PAS sudah merayakan kejayaan tersebut, serta mengucap tahniah kepada Fauzi ketika beliau tiba di markas utama PAS Manek Urai pada jam 4.40 petang tadi.

Bagaimanapun, keadaan itu berubah pada kira-kira jam 7 petang apabila para penyokong BN pula dilihat begitu gembira apabila mendapat tahu calon BN Tuan Aziz Tuan Mat mendahului dengan 30 undi.

Manakala Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pula, melalui twitter, melaporkan detik-detik cemas dan mendebarkan keputusan pengiraan undi yang begitu rapat antara PAS dan Umno yang saling dahulu-mendahului.

Akhirnya, PAS menang dengan 65 undi. Apa yang tidak kena dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai?

Pengaruh BN makin pulih

Walaupun tewas, Umno sudah pastinya akan melaungkan bahawa pengaruh parti itu sudah semakin pulih sejak krisis kepemimpinannya dan prestasi buruk pilihanraya umum 2008.

Manakala pengaruh PAS khususnya, dan Pakatan Rakyat amnya, semakin terhakis.

Apatah lagi dengan kehadiran tokoh-tokoh besar Pakatan - Datuk Seri Anwar Ibrahim dari PKR dan Lim Kit Siang dari DAP. Manakala Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat pula mengetuai jentera pilihanraya PAS di Manek Urai.

Manakala jentera pilihanraya BN, khususnya Umno, diketuai oleh Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama dengan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed.

Nampaknya, harapan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak untuk menjadikan pilihanraya kecil DUN Manek Urai sebagai petanda berakhirnya kekalahan BN dalam siri pilihanraya kecil selepas pilihanraya umum 2008.

Namun, kemampuan BN menghakis majoriti PAS - daripada 1,352 undi kepada hanya 65 undi - boleh dianggap satu kejayaan terbesar kepada BN di Semenanjung dalam enam pilihanraya kecil.

Apatah lagi, DUN Manek Urai merupakan kubu kuat PAS selama ini. BN hanya berjaya merampas DUN tersebut pada pilihanraya umum 2004 dengan majoriti tipis 53 undi.

Punca kegagalan PAS

Bagaimanapun, dalam pilihanraya umum lalu, calon lama PAS berjaya merampasnya semula dengan menewaskan Zulkepli.

Tentunya apa yang bermain di fikiran ramai orang ialah punca kegagalan PAS untuk mengekal majoriti yang dimenanginya pada 2008.

Adakah ia ada kaitan dengan 'ketegangan' dalam kepimpinan PAS berhubung isu cadangan kerajaan perpaduan dengan Umno? Atau pengaruh Nik Aziz, yang begitu lama memimpin PAS, kini kian merosot?

Apakah kepimpinan PAS sudah dapat menghidu masalah tersebut dan bersungguh-sungguh berusaha untuk memastikan seramai mungkin pengundi Manek Urai yang tinggal di luar Kelantan - termasuk 867 orang di Selangor dan Wilayah Persekutuan - balik mengundi?

Malah, satu majlis mengenainya telah diadakan di sebuah hotel di ibu negara yang dihadiri sendiri oleh Nik Aziz dan juga exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

Malah, pagi tadi, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar turut mengakui bahawa PAS mampu mengekalkan kerusi DUN Manek Urai tetapi “dengan majoriti yang berkurangan”.

Maka timbul persoalan sama ada kemenangan Pakatan Rakyat dalam siri pilihanraya kecil sebelum ini, sebenarnya atas kekuatannya sebagai sebuah gabungan parti pembangkang, atau atas isu-isu yang tercetus ketika ia berlangsung?

Tugas berat menanti PAS

Mungkin ada kebenarannya dalam pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang pada April lalu, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin mendapat undi simpati susulan disingkirkan oleh BN daripada jawatan menteri besar.

Dan dalam kes pilihanraya kecil Kuala Terengganu, kejayaan calon PAS, Abdul Wahid Endut merampas kerusi dari BN dilihat akibat kelemahan peribadi serta sabotaj ahli Umno sendiri terhadap calonnya Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Dengan keputusan mengejutkan di Manek Urai, tugas berat menanti PAS Kelantan khususnya dan Pakatan Rakyat amnya untuk duduk semeja bagi merenung semula insiden-insiden yang mendorong keputusan nyawa-nyawa ikan kepada seorang pemborong ikan di kerusi DUN tersebut.

Malah, kehadiran Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa - yang sebelum ini amat dimarahi Nik Aziz kerana menyokong idea kerajaan perpaduan dengan Umno - juga tidak membantu.

Kalau di Kelantan sendiri, yang sudah 19 tahun ditadbir oleh PAS, ia menang tipis di Manek Urai, bagaimana pula dengan nasib kerajaan Pakatan di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor yang masih setahun jagung?

Mungkin juga para pengundi DUN itu termakan umpan BN mengenai latar belakang pendidikan dan kerjaya calon yang sepatutnya mewakili mereka - Tuan Aziz seorang lulusan universiti, manakala Mohd Fauzi seorang pemborong ikan.

Persoalan demi persoalan terus bermain di fikiran PAS, para penyokong Pakata dan semua pengamat politik. Semuanya menghentak keasyikan tempoh bulan madu pembangkang sejak 8 Mac tahun lalu sewaktu gerhana singgah di Manek Urai.

Keputusan Rasmi : PRK N41 Manek Urai


Sila refresh untuk keputusan terkini

KEPUTUSAN RASMI
UNDI PAS
5348
UNDI BN
5283
MAJORITI65
JUMLAH UNDI ROSAK 92
JUMLAH KELUAR MENGUNDI 10 722 (87.22%)
JUMLAH SALURAN MENANG 14 DARIPADA 27
JUMLAH UPU MENANG 4 DARIPADA 9
MASA8.29 PM (rasmi)

PAS menang dengan majoriti 65 Undi
kemaskini 8.58pm Keputusan rasmi Calon PAS Mohd Fauzi Abdullah, seorang pemborong ikan, menang dengan majoriti "nyawa-nyawa ikan" sebanyak 65 undi. PAS mendapat 5,348 undi sementara calon BN Tuan Aziz Tuan Mat mendapat 5,283 undi.



kemaskini 8.22pm Calon PAS Mohd Fauzi Abdullah melangkah longlai keluar dari bilik gerakan utama parti di Manek Urai.

Beliau dalam perjalanan menuju ke tempat penjumlahan undi di SMK Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai.

Menurut sumber parti itu, PAS meraih 5,347 undi, BN pula mendapat 5,283 undi dan majoritinya tinggal 64 daripada 1,352 undi yang diperolehi pada pilihanraya umum lalu.


kemaskini 8.19pm Keputusan rasmi PAS mendapat 4,335 undi, sementara BN pula 4,299 undi.

Lima peti undi belum sampai di tempat penjumlahan undi di SMK Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang menanti ketibaan peti-peti sebelum membuat pengumuman rasmi.

Majoriti setakat ini 36 undi.


kemaskini 8.13pm Keputusan rasmi (setakat ini)PAS mendapat 3,092 undi, sementara BN pula 2,747 undi. Majoriti setakat ini 345 undi.

kemaskini 8.12pm PAS didakwa menang dengan majoriti 65 undi tetapi akibat majoriti terlalu tipis, pengiraan semula dijangka akan dijalankan.

kemaskini 7.59pm PAS didakwa menang dengan majoriti 65 undi tetapi akibat majoriti terlalu tipis, pengiraan semula dijangka akan dijalankan.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata BN sedang berusaha agar kiraan semula diadakan.

"Kiraan pertama dan kedua sangat, sangat berbeza," katanya melalui Twitter sebentar tadi.


kemaskini 7.51pm Jika berlaku pengiraan semula di beberapa daerah mengundi, keputusan malam ini mungkin lebih lewat diketahui.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengimami solat di bilik gerakan utama PAS di Manek Urai.

Suasana serius di sini setelah agen-agen PAS dari tempat mengundi pulang dengan keputusan masing-masing.

kemaskini 7.39pm Menurut sumber Twitter Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar, kemenangan BN "semakin terserlah"

"Keputusan tidak rasmi kelihatan rasmi dari minit ke minit. Kemenangan BN semakin terserlah," katanya.


kemaskini 7.34pm PAS mempamerkan di layar besar di bilik gerakannya dengan angka parti itu tersebut meraih 5,363 undi, manakala BN mendapat 5,293 undi.

PAS mendapat kelebihan 70 undi.


kemaskini 7.24pm BN mendahului Manek Urai Baru dan Manek Urai Baru, PAS pula mendahului di Late Rek dan Chuchoh Puteri daripada sembilan daerah mengundi.

Daerah-daerah lain: Temalir, Sungai Peria, Sungai Sok, Manjor dan Laloh


kemaskini 7.10pm Sekumpulan penyokong BN di bilik operasi parti itu di Manek Urai kelihatan bergembira "atas kemenangan" calon mereka Tuan Aziz Tuan Mat.

Ada sumber menyatakan kemenangan sebanyak "30 undi", sementara terdapat sumber menyebut "200 undi".

Calon BN dan pemimpin BN tidak kelihatan di situ.

Menurut sumber Twitter Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar, BN mendahului 38 undi.

kemaskini 5pm Proses pembuangan undi di sembilan pusat pengundian yang melibatkan 27 saluran ditutup dengan rasminya jam 5 petang ini.

PAS awal-awal lagi yakin mempertahankan kerusi DUN Manek Urai dengan bancian awal sekurang-kurangnya majoriti 2,000 undi.


kemaskini 4.22pm Peratus keluar mengundi sehingga pukul 4 petang tadi sudah mencecah 86.4 peratus atau 10,626 pemilih menunaikan tanggungjawab - sejam lagi sebelum pusat pembuangan undi ditutup.

kemaskini 3.32pm Peratus keluar mengundi sehingga pukul 3 petang tadi sudah mencecah 83.9 peratus atau 10,312 pemilih menunaikan tanggungjawab - dua jam sebelum pusat pembuangan undi ditutup.

kemaskini 2.48pm Lebih kurang 300 penyokong PAS dan BN dilaporkan bertembung di pusat membuang undi SK Peria dekat kira-kira 12 tengah hari ini.

Pergaduhan tersebut berjaya dileraikan oleh polis dan empat buah trak unit tindakan ringan diletakkan di situ bagi meningkatkan keselamatan, lapor laman web Utusan Malaysia.

Susulan pergaduhan itu, beberapa orang penyokong kedua-dua belah pihak mengalami kecederaan dan semuanya dihantar ke Hospital Kuala Krai.

Akhbar yang sama juga melaporkan, kira-kira jam 11 pagi terjadi insiden membaling batu dan botol antara kedua-dua belah pihak di sekolah berkenaan.

Sementara itu laman web The Star pula melaporkan, lima anggota Puteri Umno mengalami kecederaan dalam kekecohan dua kumpulan penyokong parti yang bersaing itu di luar SK Peria kira-kira 10.30 pagi.


kemaskini 2.05pm Calon BN Tuan Aziz Tuan Mat yakin peluangnya merampas kerusi DUN Manek Urai "lebih cerah" jika peratusan keluar mengundi meningkat.

Ditemui dekat pusat membuang undi di Chuchoh Puteri, beliau berkata peratusan tinggi itu bermakna ramai pengundi muda keluar membuat pilihan dan memangkah BN.


kemaskini 1.55pm Dua ahli Puteri Umno Kelantan dikejarkan ke Hospital Kuala Krai selepas dibaling dengan batu ketika bertugas di pusat pembuangan undi SK Peria, lapor laman web Utusan Malaysia.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari, masing-masing cedera di belakang dan pengsan di tempat kejadian akibat terkena balingan batu oleh perayu undi parti yang bertanding.

Difahamkan ada kalangan mereka yang cedera sehingga patah gigi kerana masing-masing membaling botol air dan batu ketika meraih undi, lapor akhbar itu lagi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi dipetik berkata, kejadian berlaku berikutan provokasi yang dilakukan oleh perayu-perayu undi parti yang bertanding.

kemaskini 1.25pm Jumlah penyokong PAS jauh mengatasi kumpulan kecil penyokong BN di pusat pembuangan undi Lata Rek dengan kadar 150 orang berbanding lima orang, semuanya Wanita dan Puteri Umno.

Kumpulan wanita disorak agar "balik ke rumah" tetapi tetap bersemangat dengan berpayung di bawah terik matahari, sambil mengibarkan bendera.

Manakala kumpulan penyokong PAS pula berada di bawah khemah yang dilengkapi kipas angin, makanan dan minuman. Mereka berehat dengan santai, termasuk makan tengah hari di situ (foto kanan).


Beberapa penyokong Umno kelihatan berteduh di pokok-pokok berhampiran.


kemaskini 1.23pm Peratus keluar mengundi sehingga pukul 1 tengah hari sudah mencecah 76.2 peratus atau 9,359 pemilih mengundi pilihan masing-masing - sama ada calon BN Tuan Aziz Tuan Mat atau calon PAS Mohd Fauzi Abdullah.

Mengikut trend pembuangan undi setakat ini, peratus keluar mengungi kemungkinan akan lebih tinggi daripada 85 peratus seperti disasarkan lebih awal oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

kemaskini 12.58pm Seorang bekas pemimpin Umno Kuala Krai mendakwa parti itu menghadapi masalah pembahagian duit kepada pengundi Umno di DUN Manek Urai.

"Saya difahamkan duit tidak cukup, terpaksa menunggu duit baru," katanya, yang enggan namanya disiarkan, kepada Malaysiakini.

Ketua Wanita Umno Kuala Krai, Rohani Abdul Majid bagaimanapun berkata, duit berkenaan bukannya untuk pengundi DUN Manek Urai, sebaliknya untuk perayu undi dan penampal poster.

kemaskini 12.22pm Peratus keluar mengundi sehingga pukul 12 tengah hari sudah mencecah 68.4 peratus atau 8,415 pemilih menunaikan tanggungjawab - empat jam selepas pusat pembuangan undi dibuka.

kemaskini 12.03pm Kira-kira 40 dilihat beratur di hadapan sebuah rumah kayu dalam kawasan bangunan pejabat Kesedar, yang terletak kira-kira 50 meter dari pusat mengundi di SK Peria.

Malaysiakini nampak mereka menghulurkan kad pengenalan masing-masing kepada beberapa petugas di depan pintu rumah tersebut. Berita penuh di sini.


kemaskini 11.35am Peratus keluar mengundi sehingga pukul 11 pagi ini sudah mencecah 57.6 peratus atau 7,085 pemilih menunaikan tanggungjawab - tiga jam selepas pusat pembuangan undi dibuka.


kemaskini 11.20am Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yakin parti itu akan mengekalkan kerusi DUN Manek Urai, tetapi dengan majoriti yang berkurangan.

Mahfuz, yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, beliau juga menjangka jumlah pemilih yang keluar mengundi hari ini ialah di sekitar 84 peratus.

"Saya tidak menjangka ramai akan pulang (untuk mengundi) kerana hari ini Selasa (hari bekerja di luar Kelantan).

"Namun begitu, dari maklum balas yang diterima, ada yang telah pulang (untuk mengundi).

"Kerana itu kita menjangka menang tetapi jumlah majoriti kurang," katanya.


kemaskini 10.50am Penyokong PAS mengepung sebuah kereta yang dinaik mereka disyaki menyamar sebagai pegawai SPR yang mengguna pelekat dan masuk ke pusat pengundian di Manjor.

Penyokong PAS meminta identiti mereka. Polis kemudiannya campur tangan dan mengesahkan mereka bukan pegawai SPR dan mengarahkan mereka beredar dari situ.

Penyokong PAS itu turut mengoyak pelekat yang ditampal di kereta tersebut sambil melaungkan "penyamar".

kemaskini 10.39am Di SK Manek Urai Lama, kira-kira 250 penyokong PAS balas-membalas sorakan dengan lebih kurang 200 penyokong BN.

Penyokong PAS menjerit "rasuah" dan "Altantuya" (Shaariibuu) kepada lawannya, dan kedengaran ungkapan lucah berkonotasi liwat dari arah kumpulan BN yang berada di seberang sebatang jalan kampung.


kemaskini 10.23am Peratus keluar mengundi sehingga pukul 10 pagi ini sudah mencecah 38.3 peratus atau 4,706 pemilih menunaikan tanggungjawab - dua jam selepas pusat pembuangan undi dibuka.


kemaskini 10.05am Di Manek Urai Baru pula, seorang wanita dipercayai penyokong Umno "naik angin" kerana tidak tahan mendengar bacaan salawat dan takbir yang kuat dan tidak henti-henti oleh penyokong PAS.

Insiden dekat SK Manek Urai Baru bermula lebih kurang 9.10 pagi, tidak lama selepas MB Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggalkan kawasan tersebut.

Laungan takbir yang diselang-seli dengan selawat kira-kira 150 penyokong PAS, kebanyakan lelaki - yang berada di sebelah sekumpulan 50 penyokong BN, rata-ratanya wanita - menimbulkan rasa gelisah wanita terbabit.

Beliau kelihatan berbincang dengan beberapa petugas PAS dan dengan muka berangnya bersuara dengan nada sedikit tinggi. Bagaimanapun suaranya ditenggelami laungan penyokong PAS.

Beberapa anggota polis kemudian kelihatan cuba memisahkan kumpulan parti-parti politik bertanding itu. Kira-kira 30 anggota polis ditempatkan di situ.


kemaskini 9.29am Proses pengundian bagi pilihanraya kecil DUN Manek Urai bermula sejak lebih sejam lalu, dengan kedua-dua calon, Tuan Aziz Tuan Man dari BN dan Mohd Fauzi Abdullah dari PAS meninjau pusat pengundian.

Kedua-duanya bukan pengundi dalam DUN tersebut.

Manek Urai mempunyai 12,293 pengundi, dengan 99.2 peratus Melayu manakala bakinya pemilih Cina dan India.

Keputusan pilihanraya kecil hari ini akan menandakan sama ada PAS dan Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat mampu mengekalkan pengaruhnya di Kelantan yang telah ditadbir selama 19 tahun.

Manakala BN, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pula mengharapkan kemenangan di Manek Urai bagi menamatkan kekalahan berterusan BN dalam semua pilihanraya kecil - kecuali DUN Batang Ai di Sarawak - selepas pilihanraya umum tahun lalu.

Nik Aziz yang tiba di pusat mengundi di SK Perai 10 minit awal, terpaksa menunggu ketibaan Mohd Fauzi.

Calon PAS itu tiba jam 8.10 pagi dan mencium tangan menteri besar tersebut sebagai tanda hormat, manakala para penyokong pula melaungkan "Allahu Akbar".

Manakala kumpulan Wanita Umno di bersebelahannya pula menempik "Hidup Melayu". Calon BN kemudiannya beredar ke Manek Urai Lama.

Nik Aziz dan Fauzi yakin PAS akan mempertahankan kerusi DUN Manek Urai dalam pilihanraya kecil hari ini.

Manakala Tuan Aziz pula berkata pula yakin sekurang-kurangnya 51 peratus pemilih akan mengundi BN.

"Setakat semalam, sokongan makin meningkat," katanya.

Sebelum ini, para pengundi mula menyemak nama masing-masing dalam senarai pemilih di pondok yang disediakan oleh SPR.

Keadaan di sekitar Manek Urai Lama bergerak perlahan. Cuaca baik dan anggota polis mengawal di setiap simpang. Banyak kawasan dijadikan jalan sehala.

kemaskini 9.05am Sembilan pusat pengundian dibuka mulai 8 pagi yang melibatkan 27 saluran dan diselia kumpulan pegawai lantikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diketuai pegawai pengurus Adnan Hussin, yang juga ketua jajahan Kuala Krai.

Pusat pembuangan undi dan jumlah pemilih yang layak seperti berikut:

1. SK Temalir (983 orang)
2. SK Peria (2,019)
3. SK Manek Urai (1,890)
4. SK Manek Urai Baru (1,093)
5. SK Sungai Sok (980)
6. SK Chuchoh Puteri (1,517)
7. SK Lata Rek (1,094)
8. SK Kampung Karangan (1,049)
9. SMK Laloh (1,643)

Jumlah keseluruhan pemilih, termasuk 25 orang melalui pos, 12,293 orang.

SPR mensasarkan kira-kira 85 peratus daripada pengundi akan keluar mengundi ada pilihan raya kecil ini.

Selepas pengundian ditutup pukul 5 petang ini, dan kemudian pengiraan undi di semua sembilan pusat berkenaan, penjumlahan undi akan dilakukan di SMK Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai.

Keputusannya dijangka seawal-awalnya pukul 8 malam ini.









Video & Berita Sekitar Pengundian PRK N41 Manek Urai



Siapa Yang Mesti Dibicara?

Orang yang dituduh melakukan zina (al Maqzuf), liwat atau sepertinya tidak perlu dibicarakan. Sebaliknya yang perlu dibicarakan ialah orang yang menuduh. Itu hujjah ulama terkenal professor Dr Yusof Qaradawi.

Ini kata beliau ialah kerana orang yang menuduh telah melemparkan tuduhan “qazaf” iaitu melempar tuduhan zina. Oleh itu kata Dr Yusof dia wajib mengemukakan bukti-bukti yang kukuh.

Menurut beliau, berdasarkan kaedah syariah orang yang menuduh wajib mengemukakan bukti dan orang yang dituduh wajib melafazkan sumpah (walau bagaimana pun dalam kes seperti ini orang yang dituduh tidak dituntut untuk bersumpah kerana pada dasarnya setiap manusia itu bersih daripada sebarang tuduhan).

Dr Yusof menyifatkan melemparkan tuduhan itu tanpa bukti satu “jenayah keji’. Dan menurut beliau Al-Quran menyebut ada tiga jenis hukuman terhadap jenayah itu.

Pertama – hukuman fizikal iaitu disebat 80 sebatan. Sebatan yang menyakitkan tubuh badan orang yang melemparkan tuduhan adalah balasan terhadap perbuatannya yang menyakiti peribadi orang orang yang baik, memusnahkan hidup mereka serta anggota keluarga mereka.

Kedua—hukuman moral dan sosial iaitu menggugurkan segala pertimbangan moral dan sosial orang yang menuduh. Kesaksiannya dalam urusan kewangan, sivil, sosial, politik tidak boleh diterima pakai.

Perkataan “kesaksian” dalam ayat Al-Quran diturunkan dalam bentuk nakirah atau am dan berbentuk penafian. Justeru ia mencakupi seluruh jenis kesaksian termasuk orang itu wajib digugurkan haknya mengundi dalam pilihan raya apa tah lagi hak untuk diundi.

Dan yang ketiga hukuman agama iaitu mengelarnya sebagai orang yang fasik dan memasukkannya kedalam golongan “fasiqun.”

Kata Dr Yusof, Al-Quran menyebut kefaksikan sebagai “lawan daripada keimanan”.


Laporan 3 Pakar HKL, Bukti Muktamad Saiful Tidak Diliwat

Laporan pemeriksaan tiga pakar Hospital Kuala Lumpur ke atas Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa beliau diliwat merangkumi bukti DNA yang mencurigakan di samping mengesahkan secara rasmi bahawa tidak ada bukti klinikal menunjukkan bekas pembantu Anwar Ibrahim itu diliwat.

Pemeriksaan mendapati wujudnya dua sampel DNA lelaki berlainan pada tubuh Saiful, namun pemeriksaan klinikal tidak menyokong dakwaan Saiful bahawa beliau diliwat.

Laporan forensik klinikal itu yang disahkan oleh tiga pakar HKL daripada Jabatan Kecemasan dan Trauma, Jabatan Pembedahan dan Jabatan Perubatan Forensik membuat kesimpulan bahawa tidak ada bukti konklusif menunjukkan tusukan atau kesan luka pada dubur Saiful.

Ketiga-tiga doktor pakar berkenaan mengesahkan dalam laporan mereka bahawa pesakit yang diperiksa adalah Mohd Saiful berdasarkan nama, nombor kad pengenalan, umur dan bangsa beliau serta nama pegawai polis yang menyiasat kes iaitu DSP Judy Blacious a/l A.F. Pereira.

"Lelaki Melayu berumur 23 tahun yang mendakwa diliwat oleh seorang tokoh masyarakat terkenal sejak tempoh dua bulan. Kejadian terbaru berlaku pada tengah hari 26 jun 2008," menurut laporan itu. Salinan laporan itu dikemukakan oleh peguam pembela Anwar dalam afidavit untuk membatalkan pertuduhan terhadap Anwar diperolehi oleh Suara Keadilan.

Laporan H-K-l menimbulkan kecurigaan terhadap bukti DNA yang dibawa oleh pendakwa dan menguatkan lagi tanggapan bahawa Anwar sekali lagi menjadi mangsa konspirasi politik. Perbicaraan Anwar bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Rabu ini.

Dakwaan konspirasi terhadap Ketua Pembangkang itu diperkuatkan dengan pembabitan langsung dua tokoh utama yang terlibat secara terus dalam kes 1998 dan 2009 iaitu Ketua Polis Negara, Musa Hassan dan Peguam Negara, Abdul Gani Patail.

Laporan perubatan itu disediakan oleh tiga pakar berkenaan berasaskan pemeriksaan komprehensif terhadap Saiful merangkumi penelitian fizikal dan ujian makmal.

Pemerikasaan fizikal meliputi bahagian kepala dan tengkok, dada, belakang badan, perut, bahagian luar kemaluan, bahagian luar dan dalam dubur.

"Pemeriksaan kemaluan dan bahagian dubur: sekeliling dubur lembab, bahagian luar dubur tidak menunjukkan kesan parut, melecet atau luka baru, kelembapan normal, kemutan baik, tidak ada lendir, tidak ada kesan koyak atau luka, sedikit buasir tahap pertama pada sebelah kanan," laporan itu membuat penemuan.

Pakar-pakar HKL juga membuat ujian makmal ke atas sampel swab yang diperolehi daripada Mohd Saiful.

Ini termasuk daripada bahagian tonsil, bawah lidah, bahagian keliling dubur, bahagian atas dan bawah dubur untuk tujuan analisis air mani serta kanan dan kiri puting dan sekelilingnya, badan, kemaluan bagi analisis air liur.

Ujian juga dijalankan ke atas sampel darah bagi profil DNA, alkohol serta toksikologi.

"Semua spesimen dilabel dan ditutup rapat oleh pakar dari Jabatan Perubatan Forensik dan diberi kepada DSP Judy Blacious a/l A.F. Pereira pada 29 Jun 2008 pada pukul 12.35 pagi untuk analisis makmal," kata laporan itu lagi.

Hasil ujian kimia diterima oleh jabatan yang sama pada 11 Julai 2008 yang mendapati antara lain:

* keberadaan air mani pada swab B5, B7, B8 dan B9

* tidak ada sumber DNA pada swab B, B1, B2, B3, B4 dan B6

* Campuran DNA lelaki pada swab B5

* Keberadaan DNA daripada dua individu lelaki pada swab B7, B8 dan B9.

"Keberadaan DNA lelaki pada swab B5, B7, B8 dan B9 hendaklah ditafsir sebaik-baiknya dengan identifikasi sampel yang diambil daripada bahagian lokasi sampel tersebut," jelas laporan itu.

Menurut seorang pakar perubatan hospital swasta yang tidak mahu dikenali laporan tersebut jelas menunjukkan Mohd Saiful tidak diliwat sebagaimana yang didakwa beliau.

Ini berdasarkan kepada pemeriksaan fizikal pada bahagian-bahagian sulit beliau yang tidak mempunyai petanda atau kesan beliau diliwat.

"Beliau kata kali terakhir beliau diliwat adalah pada 26 Jun tetapi sampel hanya diperolehi pihak hospital pada 29 Jun iaitu tiga hari kemudian.

"Dalam tempoh tiga hari tersebut bermacam perkara boleh berlaku. Saiful sudah tentu mandi dan membersihkan badan beliau dan tidak mustahil juga melakukan persetubuhan.

"Hanya ini sahaja boleh menjelaskan mengapa ada kesan air mani pada beberapa swab yang diambil doktor, kecualilah air mani itu diletakkan kemudian," terang pakar perubatan.

Pakar itu berkata lazimnya jika seseorang yang mengalami buasir diliwat, beliau akan menunjukkan tanda-tanda kecederaan namun HKL tidak menemui kesan luka seumpama itu pada Saiful.

Laporan berkenaan ditandatangani ketiga-tiga pakar HKL pada 13 Julai 2008.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijangka mendengar sebutan 15 Julai ini untuk tarikh bagi permohonan Anwar untuk mendapatkan beberapa dokumen dari pihak pendakwa bagi membantu kes pembelaannya.

Mahkamah juga akan menetapkan tarikh baru bagi sebutan kes bagi satu lagi permohonan Anwar untuk membatalkan tuduhan liwat terhadapnya.

Menurut Hakim Mohamad Zabidin Mohamad Diah sehingga kedua-dua permohonan itu selesai, mahkamah tidak boleh memulakan perbicaraan.

MANEK URAI - PENDEDAHAN SAIFUDDIN NASUTION





Ramai beratur ambil wang di MU


Kira-kira 40 dilihat beratur di hadapan sebuah rumah kayu dalam kawasan bangunan pejabat Kesedar, yang terletak kira-kira 50 meter dari pusat mengundi di SK Peria.

Malaysiakini nampak mereka menghulurkan kad pengenalan masing-masing kepada beberapa petugas di depan pintu rumah tersebut.

Beberapa orang yang bertugas di situ memegang senarai nama yang didakwa pengundi yang tinggal di luar Manek Urai dalam daftar pemilih.

Petugas terbabit kemudiannya memanggil nama dari senarai berkenaan dan mereka yang beratur di situ akan menunjukkan kad pengenalan masing-masing bagi mengesahkan identiti mereka.

Seorang lelaki warga emas yang pulang dari Kuala Lumpur untuk mengundi, memberitahu Malaysiakini bahawa mereka menerima RM300 jika nama mereka terdapat dalam senarai tersebut sebagai elaun tambang.

Wartawan melihat sendiri orang ramai menunjukkan kad pengenalan mereka kepada petugas di situ dan kemudian keluar sambil memegang beberapa keping wang tunai RM50.

Tidak kelihatan sebarang logo parti politik tetapi terdapat sebuah kereta Proton Wira warna putih bersama logo Kesedar di depan rumah tersebut, tempat orang ramai beratur.

Seorang petugas lelaki yang berbaju putih memanggil nama mereka yang beratur. Difahamkan beliau merupakan tuan rumah bagi ceramah "Pentas Pemuda" di Sungai Peria beberapa hari lalu.

Mafrel, polis siasat rumah kayu

Sementara itu, pemantau piihanraya, Mafrel, telah pergi ke rumah kayu tersebut dengan ditemani anggota polis pada jam 11.30 pagi, ekoran dakwaan pemiliknya membayar RM300 kepada pemilih yang tinggal di luar Manek Urai, yang pulang mengundi hari ini.


Pemilik rumah tersebut, ketika ditemui pihak Mafrel sebelum itu, menghalang mereka daripada masuk ke dalam.

Lelaki itu berkata:"Ni dah janji daripada Kuala Lumpur untuk bagi pada mereka sebagai transportation allowance (elaun tambang), ini sama dengan PAS, awak tak buat pulak."

Wakil Mafrel berkata, beliau bukan dari PAS tetapi dari badan bukan kerajaan.

"Kita tidak memihak... jika ada laporan, kami akan siasat," katanya.

Lelaki berkenaan yang menganjurkan ceramah untuk seorang pemimpin Pemuda Umno minggu lalu, tetap tidak membenarkan mereka masuk ke dalam, dan berkata:

"Awak semua tak boleh masuk, ini duit politik Datuk Aziz," katanya.

Bagaimanapun, apabila Mafrel tetap bertegas, mereka dibenarkan masuk dengan diiringi anggota polis.

Komen negatif Najib: Pengacara ntv7 kena tukar

Semuanya berpunca daripada kenyataan salah seorang tetamu jemputan dalam programnya - Point of View - di ntv7 yang memberi pemeringkatan 'C' atau 'D' terhadap prestasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi 100 hari pentadbirannya.

Ekoran itu, pengacaranya, Florence Looi menerima surat amaran dan terus ditukar ke meja berita stesen swasta tersebut.

Looi didakwa telah melanggar dasar redaksi pengarangnya, kata sumber-sumber ntv7.

Dua tetamu jemputan program tersebut - yang dipancarkan pada 5 Julai lalu - ialah penulis Syed Akhbar Ali dan editor perunding, Leslie Lau dari Malaysian Insider. Lau yang memberi pemeringkatan 'C' atau 'D' bagi pentadbiran Najib.

Sumber-sumber itu berkata, Looi selepas itu diberitahu secara lisan bahawa dia tidak seharusnya meminta mereka memberi pemeringkatan terhadap prestasi Najib,

Oleh kerana Looi merupakan pengacara yang juga penerbit program tersebut, maka hanya dia seorang sahaja yang diberi surat amaran tersebut.

Looi, yang merupakan editor tugasan, kemudiannya telah ditugaskan untuk membuat liputan berita, atas alasan kekurangan petugas di meja berita.

Insiden tersebut mungkin 'menguburkan' program 'Point of View', yang baru tamat musim keduanya. Sehingga ini, belum ada pengumuman sama ada program itu akan dilanjutkan ke musim ketiganya.

Bagaimanapun, sumber-sumber itu percaya, sekiranya program itu diteruskan, ia akan dikendalikan oleh pengaracara baru.

Ketika dihubungi, Looi enggan mengulas mengenainya dan usaha untuk menghubungi pihak pengurusannya juga belum berhasil.

Ntv7 adalah salah sebuah daripada empat stesen TV swasta milik syarikat gergasi media - Media Prima Bhd - yang ada kaitan dengan Umno. Tiga lagi stesen miliknya ialah TV3, 8TV dan tv9.

Begitu juga dengan berita mengenai banglo mewah milik bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo di Shah Alam di mana ianya hanya sempat disiarkan dalam berita Mandarin jam 5.30 petang di ntv7.

Selepas itu, berita itu tidak lagi disiarkan oleh buletin berita di stesen lain milik Media Prima.

'Hanya satu pandangan'

Sementara itu, pengarah eksekutif Pusat Kewartawan Bebas, V Gayathry membidas ntv7 kerana mengamalkan saringan kendiri.

“Komen oleh tetamu jemputan mengenai pretasi (Najib) bukanlah sesuatu yang kritikal, tetapi hanya satu pandangan,” katanya.

Menurutnya, Looi dihukum kerana bertanyakan satu soalan penting ketika semua orang lain membuat penilaian tentang prestasi Najib.

“Program tersebut telah memberi ruang yang baik untuk perbincangan (dan Looi menjalankan tugasnya dengan baik),” tegasnya.

Menurut Gayathry lagi, ketika Najib dilantik perdana menteri, Media Prima telah mengeluarkan arahan kepada empat stesen TV miliknya itu supaya tidak menyebut nama penganalisis politik - Abdul Razak Baginda - ketika melaporkan perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu. Razak merupakan teman karib Najib.

"Kita ingin bertanya sama ada menjadi dasar Najib di mana mereka yang ditempatkan di stesen TV, mengamalkan saringan kendiri,” tambah Gayathri.

Program 'Point of View' disiarkan jam 6 petang hari Ahad. Tetamu jemputannya membincangkan tajuk-tajuk panas seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dasar penukaran bahasa, pendidikan bahasa ibunda, tanggungjawab pihak polis dan yang terbaru, skandal PKFZ.

Sejak Najib mengambil alih kuasa, pegawan tinggi media yang ada kaitan dengan mantan perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah diganti.

Mereka yang berkhidmat sewaktu pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad telah dilantik semula menerajui media, sehingga mencetuskan persepsi akan mewujudkan suasana media yang lebih banyak sekatan.

Bekas pengarang kumpulan New Straits Times, Datuk Ahmad Talib kini dilantik sebagai pengarah eksekutif berita dan operasi jabatan pengarang di Media Prima, serta sebagai pengarah ksekutif (jabatan pengarang) di New Straits Times Press.

Bekas pengarang kumpulan Berita Harian, Datuk Manja Ismail dilantik sebagai pengarang kumpulan NTV7, 8TV, TV9 dan rangkaian radio, bagi membantu Ahmad.

Sunday, July 12, 2009

20% Diskaun Tol, Gimik Politik Najib

Perdana Menteri Najib Abdul Razak menandakan hari ke-100 pemerintahannya dengan mengumumkan 11 langkah populis dalam usaha merampas kembali sokongan rakyat dari Pakatan Rakyat.

Selepas majoriti 2/3 pemerintah terkubur dalam PRU-12 lalu, Umno-BN berusaha untuk memacu momentum politik yang tersadung kekalahan dalam siri pilihanraya kecil lepas.

Nekad mematikan kemaraan Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Kecil N41 Manek Urai, Najib mengumumkan diskaun 20 peratus kepada pengguna kerap tol lebuhraya.

Najib juga berkata ini dan 10 rancangan yang lain akan disusuli dengan lebih banyak langkah populis di masa hadapan.

Najib berkata demikian kepada lebih 3,000 penyokongnya di majlis meraikan 100 hari pemerintahan beliau di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Parti Keadilan Rakyat menyifatkan langkah populis ini sebagai gimik politik. Naib Presiden Mustapha Kamil Ayub berkata Kerajaan Pusat mampu melakukan yang lebih baik, namun kepentingan politik membantutkan kekuatan itu.

Selangor dibawah Pakatan Rakyat sanggup berbelanja berbilion ringgit membeli sistem pembekalan air dari pemegang konsesi air supaya rakyat tidak lagi terbeban dengan kos kehidupan Lembah Klang yang tinggi.

Mustapha juga berkata kepedulian rakyat yang jitu mendorong kerajaan Selangor untuk memperkenalkan program 20 meter padu air percuma untuk semua pengguna domestik.

Sekiranya pemerintah ikhlas mahu membantu rakyat, Mustapha menyeru Najib supaya meniru jejak langkah Selangor dan memilik-negara lebuhraya dari tangan konsesi.

"Dalam konteks pakatan, hal utama seperti air, jalanraya, hospital dan lain-lain, memainkan peranan yang lebih dalam persoalan untuk mengurangkan beban rakyat. Soal Kerajaan Negeri Selangor bawah pimpinan Pakatan sedia menggunakan sumber lain untuk menanggung kos pembekalan air, komitmen terhadap rakyat. Dalam masa yang sama, dalam keadaan ekonomi agak parah, rakyat perlu dibantu dengan cara demikian.”

“Diberikan satu bentuk di mana jika tidak secara langsung perlu ada kajian. Cara berkenaan (diskaun 20%) tidak melambangkan komitmen kerajaan meringankan beban rakyat. Tidak mencukupi kalau sekadar potongan 20% kepada pengguna kerap,"

Pendedahan dokumen konsesi lebuhraya mendedahkan kerajaan Malaysia dan pemegang konsesi telah menetapkan kenaikan harga tol secara berperingkat dalam satu perjanjian yang memakan masa antara 10 hingga 30 tahun.

Umno-BN beralasan bahawa kerajaan terpaksa membayar subsidi yang mahal kepada konsesi sekiranya kerajaan menghalang kenaikan harga tol.

Siri-siri bantahan dan demonstrasi rakyat membantah kenaikan harga tol bagaimanapun dijawab dengan kekerasan pihak berkuasa.

”Sebelum itu mereka kata tidak mampu dan perjanjian tidak boleh diubah. Sebelum ini mereka kata bahawa kerajan perlu beri subsidi dan pampasan kepada syarikat konsesi Kerana ia kewajipan secara kontrak, tiba-tiba dia boleh bagi 20%. Bagaimana 20% ini boleh dilaksanakan? Samada kerajaan perlu bayar subsidi yang lebih tinggi atau ini memang sesuatu yang didalam kuasa kerajaan. Ini tidak dijelaskan,” kata Pengarah Strategi PKR, Tian Chua.

Kata Tian Chua lagi, beliau mengganggap pusingan-U ini hanya satu gimik politik yang digunakan Najib untu menawan hati rakyat.

"Ia hanya gimik politik untuk menunjukan Najib prihatin terhadap kebajikan rakyat, tapi sebenarnya tidak mengubah atau menyesesaikan masalah. 20% bukan untuk semua hanya sebahagian pengguna. Saya kurang pasti cara mereka untung menghitung siapa layak atau tidak. Ia masih belum jelas,"

“Yang penting kita harus mengkaji semula perjanjian konsesi supaya kerajaan boleh mengambilalih atau mengurangkan tol. Itu langkah yang lebih berkesan daripada hanya menggunakan diskaun,” katanya.

Mengapa Najib tidak muncul di Manek Urai?

KUALA KRAI, 12 Julai (Hrkh) - Mengapakah Dato' Seri Najib Razak tidak muncul-muncul di Manek Urai?

Ini persoalan yang belum terjawab biar pun sudah dilontarkan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada penamaan calon sebelum ini.

Kini tinggal sehari lagi kempen menjelang pilihan raya Selasa ini, namun Perdana Menteri tidak muncul.

"Mungkinkah Presiden Umno takut dengan bayangan Altantuya sehingga tidak kelihatan di Manek Urai sehingga sekarang?

"Ramai orang tertanya mengapa Perdana Menteri tidak kelihatan," kata Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Haji Abdul Fatah Harun pada persidangan media di Markas Induk PAS di sini, hari ini.

Perdana Menteri nampaknya menyerahkan tugas membawa cabaran Umno di Manek Urai kepada timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dan hari ini beliau hadir pada sambutan perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru.

Umno terpaksa menggunakan orang di luar Manek Urai hadir pada program yang dianjurkan memandangkan penduduk tempatan seperti tidak menghiraukan sehingga kehadiran Muhyiddin pun kurang mendapat sambutan.

Hari ini ramai guru dari seluruh Kelantan diarah hadir bagi memperlihatkan program dihadiri Timbalan Perdana Menteri mendapat sambutan.

Malah guru yang hadir berada jauh dari khemah yang disediakan, seperti tidak menghiraukan ucapan pemimpin Umno.

Banyak pihak berhujah ketidakhadiran Perdana Menteri membayangkan BN menghadapi laluan sukar di Manek Urai. Ia juga menggambarkan pemilihan Tuan Aziz Tuan Mat seperti tidak mendapat perkenan Najib, sebaliknya pilihan Muhyiddin.

Abdul Fatah juga melahirkan rasa bimbang di atas kehadiran begitu anggota polis di Manek Urai sehingga menimbulkan kecurigaan kerana ramai di kalangan mereka difahamkan tidak mempunyai tugas yang khusus.

Katanya, banyak cawangan polis yang dihantar ke Manek Urai termasuk 'special branch', bahagian trafik dan lebih ramai yang kelihatan tidak mempunyai tugas.

"Kita tidak tahu apa fungsi mereka dengan kehadiran yang begitu ramai anggota polis. Kita akan cuba dapatkan maklumat mengenai apa sebenar peranan mereka," katanya.

Ditanya dengan kehadiran anggota polis yang kemungkinan wujud pengundi hantu kata beliau, PAS juga merasa bimbang kerana tidak tahu apa sebenar fungsi mereka sehingga terlalu ramai di Manek Urai.

Menurutnya kehadiran polis juga menimbulkan rasa resah di kalangan penduduk tempatan sehingga menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas terutamanya di Cabang Tiga Laloh.

Kata beliau, polis meletak kenderaan di tepi jalan sehingga menghalang lalu lintas.

"Kami berharap pihak berkenaan mengambil kira masalah yang dihadapi penduduk memandangkan kehadiran ramai polis menimbulkan rungutan masyarakat," katanya.

Beliau juga mendakwa ada sebuah rumah yang didiami isteri kepada seorang pegawai polis telah dijadikan markas Umno.

Abdul Fatah juga berkata, kerajaan pusat menggunakan secara berleluasan jentera kerajaan bagi membantu kempen BN termasuk Kesedar, Risda, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pertanian dan banyak lagi kementerian lain.

Menurutnya, sehingga kini kerajaan pusat dan Petronas belum lagi menjelaskan mengenai tuntutan royalti kepada kerajaan Kelantan.

Saturday, July 11, 2009

Lagi gema gugurkan Rosmah di Unisel

Keinginan menggugurkan isteri perdana menteri Rosmah Mansor sebagai canselor Universiti Industri Selangor (Unisel) bergema semula malam tadi di satu majlis yang dihadiri Datuk Seri Anwar Ibrahim.Para pelajar yang menghadiri "Pidato Kepemimpinan dan Sesi Dialog" bersama penasihat PKR sebulat suara menolak isteri Datuk Seri Najib apabila diajukan isu tersebut.

Hanya seorang pelajar yang mengangkat tangan apabila Anwar bertanya sama ada wajar wanita pertama negara dikekalkan sebagai canselor Unisel - seperti ditegaskan menteri besar, tahun lalu.

Menurut laman web penyokong mantan timbalan perdana menteri itu, isu itu berbangkit semula apabila seorang daripada lebih 2,000 pelajar mengemukakan cadangan menukar naib canselor mereka kini.

"Seluruh pelajar Unisel bertepuk menyatakan persetujuan," satu coretan blog Anwar Ibrahim Club (AIC) dipetik.

Susulan cadangan itu dalam sesi soal jawab selepas ucapannya selama sejam, Anwar kemudiannya meminta pelajar-pelajar yang ingin Rosmah diganti agar mengangkat tangan tanda bersetuju.


"Riuh rendah keadaan bila seluruh dewan yang sesak dengan pelajar-pelajar, termasuk beberapa pensyarah juga, mengangkat tangan dan bertepuk menandakan persetujuan mereka," laporan blog itu dipetik.

Timbalan pengarah progam tersebut Maisarah Ismail, yang membangkitkan cadangan kontroversi itu, memberitahu Malaysiakini lewat petang ini bahawa majlis anjuran Majlis Perwakilan Pelajar itu diadakan bagi menggalakkan pelajar lebih terbuka menggerakkan politik kampus.

Pelajar tahun akhir diploma sains perpustakaan, yang juga exco AIC, berkata ia juga bertujuan menggalakkan pelajar Unisel lebih berani bersuara tentang isu-isu semasa, termasuk isu dalam kampusnya di Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Majlis turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Unisel, Profesor Madya Zainal Abidin Kidam dan sekumpulan pensyarah.

Desakan yang sama pernah disuarakan oleh pergerakan Pemuda Pakatan Rakyat awal November lalu tetapi ia segera ditolak oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, menteri besar Pakatan Rakyat.

Dalam surat bantahan 5 November lalu, mereka mendakwa Rosmah "tidak memiliki keunggulan keilmuan yang sewajibnya ada pada gedung ilmu."

Unisel, yang ditubuhkan pada 1999, melantik Rosmah sebagai canselor pertamanya pada Ogos 2006.

Ia diuruskan oleh Pendidikan Industri Yayasan Selangor Sdn Bhd (PIYSB) yang dipengerusikan oleh menteri besar.

Mahathir: 100 hari Najib 'lebih banyak negatif'


Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pentadbiran Datuk Seri Najib Razak "lebih banyak yang negatif daripada yang positif".Tambahnya, ia berdasarkan penilaian peribadinya terhadap pentadbiran Najib yang genap 100 hari ini.

Bercakap kepada pemberita di PWTC hari ini, Dr Mahathir berkata, yang negatifnya termasuklah cadangan pembinaan jambatan ketiga antara Johor dan Singapura.

Bercakap selepas menyampaikan ucap utama program "Wacana Kedudukan Institusi Beraja dan Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan dari Perspektif 1Malaysia" yang diadakan secara tertutup, Dr Mahathir ditanya sama ada pentadbiran Najib telah membuat kajian mengenai cadangan pembinaan jambatan tersebut.

Menurutnya, pembinaan jambatan berkenaan tidak boleh menyelesaikan masalah kesesakan di Johor Bahru.

Satu perkara lagi yang dianggap negatif, menurut Dr Mahathir lagi, ialah pelantikan orang yang korup dalam pentadbiran Najib.

Ditanya mengenai perkara positif mengenai pentadbiran Najib, beliau berkata: "Yang positif ialah Najib berjumpa ramai orang dan dia tidak tidur malam."

Jawapannya disambut dengan gelak ketawa para hadirin.

Masa depan orang Melayu

Ketika ditanya mengenai nasib orang Melayu di negara ini, Dr Mahathir berkata, ianya bergantung kepada orang Melayu sendiri.

“Mereka harus bertindak untuk orang Melayu tetapi lima tahun pentadbiran (Perdana Menteri) Tun Abdullah Ahmad Badawi rosak semua - rakyat, ekonomi, kewangan dan parti-parti BN.

“Tetapi saya tidak dengar orang Melayu komplen terhadap Tun Abdullah,” katanya.

Mantan perdana menteri itu berkata, orang Melayu hari ini tidak puashati kerana dituduh menjadi penghalang perpaduan, pertumbuhan ekonomi dan sebagainya.

Katanya, mereka bimbang apa yang akan berlaku kepada mereka nanti dan mereka harus tahu apa yang akan berlaku dalam negara mereka sendiri.

Dr Mahathir juga berkata, parti pembangkang tetap diperlukan untuk menegur kerajaan jika membuat salah.

“Tidak pedulilah DAP atau PAS, kita perlukan pembangkang kerana orang kita tidak tegur walaupun kerajaan buat tidak semuanya benar,” tambahnya.

Ketika diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan memansuhkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dr Mahathir berkata, sepanjang 38 tahun penggubalan dasar tersebut, ia menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang terbaik.

Sepatutnya, kata beliau, orang Melayu menggunakan DEB untuk kepentingan ekonomi mereka tetapi sebaliknya menyalahgunakannya.

Orang Melayu, katanya, menyalahgunakan lesen, kontrak dan permit import yang diluluskan (AP)

'DEB tidak salah tetapi yang salah (ialah) kerana orang yang menyalahkan lesen, kontrak dan AP itu,” katanya.

Friday, July 10, 2009

Chegu Bard: Najib lindungi CIMB?

Media heboh kononya Obama, Presiden Amerika menghubungi Najib melalui panggilan telefon, kononya begitulah penting Najib di mata Obama hingga apabila ada masalah Obama terpaksa hubungi Najib melalui panggilan telefon untuk berbincang..

Ini semua satu pembohongan. Semua terbongkar apabila 2 akhbar Korea berbahasa Inggeris mendedahkan mengenai bagaimana Amerika memberi amaran kepada Malaysia mengenai penglibatan bank Malaysia dalam transaksi senjata melibatkan Kerajaan Komunis Korea Utara dan Kerajaan Regim Junta Tentera di Myanmar.

Najib mungkin 'terkencing' ketika dihubungi Obama tetapi masih cuba menyelindungi bank Malaysia itu. Persoalanya kenapa Najib begitu bersungguh melindungi bank Malaysia itu..... Adakah Bank itu 'CIMB' yang kini dimiliki oleh adik kesayangannya Dato' Sri Nazir Razak... ?


Di bawah Abdullah Badawi, negara berisiko apabila SCOMI syarikat anaknya terlibat meraih keuntungan dengan terlibat dalam pembekalan alat senjata nuklear dengan rangkaian penganas dan ia dilindungi Abdullah. Kini nampaknya tidak jauh beza dengan Najib ? Apabila untung ratus juta keluarga Perdana Menteri sapu tetapi bila risiko rakyat tanggung ...! sila klik sini untuk baca lanjut mengenai transaksi senjata tersebut.

CIMB juga sebenarnya terlibat dalam memberi kontrak kepada sebuah syarikat komputer yang berpengkalan di Israel dimana syarikat tersebut terlibat secara langung dalam persenjataan pertahanan Israel yang membunuh orang Palestin.

Chegu Bard